Rabu, 6 April 2016

Nota Inspirasi #49: Sungguh Aku Bahagia



Hari ini saya sangat bahagia kerana dapat melihat bidadari ini tersenyum. Berkali-kali dia memeluk saya. Sambil berkata "Najah, today I am so HAPPY! You are very kind and you have a good heart."

.
<3 br="">Saya terkedu. Lidah jadi kelu. Terasa sebak di dada.

.

Kami.


Sebenarnya, saya yang rasa sangat gembira. Bila lihat wajahnya ceria. Senyumannya mengubat rasa rindu. Di wajah yang penuh garis kedutan, saya lihat wajahnya sangat manis dengan senyuman.

Sungguh, Allah itu sangat baik. Dia titipkan kasih sayang dalam jiwa setiap hambaNya. Pertemuan kami tak lama mana. Tapi sangat bermakna.

Sebelum beliau pulang, saya pandang matanya dan katakan.. "Madam, now we are your daughter."

Bertambah gembira dia. Terus dia rangkul kami seorang demi seorang. dipeluk kemas dan erat. Sungguh. Air mata tak mampu ditahan.

.

Sungguh aku bahagia
Bila lihat dirimu gembira
Senyuman manis ceria
Tanda hatimu juga bahagia

Sungguh aku bahagia
Bila hanya jadi hambaNya
Berkasih sayang kerana Dia
Bersilaturrahim sampai ke syurga

Sungguh.. aku rasa bahagia
Bila lihat dirimu tertawa
Walaupun seketika cuma
Tapi ia cukup bermakna

Sungguh..aku rasa bahagia
Merasa cukup dengan segala kurnia
Mengharap belas ihsan Allah setulusnya
Suburkan cinta dan kasih di hati kita



( Safinatunnajah Ahmadi, 2016)
<3 br="">Yang bahagia lihat orang gembira
Liverpool with Love <3 br="">




Selasa, 5 April 2016

Nota Inspirasi #48 : Aku Bukan Superman




Seorang sahabat baik saya Affero Ismail beri saya satu tajuk. Inilah tajuknya.

Sahabat baik saya ini saya kenal sejak sama-sama belajar di Universiti Putra Malaysia. Sama dengan Jun, kami berkawan sejak dari bangku universiti. Sama-sama cari ilmu dan makna hidup ini.

Tetapi hubungan kami bukan sekadar teman satu universiti. Lebih dari itu. Kami sama-sama lapor diri di Kementerian Sumber Manusia pada 14 Julai 2008. Masa itu kami terima tawaran jawatan sebagai Pegawai Latihan Vokasional, J41.

Tetapi kami terpisah jauh. Saya di Shah Alam, Selangor dan Affero di Batu Bahat. Tetapi kami sentiasa majukan diri bersama. Sampaikan kalau ada peluang kursus, kami akan saling menghubungi dan mengajak diri masing-masing turut serta. Sebab kami ingin berjumpa dan kongsi cerita.

Dari Kursus Pedagogi, Kursus Pemantapan PLV, hingga pembentangan di NCET pun kami sama-sama sertai. Kami memang sangat akrab. Pernah juga masa kami bujang, kami tengok wayang berdua dan buat ulangkaji untuk peperiksaan sah jawatan bersama. Hinggakan, ada kawan yang ingatkan kami ni bercinta. Tapi tidak. Beza umur kami 5 tahun tau.
Dr. Affero Ismail

Berbalik kepada tajuk cerita Aku Bukan Superman. Saya ingin kongsikan kisah ini. Kisah sedih sebenarnya. Tapi ada mesej inspirasi.

Dahulu, sebelum kami sambung PhD kami banyak kongsi rasa bersama. Sebenarnya, kami bercadang nak sambung PhD dah lama. Semasa mula lapor diri sebagai PLV , Affero dah habis Master. Saya pula di semester akhir pengajian Master saya. Sebolehnya pada tahun 2009 lagi, kami sambung PhD terus.

Tetapi, saya tak sanggup nak bayar yuran sendiri. Kerana semasa Master saya biaya yuran sendiri dengan bantuan keluarga. Yuran pengajian universiti kan mahal. Maka, kami menunggu sehingga cukup 3 tahun untuk melayakkan kami memohon Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Genap 3 tahun, kami pun berpakat nak sambung PhD sama-sama tetapi bidang yang berbeza. Tetapi pada tahun 2011, saya baru ditukarkan ke bahagian pengurusan. Saya diberi tugas sebagi Ketua Unit Kualiti. Saya sangat sibuk ketika itu. Dalam kesibukan itu, kami sempat sama-sama membentangkan hasil penyelidikan di NCET 2011 di Pulau Pinang.



Bakal Dr. Safinatunnajah Ahmadi




Tahun 2012, saya menyuruh Affero mengisi borang HLP. Dia ajak saya turut serta. Tapi saya dah tahu jawapan pihak atasan saya. Saya akur tetapi kecewa.

Bukan saya tak tahu diri, siapalah saya. Pegawai Gred J41. Masih ramai pegawai atasan yang layak mendapat hadiah HLP itu. Saya kata pada dia.. " Tak apalah Ferro. Kau isi dulu. Kalau kau berjaya , aku ikut jejak langkahmu".

Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan. Affero berjaya mendapat HLP. Waktu itu sebenarnya dia dah teruskan pengajian PhD secara sambilan. Jadi hadiah dari tuhan sangat bermakna bukan sahaja buat dia tetapi juga saya tumbang berbangga.

Kejayaan Affero jadi semangat kuat dan modal untuk saya. Bila saya ditidakkan peluang untuk menyambung pengajian kerana kurang kelayakan, saya katanya pada bos saya tentang Affero. Dia sama jawatan dengan saya. Sama-sama menyumbangk kepada jawatan. Turut serta buat oembentangan. Turut serta hasilkan inovasi untuk jabatan. Semua tentang Affero saya jadikan hujah yang kuat.

Sungguh. Itulah kuasa persahabatan. Hingga ke hari ini, kami terus bersahabat. Malah tuan suami Rayyan Hakimi pun dah jadi kawan baik dengan Affero. Saya pun baik dengan puan isteri Ummi Aishah. Bila kita bersahabat, biarlah silaturrahim itu tulus dan murni sampai ke syurga.

Saya dedikasikan sebuah puisi demi persahabatan kami.


AKU BUKAN SUPERMAN



Aku bukan superman
Aku tak sempurna
Tapi aku hanya hambaNya
Tuhan yang Maha Esa

Aku bukan superman
Aku tiada kuasa
Sedangkan kau dipinjamkan sementara
Kau salah gunakan ia
Kau sekat rezeki manusia
Tapi kau lupa Allah Maha Perkasa

Aku bukan superman
Mudah kau tindas demikian rupa
Tapi aku tak rasa apa-apa
Kerana aku ada Dia
Dia tak mungkin diam sahaja
Tunggu sahaja balasan dariNya

Aku bukan superman
Tapi aku punya mata dan telinga
Sentiasa sampai semua cerita dusta
Yang kau tabur merata-rata
Tapi kau lupa Dia dengar dan lihat segalanya

Aku bukan superman
Aku tiada kuasa luar biasa
Untuk aku lawan kau dengan kuasa
Tapi kau lupa satu perkara
Itu ujian buat dirimu jua
Amanah itu berat sebenarnya

Aku bukan superman
Aku memang tak mampu 
untuk melawan dirimu
Tapi kau lupakau bukan saingan aku
Kerana sebenarnya kau lawan tuhanMu

Aku bukan superman
Sungguh aku hanya insan biasa
Aku hanya hambaNya
Hamba Tuhan yang Maha Perkasa
Juga Pemilik segala-galaNya.


<3 div="" nbsp="">

Superwomen bukan Superman

Nota Inspirasi #47 : Kerja Sekolah Adik


Waktu kecil saya suka berlagak seperti cikgu. Di rumah memang tiada cikgu tuisyen macam anak-anak zaman sekarang. Nak masuk kelas tuisyen pun tak mampu. Iyelah. Kami kan anak orang susah. Miskin harta pula tu.
Di antara permainan ciptaan kami adik beradik sewaktu cuti persekolahan ialah main cikgu-cikgu. Selalunya sayalah yang jadi cikgu. Adik-adik saya jadi anak murid. Sebagai cikgu, saya mengajar dan memberi tugasan kepada anak-anak murid saya. Selepas tugasan tersebut dikumpulkan, maka saya akan semak dan beri markah.

Cikgu suka beri markah sempurna 100%

🌟🌟
🌟
🌟🌟
.

Siapa dapat bintang paling banyak, maka dialah anak murid paling cemerlang. Buku sekolah yang tak habis digunakan yang jadi mangsa. Cikgu jadian suka tunjuk dan gunakan kuasa bintangnya. Adik-adik pun suka.
Tak perlu pun permainan yang mahal untuk buat kami gembira. Sekadar bermodalkan buku latihan yang tak habis digunakan bila telah tamat sesi persekolahan. Anak-anak zaman sekarang kalau tak diberikan permainan kesukaan mereka, dengan bermodalkan jeritan dan tangisan sudah cukup membuatkan ibu bapanya mengalah.
Cikgu sekolah jadian garang orangnya. Tak percaya? Tanyalah pada anak-anak muridnya. Memang susah dia nak 'beri muka'.




Cikgu ni garang kan?





Satu hari, adik Safidatulnizah Ahmadi saya minta saya tunjukkan dia cara buat karangan. Ketika iti saya darjah 6. Adik saya yang kedua darjah 4. Saya tak ingat apa tajuk karangan tersebut. Tetapi, puas saya ajar adik saya. Sampai penat pun dia tak reti lagi nak tulis karangan itu. 

.

Akhirnya saya tulis karangan itu di kertas lain dan saya menyuruh adik saya salin sahaja di buku latihan dia. Selesai.

.

Adik saya nak masuk sekolah semula :-)


Pulang dari sekolah adik saya bercerita pada saya. Dia kena panggil dengan cikgu kelasnya. Cikgunya bagi amaran supaya buat kerja sekolah sendiri. Kantoi. Cikgu tahu saya tolong adik saya siapkan kerja sekolah dia.
Hish. Macam mana boleh kantoi. Bukan saya yang tulis dengan tangan saya. Adik saya tulis sendiri. Memang gaya tulisan kami berbeza. Jadi, saya fikir sudah cukup bijaklah kalau suruh adik saya yang tulis dengan tangan dia.
Tetapi saya lupa, cikgu lagi bijak. Cikgu serba tahu tentang anak muridnya. Agaknya cikgu pun hairan. Macam mana adik saya boleh buat karangan sempurna tanpa salah ejaan. Karangan budak darjah 6 dan 4 tentu berbeza.
Saya pun silap. Patut nya saya ajar adik saya sampai pandai. Tapi saya ini kurang sabar orangnya. Nak mudah sahaja. Kesian adik saya kena marah. Lebih malang lagi dia kena tulis karangan lain.
Saya akan buat kerja sekolah sendiri.
Saya akan buat kerja sekolah sendiri.
Saya akan buat kerja sekolah sendiri.
Saya akan buat kerja sekolah sendiri.
Saya akan buat kerja sekolah sendiri.
Saya akan buat kerja sekolah sendiri.
.
.
.
hingga 100 kali.



.
Sorry adik .



🙏
Tulus dari,
Kakak yang terlebih 'bijak' (kononnya) 
Liverpool, United Kingdom.

Nota Inspirasi #46: Aku Seorang Presiden



Subuh tadi saya disapa oleh seorang sahabat lama. Namanya Junaidah Jusoh. Beliau rakan sebilik semasa saya di Kolej Sebelas (K11), UPM. Kami bersahabat dah lama. 13 tahun lamanya.


Sudah lama saya tak jumpa beliau. Kali terakhir kami bertemu pada tahun 2007 jika saya tak silap. Waktu itu, Jun dapat tawaran bekerja di Melaka. Saya menghantarnya sampai ke rumah sewa di Alor Gajah, Melaka.

.

Jun dan Amni, Presiden ketika kami jadi Exco


Antara sahabat yang saya ada, Jun adalah orang yang selalu saya rujuk. Saat saya ditawarkan jawatan Presiden Kolej Kesebelas pada tahun 2005, ramai yang berpaling dari saya. Ramai yang tak setuju dengan keputusan daripada pihak pengurusan Kolej Kesebelas. Ramai yang pertikaikan mengapa mereka memilih saya???





Presiden Kolej Kesebelas yang tak pandai senyum



Saya pun bukannya mahu jadi Presiden. Saya tak pernah pegang jawatan dalam mana-mana persatuan sebelum itu. Entahlah, saya pun tak tahu kenapa barisan felo memutuskan begitu. Ramai yang lebih layak. Dalam top 5 kepimpinan Majlis Tertinggi Mahasiswa memang ada yang lebih layak.

Saat itu saya dan Jun adalah Exco. Saya adalah Exco ICT dan Penerbitan. Manakala Jun pula Exco Kerohanian. Keputusan pihak pengurusan saya terima dengan hati yang sangat berat.

Itu pun selepas saya bertemu dengan Jun. Saya tanyakan pada dia mengapa saya yang dipilih? Saya tak mampu nak pikul amanah tu.

Jun yakinkan saya. 
Dia kata " Najah, aku percaya pada kau. Aku percaya kau boleh jadi Presiden yang baik."

.

 Majlis Tertinggi Mahasiswa yang gila-gila

Masa itu airmata saya bergenang. Saya memang tak yakin. Saya memang rasa diri saya kerdil. Saya rasa saya tak mampu. Tapi satu-satunya insan yang bergelar sahabat memberikan kepercayaan dan kekuatan untuk saya. Di saat rakan sebilik saya ketika itu tak mahu bertegur sapa dengan saya selepas saya dipilih menjadi Presiden, pada Jun saya selalu meluahkan rasa.

Di saat saya rasa diperkecilkan, Jun sahabat sejati yang sentiasa mendorong saya. Kenangan airmata yang kami kongsi bersama terasa sangat manis hari ini. Sungguh. Terima kasih sahabat 😊.

Alhamdulillah. 
Segala puji-pujian hanya untuk Allah.



Majlis anjuran barisan kepimpinan MTM 2005

Sepanjang perjalanan hidup saya, saya temui ramai sahabat sejati. Yang benar-benar tulus dan ikhlas dalam persahabatan. Yang benar-benar faham, hidup ini satu perjuangan yang panjang tapi tak kekal. Hidup ini jalan membina dan menyemai benih saham akhirat. Untuk sama-sama kita berjaya dalam dua dunia.

Dunia penuh dengan kasih sayang. Kerana kasih sayang seorang sahabat membuat saya jadi bersemangat. Walaupun ramai yang menentang keputusan felo, saya teruskan juga memikul amanah tersebut. Kerana saya seorang Presiden. Saya harus kuat dan tabah.

.

Malam Seri Budiman


Terima kasih pihak pengurusan Kolej Kesebelas. Terutamanya pada bonda pengetua Puan Iza Dura Abdul Manan , pengurus kolej Tuan Mustafa, felo-felo seperti Tuan Muhazam Mansorr, Tuan Ordil Jay Svenn, Puan Noraihan Noordin. Tidak dilupakan felo yang lain seperti Dr. Zul, Puan Rosnani dan tentunya abang DeeJay ZaiNey . Siapalah saya tanpa mereka.

.

Ucapan terakhir sebagai Presiden


Aku seorang Presiden 
Amanahnya tak mampu ku tunai
Aku terima juga dengan separuh hati
Kerana ku tak mahu cemari
Kepercayaan dan harapan yang diberi

Aku seorang Presiden 
Walaupun yang insan lain sangsi
Aku selalu ingatkan diri
Ini amanah yang Allah beri
Untuk aku belajar erti hidup ini 
Dengan selalu dan banyak memberi

Aku seorang Presiden 
Aku kuatkan azam di hati
Hingga aku telan racun sendiri
Jadi penawar dan ubat hati
Kerna yakin janji Allah pasti

Aku seorang Presiden 
Bukan diberi kuasa tapi amanah
Harus ku junjung tinggi pekerti
Jangan sampai segalanya punah
Jadikan hidup penuh bererti

Aku seorang Presiden 
Bukan diberi pangkat tapi harapan
Harus ku genggaman erat di tangan 
Gali dan cari ilmu demi pengalaman
Buat bekalan masa hadapan

Aku seorang Presiden 
Bukan kerana nama dan glamour 
Harus ikhlas dalam berbudi
Bukan ingin jadi insan popular 
Tapi mencari redha Illahi

Aku seorang Presiden 
Onak berduri aku selusuri
Lautan api aku renangi
Terus tabah meniti hari 
Hingga akhir nafas nanti

.

( Safinatunnajah Ahmadi, 2016)

Presiden, Kolej Kebelas 
Universiti Putra Malaysia.

Isnin, 4 April 2016

Ini Jihad Kita #1 : Akhlak itu pakaian MUSLIM.






Perniagaan juga suatu jihad kita di muka bumi Allah. Jihad ekonomi. Apatah lagi jika perniagaan kita itu kita niatkan untuk mencari redha Allah. Ia juga dikira sebagai ibadah.




Sebagai salah seorang pengusaha dan pembangun jenama Tinanaja e-Boutique saya wajib jadikan kisah ini satu IKTIBAR buat saya dan rakan niaga saya Maya Che Ros yang juga membangunkan jenama Maya Apparel. Jadikan perniagaan kita sebagai ladang kita mengumpul pahala. bukan sebaliknya.


Jangan kerana ingin mengaut untung dunia kita bangkrup di akhirat sana. Peniagaan kita WAJIB PATUH SYARIAH. Bukan sahaja dari segi produk yang dikeluarkan. Tetapi pengurusan dan pemasaran juga wajib patuh syariah. Belajar tentang silaturrahim marketing daripada tuan guruShamsuddin Kadir. Banyak belajar daripada pencetus inpirasi Prof Dr Muhaya dan juga pemilik Modest Culture agar produk kita selari dengan suruhan dan larangan Allah. Ramai lagi pengusaha di luar sana yang turut mengamalkan konsep patuh syariah dalam perniagaan mereka. Carilah ilmu tersebut.


Maaf, saya bukan ingin membuat provokasi. Tetapi saya rasa bertanggungjawab dengan apa yang terjadi. Sebagai salah seorang khalifah di muka bumi, saya turut rasa kesal, marah dan kecewa. Saya tak mahu turut dapat saham sama. Alhamdulillah, saya memang tak pernah memiliki jenama tersebut. Kerana secara peribadi (pendirian saya sendiri), jenama tersebut tidak patuh syariah. Maaf.



pendirian tuan Hasrizal.


Wallahuaa'lam.


Mungkin masyarakat kita terlalu terbuai dengan keasyikan dunia. Terlalu berbangga dengan JENAMA. Terlalu asyik dan taksub dengan artis pujaan mereka. Nauzubillahi Min Zalik.


Sama-sama kita ingatkan diri bahawa JENAMA bukan jaminan ke syurga. Pertimbangkan soal adab, akhlak dan tatasusila kita sebagai MUSLIM. Sungguh saya jadi sangat MALU dengan rakan-rakan yang belum ISLAM bilamana melihat video yang sedang viral kini. Inikah IMEJ seorang Muslim? Seharusnya kita menjadi contoh terbaik umat Nabi Muhammad SAW. Jaga adab dan keperibadian kita.

Subhanallah.

Akhlak itu pakaian MUSLIM.

Wallahua'lam.
Allah lebih mengetahui segala-galanya.

From Liverpool with Love heart emoticon heart emoticon heart emoticon
Safinatunnajah Ahmadi
Pengusaha jenama yang masih belajar.

PhD # 9 : Terbang Tinggi Bersama




Pengalaman pertama tentu sukar untuk di lupakan. Seperti cinta pertama. Walaupun sudah berlalu pergi, tetapi tetap tersemat di hati. Yang pahit tetap ada manisnya bukan?

Hari ini saya perlu menyudahkan penulisan untuk "14th Global Conference on Sustainable Manufacturing" di Afrika Selatan pada bulan Oktober nanti. Mohon kalian doakan penulisan saya dipermudahkan dan diberikan idea yang bernas untuk dimanfaatkan untuk ummah kelak.





Saya ingin ceritakan apa yang manis tentang pengalaman ini. Sebenarnya saya saja-saja isi borang online untuk konferens ini. Asalnya saya hanya suka-suka nak tulis abstrak. Belum pernah saya sertai mana-mana konsferens luar negara. Saya masih sangat baru dalam dunia penyelidikan.

Saya tahu, rakan-rakan PhD yang lain lebih banyak pengalaman dalam penulisan akademik sebegini. Lebih banyak ilmu dan kemahiran berbanding saya. Mohon ajarkan saya ye teman.




Tajuk Abstrak


Kadang-kadang dalam hidup ini kita buat sesuatu itu tanpa sengaja. Kita buat kerana nak cuba. Kita lakukan sekadar suka-suka. Inilah yang terjadi kepada saya. Saya sebenarnya belum buat sebarang persedian rapi untuk ke konsferens tersebut. Ingatkan tak diterima. Tapi Allah tentukan rezeki saya bukan??

Semuanya, tidak berlaku dengan tidak sengaja. Ianya adalah aturan yang Maha Kuasa. Ianya dimulai dengan niat kita bukan? walaupun sekadar suka-suka dan cuba-jaya. Tetapi doa kita diangkat ke langit. Percaya tidak?

Lihat, hidup ini kan sangat indah. Buatlah apa yang kita suka selagi Allah pun suka. Mengembaralah kemana sahaja selagi kita niatkan bahawa kita ini ingin terus mencari cinta Illahi. Cari dan gali ilmu sebanyak mungkin. Tambah ilmu dan pengalaman di dada. Perkasakan diri kita. Kongsikanlah sebanyak mana ilmu dan pengalaman yang kita ada. Tanam saham-saham akhirat kita.

Tak perlu tunggu semuanya sempurna. Kadangkala kesilapan kita itu jadi peringatan dan panduan untuk orang lain. Ia sangat berharga. Sayang jika dipendam sendiri sahaja. Bukankah ianya tetap kejayaan buat kita?

Kejayaan sebenar adalah bilamana kita mendapat ganjaran Syurga di sana. Terbanglah tinggi duhai bidadari syurga. Pimpinlah tangan bersama. Kita terbang dalam jemaah yang sama.



Wallahua'lam.
Hanya Allah lebih mengetahui segala-galanya.

Nota Inspirasi #43: Bunuhlah Aku



Tajuk cerita macam ngeri kan? Tapi ini kisah sedih. Sungguh.


Begini ceritanya..


Saya ada seorang lagi adik. Namanya Siti Juliana. Saya yang beri dia nama itu. Kerana sewaktu saya tadika, saya ada kawan baru bernama Juliana Kaimi. Dia pelajar baru. Baru berpindah ke tadika kami. Rumahnya tak jauh dari Tadika Kemas Rantau Panjang.


Juliana kawan saya ni cantik orangnya. Saya memang suka sangat dengan dia. Jadi bila mak sayang bersalin adik saya yang kelima, saya cadangkan nama Juliana pada mak saya. Maka, itulah yang ditulis dalam surat beranak adik saya yang kelima.


Saya akui adik saya yang kelima ni cantik orangnya. Alamat lah malam ini dia tidur senyum gaya P.Ramlee la. Dia memang ramai peminat semasa sekolah. Ramai abang angkat. Cikgu pun suka pada dia. Dia rajin orang nya. Agaknya orang nama Juliana ni memang ditakdirkan jadi orang glamour kot.





Inilah Siti Juliana





Berbalik kepada kisah yang ingin saya ceritakan tajuknya "Bunuhlah Aku". Ini ayat keramat yang jadi usikan kami adik beradik.


Sewaktu kecil kerana kami susah, kami makan pun berebut antara satu sama lain. Lagi-lagi kalau dapat makan sedap. Masing-masing suka nak berebut. Walaupun, mak saya dah bahagikan mengikut bahagian masing-masing secara adil, tapi biasalah kan selalu tak cukup.


Satu hari, selepas menghantar Mak Long saya ke stesen bas Klang, ayah saya singgah ke pasar malam. Kata ayah mak long beri duit untuk belanja kami. Jadi ayah belikan sate malam itu.


Saya dan adik-adik memang suka makan sate. Lagi-lagi sate ayam. Ayah beli sedikit sahaja. Tak silap selepas dibahagikan sama rata tiap seorang dapat 2 cucuk.


Sedang sedap menikmati kelazatan sate ayam, adik saya menjerit.

"Bunuhlah aku. Bunuhlah aku."


Terbantut selera. Rupanya adik-adik saya bergaduh. Tak silap saya sate milik Juliana direbut oleh Ana. Punyalah Juliana makan berdikit dikit sebab sayang, si Ana rembat terus masuk mulut dia.


Kesian kan.

Saya pun hulurkan sebatang untuk dia. Tak sampai hati. Takpelah. Memang saya sangat suka sate. Tapi saya lagi sayang adik saya. Lagipun adik saya masih kecil kan. Dia mana faham lagi ayah tak berduit. Dapat makan sedap sekali sekala pun saya dah sangat bersyukur.


Tiap kali saya dapat gaji saya suka beli sate. Mengenangkan waktu kecil sukar nak dapat sate. Adik-adik saya pun suka makan sate. Tiap kali dijamu sate saya pasti nak beri lebih pada Juliana. Bimbang sejarah lama berulang. Tapi sekarang dia dah tak hairan dengan sate dah. Tapi tiap kali makan sate mesti ayat keramat  tu ayah dan adik-adik lain sebut.



Sate yang saya buat di Liverpool




Hihihi.

Nota inspirasi #42: Kenangan Manis Berdarah



Waktu kami kecil, keluarga kami susah. Tapi kami masih dapat makan nasi. Walaupun hanya Berlauk garam dan kelapa parut.

Saya masih ingat lagi. Sekitar tahun 1986 kalau tak silap. Waktu itu saya berumur 6 tahun. Masa itu kami sangat susah. Ayah diberhentikan kerja. Mak saya ketika itu mengandungkan adik saya yang kelima.

Ayah berusaha kuat. Saya ingat lagi ketika pulang dari tadika, adik saya yang keempat dan ketiga bermain di semak belakang rumah kami. Mereka memang sangat rapat. Nama pun dekat-dekat. Yang ketiga bernama Mohd Muliadi Ahmadi. Yang keempat bernama Siti Muliyana Ahmadi. 

Pernah sekembalinya saya dari tadika, saya lihat adik saya si Ana berbalut kepalanya. Kata ayah, adik saya tu nakal sangat. Ayah sedang memotong besi untuk dijadikan dinding reban ayam. Entah macam mana, Ana boleh pulak tertusuk besi. Mungkin dia dan abangnya berkejar-kejaran di kawasan ayah memotong besi tersebut.

Bukan itu sahaja kisah mereka. Ada banyak lagi tau. Parut di badan adik saya Ana tanda keakraban dia dan abangnya. 
Itulah bukti kenangan 'manis' berdarah mereka.

Ada satu lagi cerita. Yang ini saya tidak ingat tahun bila. Tapi masih mereka kecil la. Belum bersekolah ketika itu rasanya. Mereka suka main di kebun, tepi parit, dalam parit dan sebagainya. 

Mereka berdua akan kemana sahaja berdua. Macam belangkas. Adik saya Ana memang lasak macam lelaki. Iyelah. Ikut abangnya ke sana sini. Satu hari mereka bermain dengan parang kepunyaan ayah. Habis pokok pisang yang ayam tanam ditebangnya.

Entah bagaimana, ketika hendak menebang pokok pisang tersebut parang yang sangat tajam itu mendarat di tangan adik saya Ana. Habislah jari jemari ditetak oleh abangnya. Kesian kan?

Mencurah-curah darah yang keluar. Tapi seingat saya, Ana tak menangis langsung. Tapi adik lelaki saya yang pucat lesi kerana takut dimarahi. Berkali-kali dia ceritakan bahawa dia tak sengaja.

Dia menyuruh Ana pegang pokok pisang itu. Sambil tangannya menghayun parang yang tajam. Silap sasaran kena pada tangan Ana.

Memang tragis.
Tapi itulah kenangan manis berdarah mereka ketika kecil. Masih banyak lagi yang belum saya ceritakan. Nanti bocor pula rahsia adik saya. Kang bakal suami tak jadi meminang. Hahahaha


Inilah Ana


p/s : Ana masih single available. :-)


.


Nota Inspirasi #45: Anak Yang Berjaya






Hari ini saya terima mesej dari adik saya. Berkenaan laporan keputusan peperiksaan Amer Najhme.

Kata adik saya keputusan peperiksaan Amer 40.8% je. Tengok gaya tulisan ummi Amer ni pun nampak macam putus asa. Relaks la adikku. Amer baru darjah 1.


Mesej Ummi Amer Najhme


Memang, jika nak bandingkan prestasi Amer dengan adiknya Ammzhar Faress memang banyak perbezaan. Tapi Amer punya banyak lagi kelebihan. Amer sangat penyayang. amer sangat ringan tulang. semua kerja dia nak cuba tolong buat. Bukankah itu sudah cukup bagus??

Seperti kata abang Nazali Noor, setandan pisang pun masak tak sama. Apatah lagi potensi manusia.

Ini kak long nak cerita tentang ummi Amer. Dahulu, adik sayaSafidatulnizah Ahmadi pun bukan bijak mana. Tapi ayah saya tak bandingkan saya dengan dia.

Ayah saya relaks je. Beliau cuma nasihat supaya kami belajar rajin-rajin. Bukan belajar pandai-pandai. Berbeza tau.

Bukan semua orang dianugerahkan otak yang pandai. Tetapi semua orang dianugerahkan otak yang sama saiznya. Adil bukan?

Yang membezakan antara orang bijak dan tidak bukan dari saiz otaknya. Tetapi dengan usahanya. Cuba tanya usaha pelajar yang bijak dan kurang bijak. Pasti berbeza. Siapa rajin berusaha dia akan dapat hasilnya.

Dahulu saya suka duduk paling hadapan. Sebab saya nak fokus mendengar cikgu mengajar di dalam kelas. Bak kata Puan guru Tiny Azleen Yahaya, pelajar yang duduk hadapan akan dapat tumpuan lebih dari gurunya. Memang benar.

Berbanding adik kedua saya, dari segi akademik memang saya lebih bijak. Sebab saya kuat berusaha. Saya suka mengulang kaji. Di rumah saya tak punya banyak masa kerana sibuk menjaga adik-adik dan membantu mak dan ayah uruskan mereka. Maka, waktu di sekolah saya gunakan sebaik-baiknya.

Masa untuk saya fokus belajar adalah di sekolah. Saya duduk paling hadapan. Saya paling suka bertanya itu dan ini. Bila cikgu tak masuk kelas, saya akan selesaikan kerja sekolah yang ada. Kawan-kawan lain sibuk bermain. Tetapi saya siapkan kerja sekolah dahulu baru saya bermain. Saya gunakan masa terluang untuk habiskan membaca buku teks.

Sebulan bersekolah, saya dah habis baca buku sampai muka surat terakhir. Banyak yang saya tak tahu. Maka, saya bertanya pada cikgu. Soalan saya lebih advanced. Cikgu belum ajar saya dah tanya apa yang saya tak tahu.

.

Dan hasilnya memang selalu saya dapat No. 1. 😊

.

Sebagai ibu bapa jangan kita bandingkan anak-anak kita. Setiap anak mempunyai potensi yang berbeza. Gilap bakat mereka. Hargai dan raikan kejayaan mereka. Bukan No. 1 dan banyak A tanda mereka sudah berjaya. Mereka telah berjaya kerana mereka sudah berusaha sebaiknya.

Peluk dan cium mereka tanda kita berbangga. Ucap tahniah pada mereka. Anda beruntung kerana menjadi ibu dan ayah. Saya dan suami belum sempat merasa nikmat itu.

Bersyukur ye kita. Banyak nikmat yang Allah dah berikan pada kita semua.


Alhamdulillah. 
Segala puji-pujian hanya untuk Allah.


<3 div="" nbsp="">

Safinatunnajah Ahmadi
Anak yang belum berjaya
Mendapat Syurga Abadi

Ahad, 3 April 2016

Nota Inspirasi #41 : Ku Temui CintaMu di Perhentian Bas


Bismillah


Setiap kali ingin ke universiti, saya suka menggunakan perkhidmatan bas awam. Bas no. 76 sentiasa lalu di hadapan rumah kami setiap 30 minit. Bas ini memang lalu di hadapan pejabat saya. Memang mudah.

Antara sebab mengapa saya memilih untuk tinggal di Lodge Lane adalah kerana kemudahan yang ada di sini. Walaupun kawasan kediaman lebih jauh daripada kawasan komuniti Melayu di sini, saya suka.

Dengan sekali house viewing kami terus buat keputusan untuk tinggal di sini. Urusan sewaan rumah pun sangat mudah. Pejabat agen pun di sini. Milik orang Muslim. Apa yang membuatkan saya jatuh cinta dengan rumah yang kami duduki adalah kerana di bangunannya ada kalimah bismillah. Tak banyak bangunan yang ada kalimah Allah. Rata-rata bangunan di sini pemilikNya tidak kenal Allah sebagai Tuhan mereka.

Astaghfirullah.

Semalam, ketika berjalan ke perhentian bas di hadapan rumah kami saya disapa oleh seorang wanita. Sekali pandang wajahnya persis wajah arwah nenek saya. Rasa nak mengalir air mata. Kami terus bersalaman. Saya kucup tangan beliau. Syahdu rasanya. Seolah-olah mengucup tangan arwah nenek yang sangat saya rindui.

Beliau terus memeluk saya. Allahuakbar. Menitis air mata dibuatnya. Terus saya tatap wajah beliau sambil berkata "Madam, your face look like my grandmother ".


Cikpuan Nusrat Jahan. Ada kawan yang kata muka kami ada iras.



Beliau senyum. Riak wajahnya berubah. Beliau sangat gembira. Kami terus berbual rancak. Sementara menunggu bas tiba, ada masa untuk kami berbual selama 10 minit.

Saya tanyakan kemana beliau ingin pergi. Balasnya.. Dia ingin ke pusat komuniti di Kensington. Beliau ceritakan pada saya bahawa beliau seorang guru. Mengajar di pusat itu. Secara sukarela beliau menghabiskan sisa usia berbakti di situ.

Diceritakan bahawa dahulu komuniti mereka ada sebuah masjid di situ. Tapi itu cerita 3-4 tahun dahulu. Kita masjid tersebut diambil alih dan dijadikan gereja. Allahuakbar. Sedih nya.

Katanya lagi, beliau sering datang ke situ untuk mengadakan kelas dan bersolat di situ. Allahuakbar. Betapa saya rasa malu pada Allah. Saya malu pada Rasulullah.

Masjid yang bertahun-tahun menjadi rumah Allah bertukar menjadi gereja. Tetapi wanita ini tak pernah putus asa. Terus menghidupkan Nur islam di 'masjid' itu.

Bidadari syurga ini berkali-kali mengingatkan saya untuk menghubungi dia. Diberikan nombor telefon dan alamat kediaman beliau. Bersungguh-sungguh dia mengajak saya datang ke rumahnya. Dia tinggal bersendirian. Kasihannya. Hati saya menangis.

Dengan baki usia yang ada, beliau masih gigih untuk berbakti. Dengan kudrat yang ada beliau terus melangkah dan meneruskan perjuangannya. Hingga saya tertanya-tanya pada diri. Bermonolog sendiri. Betapa hinanya diri ini. Bila berhadapan dengan insan berhati mulia ini.

Astaghfirullah.

Selama saya hidup, apalah sumbangan saya untuk islam? Masih ramai manusia yang belum kenal Allah sebagai Tuhan mereka. Malu benar saya pada Allah. Bersalah rasanya saya pada Rasulullah. Saya belum mampu menyebarkan Nur islam ke serata dunia.

Apalah guna saya berada di bumi milik Allah ini? Jika sekadar ingin hidup dan mengumpul harta dunia, alangkah sia-sia hidup kita. Astaghfirullah. Ampunkanlah kami ya Allah. Ya Ghafur.

Sungguh, pertemuan semalam sangat bermakna. Di saat saya tercari-cari arah mencari cinta Tuhan, Allah kirimkan bidadari syurga di bumi ratu ini. Terima kasih Allah atas kurniaanMu.

Sebelum beliau melangkah pergi saya sempat mengucup tangannya. Syahdu. Hiba. Ketika bas no. 27 sampai, dia berlalu meninggalkan saya. Sempat dia menoleh pada saya lagi sambil berkata jangan lupa datang ke rumahnya. Ya Allah. Wajahnya sangat gembira. Mungkin dia rasa bahagia dengan pertemuan kami. Sungguh, hati saya yang rasa sangat bahagia. Dapat melihat wajah bidadari persis arwah nenek saya.


Bas No. 27 dah sampai. Bas ini lalu di hadapan Stadium Anfield




Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim.

Ku temui cintaMu di perhentian bas di bumi ratu.

Alhamdulillah. 
Segala puji-pujian hanya untuk Allah.




Wallahua'lam. 
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galaNya.

.

LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)