Memaparkan catatan dengan label drnajah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label drnajah. Papar semua catatan

Rabu, 6 April 2016

Nota Inspirasi # 50 : Kita Hamba Tuhan.



Nota inpirasi sudah sampai ke penghujungnya. Untuk kali ini. Sasaran saya untuk menyiapkan naskah ini telah sampai ke pengakhirannya. Saya tercari-cari apakah tajuk terakhir untuk menutup tinta ini.

Sungguh, hanya Allah sahaja yang tahu betapa kerdilnya rasa diri untuk berkongsi. Diri ini masih lagi belajar dan mencari makna hidup bertuhan. Diri ini sangat jauh dari sempurna. Masih banyak kekurangan.

Tapi, saya gagahkan diri. Cari kekuatan. Saya baca dan tulis apa yang saya benar-benar faham dan hadam. Saya bukan ingin mngajar, jauh sekali ingin membetulkan. Saya hanya ingin mengikut seruan Rasulullah SAW. Saya hanya ingin terus menyampaikan.


Semasa musim bunga di Cambridge, UK.



Saya ingin menyambung warisan para Nabi dan Rasul. Ingin sentiasa menyebarkan kebaikan ke serata alam. Lebarkan sayap dengan kasih sayang. Menyayangi dan mengasihani setiap makhluk tuhan dengan setulusnya.

Kalam Allah saya baca berulang-ulang. Saya mencari inpirasi daripada mukjizat kurniaan Illahi. Saya perhalusi maknanya hingga benar-benar masuk ke dalam hati. Terbenam di lubuk hati yang paling dalam.

Saya tak mahu simpan inspirasi itu buat diri saya sendiri. Saya sangat suka untuk berkongsi pada mereka yang ingin menghargai dan dihargai. Sungguh, itulah janji saya pada Illahi.

Di pagi yang sunyi, saya selak mukjizat yang Allah beri. Saya temui ayat ini.

Allah telah berfirman di dalam Surah Saad (38 : 72-88 ) : 

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: " Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia - Adam dari tanah;

" Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya ".

(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, 
Melainkan Iblis; ia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Allah berfirman: " Hai lblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? "

Iblis menjawab: " Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah ".

Allah berfirman: " Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir.

" Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!"
Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) ".

Allah berfirman: " Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh -
" Hingga ke hari masa yang termaklum ".

Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, -

" Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan ".

Allah berfirman: " Maka Akulah Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan hanya perkara yang benar Aku firmankan -

" Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya ".

Katakanlah (wahai Muhammad): " Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada ".

Al-Quran tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk seluruh alam.
Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kebenaran perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi.


.


Ini diceritakan di dalam Kalam Allah, Al Quran. Kita telah lama diperingatkan tentang musuh kita iaitu Iblis Laknatulla. Tetapi kita selalu lupa. Kita hambanya yang lemah. Iman setipis kulit bawang, mungkin lebih nipis dari itu. Astagfirullah.

Kita sangat mudah terpedaya dengan hasutan syaitan dan iblis. Termakan dengan nafsu yang membuas, hingga kita lupa siapa diri kita. Kita lupa kita bukan tuhan. Kita hanya HAMBA Tuhan.

Kita selalu derhaka. Tetapi Allah belum hukum kita kerana dosa kita. Allah masih memberikan kita peluang bukan sekali dua. Berkali-kali. Kita masih dipinjamkan nafas untuk terus bernyawa. Bukan untuk kita terus alpa. Tapi Allah ingin agar kita berpeluang mencuci dosa yang ada. Segera kembali ke jalanNya.




pendakian saya di Mom Tor, Peak District.


+

Saat kita jatuh tersungkur di lemah kehinaan, Allah Ya Qayyum, Tuhan yang berdiri dengan sendirinya telah mengangkat kita. Allah selalu selamatkan kita dengan kasih dan rahmatnya. Sedarkah kita? Allah sangat sayang pada kita. Tidak cukupkah lagi??

+

Saat kita merasa rendah diri, Allah Al Rafiiq, Yang Maha Meninggikan, telah meninggikan darjat dan martabat kita di sisinya. Dia memberi keyakinan kepada kita untuk memajukan diri. Menggilap potensi yang ada dan berusaha gigih untuk berjaya.

+
Saat kita rasa kita keseorangan, terbuang dan tak punyai sesiapa, Allah Al Baaqii Yang Maha Kekal, tak pernah hilang. Allah sentiasa ada. Sentiasa membuka pintu rahmat dan kasihnya menunggu kita. Menanti kita kembali kepadanya, dengan setulusnya. Ingatkah kita??

+

Saat kita rasa diri kita hina, jangan kita lupa bahawa Allah Al Jalil, Al Kareem, Al Majiib, Yang Maha Mulia. Hanya Dia yang Maha Mulia. Kita ciptaanya jauh dari sempurna. Tetapi, Allah Al Mu'izz, Yang Maha Memuliakan. Hanya dia yang memuliakan kita. Kita dimuliakan dengan jawatan KHALIFAH untuk mengurus tadbir takdir kita di muka bumi pinjamanNya. Sedarkah kita?

+
Saat kita rasa diri penuh dengan dosa, ingatlah Allah Al Ghaafur, Yang Maha Pengampun. Sucikanlah jiwa kita. Bersihkan hati kita dengan solat taubat dan zikirullah. InsyaAllah, hati kita kan jadi lebih tenang dan bahagia. Inilah kekuatan buat kita. Yakinlah!

+
Saat kita rasa ingin bertaubat tetapi kita bimbang dan takut akan balasannya, ingatlah Allah Al-Tawwab, Yang Maha Menerima Taubat. Pintu taubatnya terbuka luas, lebih luas dari angkasa raya. Yakinlah, dia sentiasa rindukan kita, untuk sentiasa sujud padaNya. Dia sentiasa menanti kita yang berdosa tetapi ingin membasuh segala noda. Sungguh, Allah sangat sayangkan kita semua.
.
Kerana, Allah Tuhan kita. 
Kita hanyalah hambaNya.




Wallahua'lam.
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galanya.


( Safinatunnajah Ahmadi , 2016)
Hamba Allah
Liverpool, United Kingdom.


Bunga yang sangat cantik, seindah hidup ini.





p/s : Terima kasih kepada pembaca yang sudi membaca hingga ke hujung cerita. Moga Allah melimpahi rahmatnya buat kalian semua. Kita pimpin tangan sampai ke syurga ye.



heart emoticon
heart emoticon

Ahad, 3 April 2016

Nota Inspirasi #41 : Ku Temui CintaMu di Perhentian Bas


Bismillah


Setiap kali ingin ke universiti, saya suka menggunakan perkhidmatan bas awam. Bas no. 76 sentiasa lalu di hadapan rumah kami setiap 30 minit. Bas ini memang lalu di hadapan pejabat saya. Memang mudah.

Antara sebab mengapa saya memilih untuk tinggal di Lodge Lane adalah kerana kemudahan yang ada di sini. Walaupun kawasan kediaman lebih jauh daripada kawasan komuniti Melayu di sini, saya suka.

Dengan sekali house viewing kami terus buat keputusan untuk tinggal di sini. Urusan sewaan rumah pun sangat mudah. Pejabat agen pun di sini. Milik orang Muslim. Apa yang membuatkan saya jatuh cinta dengan rumah yang kami duduki adalah kerana di bangunannya ada kalimah bismillah. Tak banyak bangunan yang ada kalimah Allah. Rata-rata bangunan di sini pemilikNya tidak kenal Allah sebagai Tuhan mereka.

Astaghfirullah.

Semalam, ketika berjalan ke perhentian bas di hadapan rumah kami saya disapa oleh seorang wanita. Sekali pandang wajahnya persis wajah arwah nenek saya. Rasa nak mengalir air mata. Kami terus bersalaman. Saya kucup tangan beliau. Syahdu rasanya. Seolah-olah mengucup tangan arwah nenek yang sangat saya rindui.

Beliau terus memeluk saya. Allahuakbar. Menitis air mata dibuatnya. Terus saya tatap wajah beliau sambil berkata "Madam, your face look like my grandmother ".


Cikpuan Nusrat Jahan. Ada kawan yang kata muka kami ada iras.



Beliau senyum. Riak wajahnya berubah. Beliau sangat gembira. Kami terus berbual rancak. Sementara menunggu bas tiba, ada masa untuk kami berbual selama 10 minit.

Saya tanyakan kemana beliau ingin pergi. Balasnya.. Dia ingin ke pusat komuniti di Kensington. Beliau ceritakan pada saya bahawa beliau seorang guru. Mengajar di pusat itu. Secara sukarela beliau menghabiskan sisa usia berbakti di situ.

Diceritakan bahawa dahulu komuniti mereka ada sebuah masjid di situ. Tapi itu cerita 3-4 tahun dahulu. Kita masjid tersebut diambil alih dan dijadikan gereja. Allahuakbar. Sedih nya.

Katanya lagi, beliau sering datang ke situ untuk mengadakan kelas dan bersolat di situ. Allahuakbar. Betapa saya rasa malu pada Allah. Saya malu pada Rasulullah.

Masjid yang bertahun-tahun menjadi rumah Allah bertukar menjadi gereja. Tetapi wanita ini tak pernah putus asa. Terus menghidupkan Nur islam di 'masjid' itu.

Bidadari syurga ini berkali-kali mengingatkan saya untuk menghubungi dia. Diberikan nombor telefon dan alamat kediaman beliau. Bersungguh-sungguh dia mengajak saya datang ke rumahnya. Dia tinggal bersendirian. Kasihannya. Hati saya menangis.

Dengan baki usia yang ada, beliau masih gigih untuk berbakti. Dengan kudrat yang ada beliau terus melangkah dan meneruskan perjuangannya. Hingga saya tertanya-tanya pada diri. Bermonolog sendiri. Betapa hinanya diri ini. Bila berhadapan dengan insan berhati mulia ini.

Astaghfirullah.

Selama saya hidup, apalah sumbangan saya untuk islam? Masih ramai manusia yang belum kenal Allah sebagai Tuhan mereka. Malu benar saya pada Allah. Bersalah rasanya saya pada Rasulullah. Saya belum mampu menyebarkan Nur islam ke serata dunia.

Apalah guna saya berada di bumi milik Allah ini? Jika sekadar ingin hidup dan mengumpul harta dunia, alangkah sia-sia hidup kita. Astaghfirullah. Ampunkanlah kami ya Allah. Ya Ghafur.

Sungguh, pertemuan semalam sangat bermakna. Di saat saya tercari-cari arah mencari cinta Tuhan, Allah kirimkan bidadari syurga di bumi ratu ini. Terima kasih Allah atas kurniaanMu.

Sebelum beliau melangkah pergi saya sempat mengucup tangannya. Syahdu. Hiba. Ketika bas no. 27 sampai, dia berlalu meninggalkan saya. Sempat dia menoleh pada saya lagi sambil berkata jangan lupa datang ke rumahnya. Ya Allah. Wajahnya sangat gembira. Mungkin dia rasa bahagia dengan pertemuan kami. Sungguh, hati saya yang rasa sangat bahagia. Dapat melihat wajah bidadari persis arwah nenek saya.


Bas No. 27 dah sampai. Bas ini lalu di hadapan Stadium Anfield




Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim.

Ku temui cintaMu di perhentian bas di bumi ratu.

Alhamdulillah. 
Segala puji-pujian hanya untuk Allah.




Wallahua'lam. 
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galaNya.

.

Selasa, 15 Mac 2016

PhD #1 Ubah Haluan

Bismillah

Terkenang kembali saat bermula perjalanan PhD ini. Perjalanan ini telah dirancang bermula tahun 2008 lagi. Selepas saya tamat Master Komunikasi Korporat. Keseronokan mencari ilmu membuatkan saya sangat teruja untuk sambung pengajian.

.
Dahulu, semasa dalam program Bachelor saya sangat teruja nak habis belajar. Tak sabar nak lepaskan bebanan assignment dan projek tahun akhir. Bukan kerana saya tidak suka dengan kursus yang saya ambil. Memang kursus kejuruteraan sistem komputer dan komunikasi agak berat. Sebut sahaja Engineering.. orang dah terbayang rupa engineer yang serabut. berpakaian dengan tak terurus. Itu hanya tanggapan orang.
.
.

Orang kata Engineer hanya tahu betulkan mesin. Tapi sebenarnya lebih dari itu, Keputusan yang saya ambil untuk menukar haluan ke bidang komuniasi korporat sebenarnya bukan baru sahaja dibuat. Bukan hanya kerana putus cinta, maka saya sambar sahaja kursus yang ada. 
.
.

Tidak!
.
.
Sebenarnya....



Saya sudah pasang angan-angan sejak tahun 1 Bachelor lagi. Semuanya kerana cerita daripada Fellow Kolej Kesebelas, Universiti Putra Malaysia. Tuan Muhazam Mansor yang memberi inspirasi pada saya ketika itu.
Dan ..
Saya menyimpan hasrat itu di sudut hati.
Siapa tahu ?? Hanya Allah dan diri saya sahaja.
.
.
Tetapi, rupa-rupanya minda bawah sedar saya simpan semua impian itu. Dengan izin Allah, akhirnya pada tahun 2007 saya memulakan pengajian Master Komunikasi Korporat yang saya idamkan. Walaupun, saat itu saya patah hati dek kerana putus cinta, impian berkahwin dengan kekasih tak kesampaian. Saya tukarkan kekecewaan menjadi semangat yang kuat untuk saya berubah. 
Tekad!

.
.
Hari pertama semasa kelas Teori Komunikasi kami diminta memperkenalkan diri dan bidang masing-masing. Bila saya bangun memperkenalkan diri dan memberitahu bahawa saya bekas pelajar kejuruteraan sistem komputerdan komunikasi, rakan sekelas terkejut dan tertanya-tanya. Kenapa engineer nak belajar komunikasi? Kenapa nak belajar bahasa? Kenapa tukar bidang?
.
.
Pelik bukan? Tapi tak mustahil kan untuk kita kuasai ilmu. Tak salah kalau kita nak tukar bidang. Tak salah bukan kita berhijrah. Hidup kita juga kan banyak fasa. Setiap fasa ada cerita manis dan pahit.
.
.
.
Semuanya Allah sudah aturkan buat kita. Kita hanya perlu ambil langkah pertama, usahakan dan kemudian pasrahkan segala doa dan pengharapan hanya padaNya.
.
.
Saya buat pelan perjalanan hidup saya. Saya ada matlamat sebenarnya.
.

Semasa Master Komunikasi Korporat saya membina rangkaian bersama rakan media. Kebanyakan rakan sekelas saya bertugas sebagai pegawai penerangan, ada yang producer, ada juga 'big boss' di syarikat korporat. Saya pilih bidang ini demi membina rangkaian masa hadapan.
.
.
.
Siapa tahu kan?? Akhirnya, membawa saya pula pergi lebih jauh hingga muncul di Skrin TV. muncul di dalam program popular. Berada bersama idoala saya. Impian itu sangat indah. Percuma sahaja. Jika Allah izinkan semuanya akan jadi nyata. Berubahlah. Jangan tunggu lagi. Masanya dah tiba!
.
.
Kini saya memasang impian untuk menjadi Professor in Sustainability.
Mohon kalian semua doakan saya ye...

From Liverpool with Love

  



Jumaat, 11 Mac 2016

Nota Inspirasi #40 : Cinta Paling Agung

Bismillah.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.


Alangkah indahnya pagi ini.
Saat ini, ku renung langit yang biru kemerahan. Kelihatan seolah-olah malaikat sedang mengembangkan sayapnya yang sangat besar. Seolah-olah sedang menjaga sang mentari.
Indahnya lukisan di langit mu Ya Allah.

Lantas..kau ilhamkan aku
untuk ku nukilkan puisi ini..
cinta paling agung


Puisi Cinta Paling Agung


.

Ya Allah Ya Wali
Kirimkanlah para malaikat 
Untuk selalu menjaga dan melindungi

Ya Allah Ya Nur
Pemilik segala cahaya 
Sinarlah jiwa dan sanubari
Dengan Nur cahayaMu
Seindah sinaran mentari pagi

Ya Allah Ya Quddus
Hanya dikau yang Maha Suci
Sucikanlah hati-hati kami
Putihkan ia menjadi seperti awan 
Yang sangat indah di langit biru

Ya Allah Ya Fattah
Engkaulah yang Maha Pembuka
Bukakanlah hati-hati kami 
Biar mudah menerima hidayahMu
Tunduk dan sujud hanya Padamu

Ya Allah Ya Wadud
Hanya kau yang Maha Mencintai 
Juga pemilik segala cinta
Titipkan sepenuh cinta di hati-hati kami 
Agar kami benar-benar yakin dan percaya
Engkaulah cinta yang paling agung 
Dan abadi selamanya... 



From Liverpool with Love 💞
11.03.2016
6.43 pagi
.

Ahad, 6 Mac 2016

Nota Inspirasi #37 | SUPERHERO

\
Bismillah. Nabi Muhammad SAW. 


Siapakah Superhero anda? Kalau ditanyakan soalan ini pada anak kecil, mungkin jawapan mereka adalah Ultraman, Superman, Batman dan sebagainya. Mengapa terjadi begitu?

.

Ini kerana mereka didedahkan dengan superhero yang ada di dalam filem kegemaran mereka yang ditonton setiap hari menerusi skrin TV. Di situlah mereka mengenali karekter filem sehingga menjadi ikutan mereka. Hinggakan alat permainan mereka pun berbentuk imej superhero. Superhero menjadi idola dan kesukaan mereka hinggakan ibubapa pun terpaksa beralah membelikan permainan yang mahal untuk anak-anak mereka. Malah, ibubapa juga terpaksa menyerahkan "remote control TV" ke tangan anak mereka.


Jadi, siapa sebenarnya yang mendidik anak-anak kita? kita sebagai ibubapanya atau Supehero mereka??? 

.

Sama-sama kita bayangkan, apakah yang akan terjadi jika anak-anak kita tidak terdedah langsung kepada TV??
.

Nampak agak mustahil untuk anak-anak di zaman ICT yang serba canggih untuk tidak terdedah langsung. Tapi boleh sebenarnya. Kunci kawalan pada tangan kita. Kita jangan mudah mengalah kerana desakan anak-anak.

.
Sekiranya, kita tidak mendedahkan anak-anak mereka dengan pengaruh TV, telefon bimbit atau apa-apa gajet, agaknya siapakah Superhero mereka?





.
.

Superhero play is a special type of fantasy play that refers to “the active physical play of children pretending to be media characters
imbued with extraordinary abilities, including superhuman strength or the ability to transform themselves into superhuman entities” (Boyd, 1997, p. 23).

Some researchers and practitioners warn about the violent and
aggressive nature of superhero play (Carlsson-Paige & Levin, 1990; Kostelnik, Whiren, & Stein, 1986; Kuykendall, 1995)
.
.

Adakah superhero memberi kesan positif / negatif kepada pembangunan jiwa anak-anak kita??

.
.

Saya percaya dalam hidup setiap insan, mereka mempunyai idola atau role model.
Sengaja saya gunakan istilah Superhero kerana seperti di dalam animasi filem, Superhero digambarkan sebagai penyelamat dunia.

Superhero sangat kuat. Mempunyai kekuatan luar biasa melebih manusia normal. Superhero mempunyai senjata rahsianya yang membolehkan dia bertempur dan melawan segala jenis musuh.

Superhero sangat hebat. Tapi jangan kita samakan dengan pencipta. Pencipta seluruh alam jauh lebih hebat. Tidak boleh disamakan langsung dengan ciptaanNya. Apatah lagi ciptaan atau rekaan kita.

Secara peribadi, saya juga mempunyai Superhero saya. Sebelum saya mengenal Superhero lain yang ada di kaca TV, saya hanya punya ibu, ayah dan nenek saya.

Sejak kecil saya memang tinggal bersama arwah nenek saya. Rumah kami dengan nenek hanya sepelaung sahaja. Ayah bina rumah untuk ibunya (nenek) di belakang rumah kami. Sebelum itu, rumah nenek agak jauh sedikit dari rumah kami. Jadi saya diamanahkan sejak kecil untuk menjaga nenek. Ops...nampak macam nenek yang jaga saya. Sebab kan masa tu saya kecil lagi.

Nenek saya bernama Badiah binti Kamarjo. Seorang wanita keturunan Jawa. Nenek seorang ibu tunggal. Suaminya (datuk) meninggal dunia sewaktu nenek mengandungkan makcik saya. Bayangkan, seorang ibu beranak 6 dengan bayi dalam kandungan yang kematian suami. Tanpa mempunyai pendapatan tetap, datuk saya seorang pemanjat pokok kelapa. Dikhabarkan datuk saya jatuh dari pokok kelapa, kemudian sakit hingga meninggal dunia.

.
Jika kita selami hati seorang isteri yang kehilangan tempat bergantung dan berlindung secara tiba-tiba. Di zaman Jepun menjajah Tanah Melayu, memang amat susah. Nenek sangat setia. Beliau gigih membesarkan anak-anaknya seorang diri. Di saat itu juga, ayah yang ketika itu berusia 9 tahun tidak dapat meneruskan persekolahan. Mengambil tanggungjawab mencari rezeki untuk adik-adik.
.

Dihina, dikeji menjadi asam garam mereka anak beranak. Janda muda beranak 6, tentulah sentiasa jadi buah mulut orang kampung. Hidup serba kekurangan. Entah cukup makan pakai atau tidak, hanya mereka yang tahu. Tapi saya dapat bayangkan keadaan mereka yang sangat susah.

.
Nenek mencari daun nipah untuk dibuat atap. Saya masih ingat. Saya pernah meredah hutan belukar dan paya bersama nenek untuk mencari daun nipah. Bukan senang. Dengan susuk tubuh yang kecil dan rendah, itu bukan halangan.

.
Nenek mempunyai kekuatan luar biasa. Beliau boleh memotong pelepah nipah dan mengumpulkannya seorang diri. Kemudian memikulnya balik ke rumah sebelum dianyam menjadi atap.

.

Hebat kan seorang wanita. Tanpa seorang lelaki di sisinya, dia mampu buat kerja lelaki. Malah mungkin lebih hebat dari itu.

.
Nanti saya sambung lagi.. Nak kesat airmata dahulu. Rindunya pada arwah nenek.

Ya Allah. Limpahkanlah rahmat untuk arwah nenek. Moga dia tenang di alam barzakh sana. Nenek..nanti kita jumpa lagi di syurga ye. Rindu nak peluk nenek. 
😍

Rujukan :
Superhero Toys and Boys' Physically Active and Imaginative Play (Amy Parsons & Nina Howe, 2009)

LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)