Rabu, 5 Disember 2012

Kilauan Emas RIID 2012- Bahagian II



Sudah hampir sebulan blog saya ini ditinggalkan. Dah hampir bersawang agaknya. Banyak cerita yang ingin dikongsikan tetapi kekangan masa menghalang saya untuk menulis. Cerita tentang RIID 2012 pun saya tak habis ceritakan lagi. Biarlah gambar yang menceritakan segalanya.


Hampir tiba ke lokasi. Dulu semasa belajar di Kolej UNITI saya kerap juga lalu jalan ini. 


Akhirnya tiba di UiTM Kampus Alor Gajah. Selama ini jalan ini sahaja. Baru berpeluang masuk ke sini. Kampus yang indah & permai. Seronok kalau dapat belajar / bekerja di sini. Jauh dari hiruk-pikuk kota.

Sampai di Dewan Taming Sari. Mereka sediakan booth ini. Siap dengan lapik meja. 



booth kami no 84 & 85


suasana pentas utama. ketika ini mereka tengah buat rehearsal.


Tapi booth yang disediakan agak kecil. Mesin yang kami bawa besar. Nasib baik la dapat sebelah tepi. Lepas setup booth beginilah gambarannnya.


pandangan sisi





Poster CCM


Poster APF



Pada awalnya hanya saya seorang daripada kumpulan saya yang hadir. Jenuh juga la nak mengangkut semua peralatan dan mesin. Syukur sebab ada rakan sejawat yang lain yang sangat membantu dan memberi sokongan. Terima kasih rakan seperjuangan Norakmal Maamor, Nor Azlan Abdul Rahman, Raja Shahrizal Raja Mad Yatim, Mohd Fauzi Abu Bakar dan Muhd Hazrin Redzuan.Kumpulan mereka memang mantap. Kalau mereka tiada hari itu tak tahu la macam mana keadaanya.

Rakan seperjuangan saya hadir agak lewat. Gara-gara tersesat ke UiTM Melaka. Patutnya ke UiTM Alor Gajah. Nasib baik ketika juri sampai ke booth kami mereka dah selamat tiba. Kumpulan saya terdiri daripada 5 orang ahli iaitu saya sendiri, Ahmad Nizam Yaacob selaku ketua kumpulan, Mohd Azmi Abd Rahman, Hemi Azwan Ikhwan dan  Shahruddin Abdul Rahman. Mereka semua dari Bahagian Teknologi Pembuatan. Walaubagaimanapun hanya 2 orang ahli kumpulan saya yang dapat hadir akibat kekangan tugas/modul. Minggu itu mereka sangat sibuk dengan tugas pengajaran & peperiksaan.

Penjurian RIID 2012 adalah selama 2 hari. Juri kami daripada MIDA. Semasa penjurian, ahlhamdulillah. Segalanya berjalan lancar. Cuma kami kurang mata kerana belum membuat permohonan pendaftaran harta intelek.

Hari kedua, terdapat dua sesi ceramah sebelum majlis penutup dan pengumuman pemenang dilakukan.


ceramah GENOVASI


persembahan yang kreatif





Gimik perasmian. siap ada maskot lagi..


Akhirnya penantian kami berbaloi. Memang sangat berdebar masa nak tunggu pengumuman.

Akhirnya...pingat perak..milik kami...


silver- projek Steering Wheel Alignment Jig

Tidak disangka-sangka kumpulan kami berjaya mendapat 2 pingat emas


Gold - Can Crusher Machine & Automatic Poultry Feeder


Sejarah yang terukir..memang manis. 
Hilang segala jerih payah....
 untuk berada di tahap ini bukan suatu yang mudah...







Sebenarnya ini adalah penglibatan pertama kami bersaing dengan IPTA lain. Selama ini hanya merasa bertanding di peringkat JTM sahaja. Tetapi tidak beroleh apa-apa. Ramai yang kurang yakin pada awalnya. Tetapi berkat kesabaran dan semangat yang tidak berbelah bagi dari  rakan seperjuangan, akhirnya ternyata kami mampu. Mungkin ada produk lain yang lebih baik daripada projek yang kami pertaruhkan. Tetapi, hakikatnya kejayaan ini boleh dijadikan batu loncatan dan pemangkin untuk meraih kejayaan lain yang lebih besar di masa akan datang. Moga ianya jadi inspirasi kepada pelajar-pelajar kami dan juga rakan seperjuangan yang lain.

Sekali lagi, terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan semangat kepada kami. Tanpa kalian, siapalah kami. Tanpa sokongan dan iringan doa kalin, kejayaan ini hampir mustahil.




p/s: mimpi suami saya jadi kenyataan. mimpi saya juga jadi realiti....tak salah kita bermimpi..insyaallah..jika diizinkan olehNya..tiada yang mustahil.....







Jumaat, 9 November 2012

Kilauan Emas di RIID 2012

Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah... segala jerih payah terasa berbaloi. Usaha kami tidak sia-sia. Kalau diikutkan persiapan kami tidak seberapa. Dalam masa kurang seminggu sahaja persiapan kami. Selepas membuat pembentangan projek kepada pengarah, terdapat beberapa teguran demi penambaikan projek kami.
Saya bertungkus lumus mendapatkan poster dan flyers untuk projek-projek kami. Bersyukur sangat pada Allah kerana memudahkan segalanya. Terima kasih kepada saudara Elfe Azrul dan Muaz yang sudi membantu dan memenuhi permintaan saya dalam menyiapkan poster dan flyers. Walaupun tempoh yang diberikab amat singkat, kira-kira 3 hari sahaja untuk membuat rekabentuk dan cetakan. Mereka telah buktikan ketrampilan dan prestasi kerja yang mantap.
Inilah poster di booth kami.
Setup booth kami simple sangat. Kalau ikutkan booth lain memang cantik & kreatif. Macam-macam jenis projek yang dipamerkan.
Cerita seterusnya...tunggu..saya dalam bas ni. Dalam perjalanan ke Kota Bharu Kelantan. Nanti saya sambung cerita ye :-)








Jumaat, 2 November 2012

PETUA PIKAT HATI SUAMI..HIDANGAN...






Apa khabar semua? Semoga kalian sentiasa berada di dalam lindungan dan limpahan rahmat dari  Allah SWT. Di hari Jumaat yang penuh keberkatan ini, sama-samalah kita mensyukuri sebgala nikmat yang telah Allah berikan. Segalanya hanyalah PINJAMAN buat kita. Semuanya milik Allah.

Suami kita milik Allah..anak-anak kita pun milik allah..Diri kita sendiri juga milik Allah. Selama mana ia masih milik kita, sama-samlah kita hargai dan pelihara ia. Buat yang terbaik kerana Allah SWT.

Sebagai isteri tentunya kita semua tak sanggup untuk berkongsi kasih suami dengan orang lain. Seboleh-bolehnya, biarlah kasih sayang suami hanya untuk isterinya seorang dan anak-anak serta keluarga. Siapa yang tak sayangkan suami kan?? Untuk menjadi isteri yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan suami dan keluarga, bukanlah tugas yang mudah bagi isteri. Saya percaya kita sebagai isteri sentiasa melakukan yang terbaik untuk memenangi hati suami terutamanya dan juga anak-anak.

Saya telah kongsikan TIPS 4 H - Tips Pikat Hati Suami. Salah satu tips untuk memikat dan menambat hati suami adalah melalui HIDANGAN. Jadi sebagai isteri kalau kita tak pandai memasak takpe.... yang penting kita kena rajin memasak. Nanti lama kelamaan kita mesti jadi mahir.

Kalau isteri tak pandai masak, sedangkan suaminya suka makan..isteri kenalah belajar masak..terutamanya masakan kesukaan suami. Cara paling mudah kalau anda masih mempunyai ibu atau ibu mertua, cubalah bertanyakan pada ibu mertua masakan kegemaran suami. Belajar dengan ibu mertua anda. Bukan sahaja suami bertambah sayang pada kita, ibu mertua pun akan lebih gembira dan merasakan kita amat menghargai beliau dan bertambah kasih pada menantunya.


memori perkahwinan kami...

Inilah cara saya mengambil hati suami dan ibu mertua saya. Lagipun ibu mertua saya memang pandai masak. Di awal perkahwinan, suami selalu sangat memuji ibunya di hadapan saya. Ibunya pnadai buat nasi goreng..cekodok ikan bilis ibunya paling sedap..ibunya paling terror buat sambal nasi lemak..semuanya tentang ibunya. Al-maklumlah...suami saya ni memang ANAK EMAK. Suami saya memang sangat rapat dengan ibunya.  Sebagai isteri saya cemburu juga. Kadang-kala saya rasa macam saya BERMADU pula dengan ibunya..


Tetapi sebagai isteri, kita kenalah BIJAK. Takkan kita sanggup sampai 10-20 tahun nak mendengar suami asyik memuji ibunya atau orang lain lebih dari isteri sendiri kan? Saya akui, memang ibu mertua saya pandai memasak. Ibu mertua saya sewaktu mudanya, beliau berniaga menjual nasi lemak dan kuih muih. Saya sendiri pernah merasa nasi lemak dan kuih muih buatan beliau memang sangat enak.  Jadi rugilah kalau saya tak cedok ilmu dari ibu metua saya. Saya rajin belajar dengan ibu mertua saya dan merujuk beliau, terutamanya resipi dan menu kegemaran suami saya.




air tangan buat yang tersayang..seronok makan beramai-ramai


Seronok sangat berada di dapur dan belajar dari yang pakar. Walaupun ibu mertua saya tidak pernah mengikuti kursus masakan apatah lagi memiliki sijil atau diploma dalam bidang masakan,  tetapi air-tangan beliau memang menambat hati kami sekeluarga. Tidak hairanlah suami saya selalu memuji.

Tapi itu dulu...sewaktu awal perkahwinan kami. Saya pun dah pandai masak hidangan yang suami saya gemar. Sekarang kalau pergi ke restoran yang dulu dia sangat suka makan di sana pun, dia dah mula komplen kata tak sedap. Dia kata saya masak lagi sedap! Hehehe..seronok jugak kan.. Siapa tak suka dipuji, lagi-lagi pujian dari suami sendiri. Suami saya sekarang dah jarang nak puji masakan ibu dia depan saya. Saya yang selalu dipuji itu dan ini...(kembang juga hati ini....)

Kepada kalian yang tidak mempunyai ibu/ibu mertua lagi, jangan gusar. Di zaman teknologi yang serba canggih ini segalanya mungkin. Saya sendiri pun selalu mencari resepi-resepi secara online. Taip sahaja google...nak resepi apa?? semuanya ada.

Satu amalan yang jarang-jarang sekali saya terlupa. Bibir ini sentiasa BERSELAWAT semasa memasak. Terutamanya bila memasak khas untuk suami tersayang. Moga-moga tertambat selera suami pada masakan saya. Setakat ni alhamdulillah, selawat membuatkan masakan saya CUKUP RASA. Tak payah pakai perencah dan ajinomoto bagai. Alhamdulillah...


Ketika di dapur jangan lupa amalkan  petua dan doa berikut ye...


Doa Masuk Dapur 
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. [18:10]

Doa Waktu Sukat Beras (Baca 3 kali)
الحَمدُ للهِ الَذي اطْعَمَنَا  مِنْ جُوعٍ

Segala puji bagi Allah yang telah memberi kami makan daripada kelaparan.


Doa Buka Periuk (Baca 3 kali)
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

Ya Allah berkatilah kami daripadanya an kurniakanlah kami makanan yang lebih baik darinya (At-Tarmizi 5/506. Sahih At-Tarmizi 3/158.)



Zikir Waktu Masak (Baca 3 kali)
لَيْسَ لَهَا مِنْ دُونِ اللَّهِ كَاشِفَةٌ

Tidak ada yang akan menyatakan terjadinya hari itu (kiamat) selain Allah. [53:58]
(Kalau ikut lawan jam)


Doa Potong Sayur & Buah (Baca 3 kali)
فَذَبَحُوهَا وَمَا كَادُوا۟ يَفْعَلُونَ

Maka mereka pun menyembelih ia, dan hampir-hampir mereka tidak menunaikan (perintah Allah) itu. [2:71]

Doa Letak Periuk/Kuali Atas dapur (Baca 3 kali)

فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ


Maka Allah akan memelihara kamu dari mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [2:137]



Doa Simpan Beras (Baca 3 kali)
وَتَرْزُقُ مَن تَشَاء بِغَيْرِ حِسَابٍ


Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya. [3:27]

Doa Untuk Sedapkan Makanan (Baca 3 kali)








Sama-sama kita amalkan ye. Moga kasih suami tetambat pada kita. Kasih anak-anak sentiasa bersama kita. Keluarga bahagia milik kita. 

Sekian, terima kasih kepada yang sudi membaca entri ini.

Wabillahitaufik Wal Hidayah.. Wassalam.



P/S: Maka nikmat Allah yang mana mahu kamu dustakan?





sumber : DISINI & DISINI



Khamis, 25 Oktober 2012

Cipta Sejarah vs Pengorbanan Terindah




Apa khabar semua? Dah ramai yang balik ke kampung halaman?? Selamat pulang ke kampung halaman masing-masing dan selamat berhari raya. Kejap je dah raya kan? Asyik duk berangan je, tak sedar masa berlalu dengan pantasnya. Bila sebut pasal berangan ni saya teringat la cerita Fatin Liyana. Siapa yang tak kenal FL?? Aik..xde.. Memang la. Saya kenal dia pun sebab saya Blogger. Dia antara Blogger Terhebat abad ini tau!

Cerita pasal angan2 ni saya teringat pasal angan-angan saya yang sama macam dia juga. Kami ada persamaan tau!!! Boleh baca cerita FL di SINI yer..




Dulu saya pun berangan nak jadi covergirl Majalah. Saya isi borang peraduan banyak kali dah. Tapi bila nak hantar je selalu tak jadi nak pos? Sebab apa?? Sebab saya tak YAKIN dengan keupayaan diri saya sendiri. Saya rasa saya tidak CUKUP CANTIK dan BERGAYA untuk menghiasi muka majalah.

Tapi ntah macam mana dapat peluang terpijak boleh dapat terus test shoot tanpa isi borang peraduan pun. Nak tahu macam mana saya dapat??  boleh baca cerita saya DI SINI. 


Saya belum merasa lagi jadi covergirl. Tapi pernah berprluang menghadiri test-shoot. Tapi tak terpilih nak jadi penghias muka depan majlah tu..huhuhu...Mungkin  saya kena kurus lagi la kot?? Tapi sebab berangan jugak la..muka saya dapat masuk gak kat majalah. Walaupun bukan covergirl. Jadi la kan??




Nak baca cerita boleh klik LINK INI dan cerita pasal pergi test shooting DISINI


Pernah dengan tentang HUKUM TARIKAN?? Tak pernah?? Erm.. Law of Attraction?? Tak pernah jugak?? Sedihya. Yelah...mesti sebab anda jarang membaca kan. Tak pun anda semua suka membaca tapi..bahan bacaan anda adalah sekadar majalah hiburan semata-mata. Rugi besar tau!!!

Saya bukan nak mendabik dada yang saya bijak dan pandai. Ramai lagi yang lebih bijak pandai dari saya. Tapi saya terlalu CINTAKAN ILMU. Kalau datang rumah saya, anda boleh lihat deretan buku-buku ilmu pelbagai genre menghiasi bilik dan ruang tamu saya. Ruang yang ada tak cukup samapi dalam kereta pun melambak-lambak buku saya.

Ok, berbalik pada topik asal semula ye. Saya hanyalah insan biasa sahaja. Bukan artis atau selebriti popular. Tapi saya seorang yang sangat KUAT BERANGAN. Bukan angan-angan Mat Jenin tau! Apa yang saya angankan, selalunya saya akan dapat.

Saya pernah berangan nak jadi pelajar yang pandai. Jadi, saya ubah diri saya daripada seorang yang pemalas kepada seorang yang lebih rajin. Kalau orang tanya apa rahsia saya sehingga saya menjadi Pelajar Terbaik SPM tahun 1997 di Sekolah Agama Menengah Hisamuddin Sg. Bertih, apakah saya jawab? Saya tiada rahsia pun. Sebab semua rahsia tu tokoh-tokoh motivasi terkenal dah beritahu. Boleh cari dan google ye. Saya mendapat keputusan cemerlang yang saya sendiri tidak jangka. Saya mendapat 6 Agregate dengan 8A1 untuk subjek Bahasa Melayu, Matematik, Pendidikan Syariah Islam, Pendidikan Al-Quran dan Hadis, Ekonomi Asas, Bahasa Arab Tinggi, Bahasa Arab Komunikasi dan Sains. Subjek Sejarah saya dapat A2 dan Bahasa Inggeris saya mendapat gred 4.

Keputusan SPM saya menggemparkan pihak sekolah. Ini kerana saya bukan pelajar harapan sekolah yang dijangka akan mendapat keputusan cemerlang. PMR tahun 1995 pun saya hanya dapat 5A, 3B dan 1C sahaja. Subjek Bahasa Melayu, Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam, Sejarah dan Geografi. Untuk subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris saya mendapat keputusan B. Bahasa Arab saya dapat C. Teruk kan?

Tapi macam mana SPM Tahun 1997, saya boleh dapat Bahasa Arab Komunikasi dan Bahasa Arab Tinggi dengan keputusan cemerlang dan diiktiraf pelajar terbaik subjek tersebut? Kuncinya dalah USAHA. Semasa Tingkatan 4, kami pelajar SAMHSB bakal menduduki Sijil Menegah Agama (SMA). Semua subjek dalam Bahasa Arab. Nak menjawab pun kena dalam Bahasa Arab.

Saya panik tau. Sebab saya ini tak pandai langsung Bahasa Arab. Semasa menjawab peperiksaan PMR untuk subjek Bahasa Arab saya memang tak boleh jawab. Pastu kena buat karangan. Saya hanya hafal karangan pergi ke Zoo sahaja. Kerana masa di dalam kelas, karangan yang Ustaz ajar adalah karangan pergi Zoo dan saya hanya hafal tanpa faham maknanya.

Bila keluar soalan PMR, saya tengok soalan yang keluar bukan soalan pergi lawatan ke Zoo. Saya memang tak tahu nak buat karangan. Jadi saya pun bantai je buat karangan zoo jugak. Memang kelakar sebab saya tak menjawab soalan. Tapi daripada saya hantar kertas kosong. Baik saya buat je apa yang saya tahu.

Memang saya buat Solat Hajat agar lulus jugak. Saya tak mahu kalau dapat F dan Gagal. Tapi rezeki saya. saya dapat C. Sukur sangat! 

Orang kata tingkatan 4 adalah musim bulan madu. Tapi pada saya tidak. Saya berubah menjadi pelajar yang rajin kerana saya ada IDOLA. Siapa idola yang saya minat masa tu? Tentulah lelaki. Dia pelajar yang pandai dan dedikasi. Orangnya hensem pada mata saya. Tapi apa yang paling saya suka adalah dia BIJAK dan berkepimpinan. Semua guru suka dia. Saya rasa dia memang ramai peminat kot masa kat sekolah. Abang senior saya tu adalah abang rakan baik saya. Siapa dia?? Nama beliau saya rahsiakan. Tapi orang terdekat dengan saya tahu siapa dia.

Saya berubah sebab saya nak jadi macam dia. Saya suka dia sebab dia baik, pandai, hensem dan.....banyak lagi la. Kang saya puji lebih-lebih suami saya Mr.RH cemburu pulak kan? Hehehe. Saya berubah masa Tingkatan 4 sebab saya menyesal sangat tak belajar rajin-rajin semasa tingakatn 1,2,3. 

Pada masa itu Cikgu Matematik kesayangan saya Cikgu Aminuddin selalu beri nasihat begini.

"PMR bukan penentu keputusan SPM awak. Kalau awak dapat keputusan yang kurang baik semasa PMR, bukan bermakna awak gagal SPM nanti"

Kata-kata itu juga menjadi pendorong agar saya berusaha lebih gigih. Semasa Tingkatan 4 saya menjadi pelajar terbaik keseluruhan dengan mendapat 11 Agregate. Pelajar terbaik PMR 95 pun kalah tau. Saya pun tak percaya yang saya boleh tempa sejarah itu. Saya sangat berterima kasih kepada semua guru-guru yang banyak membantu saya.

Saya akui tanpa dorongan dan bimbingan guru saya dulu, tak mungkin saya berjaya hingga hari ini. Semuanya kerana mereka. Dulu saya sangat rajin membuat kerja rumah @ homework. Kadang-kala saya buat latih tubi di dalam buku rujukan yang saya beli sendiri dan kemudian saya minta guru saya semak. Jadi guru-guru saya pun kena buat kerja tambahan la sebab nak semak tugasan saya. Tiap-tiap hari saya buat macam tu tanpa jemu. Tapi tukar-tukar subjek la. Saya buat jadual belajar sendiri, nota peta minda sendiri dan latihan sendiri tanpa cikgu suruh. Itu la kot rahsia saya. Study SMART!

Saya bukan seorang yang sangat rajin. Tetapi saya bijak membahagikan masa untuk belajar, menjada adik2 saya yang 7 orang tu dan buat kerja kat rumah. Saya ada jadual saya sendiri. Ibu bapa saya tak pernah buatkan untuk saya. Untuk pengetahuan semua, ibu bapa saya dulu tidak pernah bersekolah kerana desakan hidup. Keluarga mereka susah dan tak mampu nak sekolahkan meraka. Ibu bapa saya hanya bekerja biasa sahaja keran tiada kelayakan. Gaji pun kecil jer. Tapi mereka mampu sekolahkan kami dan besarkan kami adik beradik. 

Sebenarnya, untuk kita berjaya ini bukan mudah. Tetapi untuk gagal pun bukan payah. Pilihan itu ada di tangan kita. Saya telah buat pilihan yang tepat dahulu. Saya bersyukur kerana ramai orang menyokong dan membantu saya mencipta sejarah itu. Menjadi pelajar cemerlang adalah idaman semua pelajar. Mempunyai anak yang bijak dan cemerlang adalah impian semua ibu bapa. Mempunyai pelajar yang cemerlang adalah impian guru-guru. Impian saya untuk menjadi Pelajar Terbaik SPM tahun 1997 seperti idola saya, telah tercapai. Syukur padamu Ya Allah atas segala nikmat yang telah diberikan selama ini.

Terima kasih kepada kedua ibu bapa saya, adik beradik saya yang banyak berkorban demi kejayaan saya. Terima kasih kepada semua guru-guru yang saya kasihi keran mendorong saya dan membantu saya menjadi pelajar yang cemerlang. Terima kasih kepada semua sahabat saya yang menjadi peneman setia ketika belajar dulu, menjadi pendorong bila saya lemah dan menghulurkan tangan untuk saya bangun ketika saya jatuh dulu. andalah sahabat saya dunia dan akhirat. saya sayang kalian semua kerana Allah. Moga Allah sentiasa melimpahkan rahmatnya pada kalian semua.

Sempena Hari Raya Aidil Adha ini, marilah kita sama-sama menghayati pengorbanan semua insan disekiling kita yang telah banyak berkorban segala-galanya demi kita. Jangan lupa ucapan terima kasih, pelukan dan ciuman mesra untuk orang tersayang yang telah meyokong kita semasa susah dan senang. 

Islam mengajar kita supaya menjadikan pergorbanan sesuatu yang berharga sebagai penyaksian dan pembuktian kepada aqidah kita demi untuk kebahagiaan dan keselamatan hidup di dunia dan akhirat. 


Firman Allah s.w.t. :


Maksudnya :

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada nabi-nabi yang terdahulu, daripadamu, demi sesungguhnya jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) nescaya akan tetap gugur amalanmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.” 


Orang yang berjaya sebenarnya ialah orang yang melakukan pergorbanan, sanggup berkorban masa, wang, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran, perasaan dan sebagainya kerana kejayaan dan kecemerlangan tidak datang menggolek, sebaliknya tanpa pergorbanan seperti pelajar akan gagal, pentadbir akan kecewa, pemimpin akan bermusuhan, ulama akan dicaci, masyarakat dan rumahtangga hancur, kampung halaman purak peranda dan negara akan terus dijajah. Pelajar perlu berkorban lebih masa untuk beribadah, berjaga malam dan mentalaah buku. Begitu juga sebagai isteri, suami, ibu, ayah dan lain-lain. Tentu banyak pengorbanan yang dilakukan. Ia pengorbanan yang TERINDAH yang pastinya ada ganjaran buat kita sebagai bekalan ke sana.


Renungilah firman Allah dalam ayat 133-134 surah Ali ‘Imran :

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya : 

"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. "  
( Surah ali – Imran : 133-134 )
 
“Dan bersegeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya luas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menderma hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan ingatlah Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Jelaslah kepada kita akan falsafah, hikmah dan kepentingan pergorbanan dan juga yang akan kita dapat pada hari raya Aidil Adha ini, mudah-mudahan kita akan dapat mengamalkan dan menghayatinya dalam kehidupan kita demi kebaikan kita di dunia dan di akhirat.




p/s: Paling cipta sejarah sebab dapat masuk TV la. Best sangat2!! Hehehe...Selamat Hari Raya Aidil-Adha buat semua.

Selasa, 23 Oktober 2012

Monolog #24 : DOA





Moga setiap nafas yang dipinjamkan hingga ke saat ini hanyalah untukNya yang Maha Esa. Setiap apa yang kita lakukan di muka bumi ini adalah hanyalah untuk mengumpul bekalan untuk kita ke sana. Sebagai pengabdian dan bukti kecintaan yang tiada tandingannya. Cinta paling abadi. Hanya untukmu Ya Rabbi!!!




Sebagai hambanya kita jangan pernah sekalipun kita lupa padaNya. Baik di kala susah dan senang. Saat kita dihimpit kesedihan dan kehampaan kita mudah untuk berdoa dan memohon padaNya. Tetapi di saat kita gembira dan bahagia, kita selalu lupa untuk mensyukuri nikmat yang diberi oleh Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


Allah tidak pernah sisihkan kita. 
Allah tak pernah kejam pada kita
Tetapi kita yang selalu lupa diri
Kita yang selalu ingkar pada penyaksian 
dan pengabdian yang kita janjikan
Betapa kita ini hanyalah hambanya yang hina..
penuh noda dan dosa....




Saya hambanya yang sangat kerdil 
Sedangkan Dia Maha Besar
Saya hambanya yang sangat lemah 
Sedangkan Dia Maha Perkasa
Saya hambanya yang tidak punya apa-apa 
Sedangkan Dia Maha Kaya


Allah berfirman:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya :

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al Baqarah: 186)


Allah telah berjanji bahawa apa sahaja permintaan hambanya maka akan dimakbulkan olehNya. Oleh yang demikian, sebagai hambanya kita jangan pernah putus berdoa dan memohon dariNya. Pengetahuan Allah meliputi segalanya. Dia yang memiliki segala-galanya. Janganlah kita mendabik dada seolah-olah apa yang kita ada adalah milik mutlak kita. Semuanya hanyalah pinjaman semata-mata.

Allah berfirman lagi :

إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالناَّسِ

Maksudnya :
 "Sesungguhnya Tuhanmu meliputi segala manusia "(Al-Israa: 60)

FirmanNya lagi :

وَسِعَ كُلَّ شَىْءٍ عِلْمًا

Maksudnya : 
"Pengetahuan-Nya meliputi segala sesuatu " (Thaha: 98)


dan Dia berfirman lagi :


رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَىْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا

Maksudnya :
"Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu" (Ghafir: 7)


Kita semua sedar yang Allah Maha Mengetahui segalanya. Dia Maha Berkuasa atas setiap apa-pun. Justeru, segala pengharapan dan permohonan perlu kita panjatkan hanya kepadaNya. Setiap apa yang kita minta, hanya Dia yang mampu mengubahnya. 





ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يَعْلَمُ مَايَلِجُ فِي اْلأَرْضِ وَمَايَخْرُجُ مِنْهَا وَمَايَنزِلُ مِنَ السَّمَآءِ وَمَايَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَاكُنتُمْ

Kemudian Dia bersemayam di atas `Arsy Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. (QS al-Hadid: 4)”.


Dengan itu, percayalah bahawa di dunia ini kita tidak bersendirian. Seandainya kita merasa dukacita di atas segala penganiayaan, kesakitan dan kelukaan yang disebabkan oleh manusia, kita seharusnya tidak perlu rasa amat dukacita. Kerana setiap apa yang berlaku ke atas kita merupakan satu ujian daripadaNya. Ujian dan dugaan yang hanya untuk menguji setebal mana kesabaran kita. Kekuat mana dan tabahnya kita dalam menempuhi onak dan duri kehidupan. Jangan kita lupa ada ganjaran disebaliknya. Buat Bekalan untuk kita ke akhirat sana.



رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya :

"Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir" (Al-Baqarah : 250)




Sekiranya kita menyerahkan segalanya bulat-bulat kepada Yang Maha Esa
Seandainya kita pasrah dan sandarkan pergantungan kita hanya kepada Yang Maha Kuasa
Semuanya tidak memberi apa-apa pada kita melainkan dengan izin dariNya yang memiliki segala-galanya
Sedangkan kita ini tidak punya apa-apa





Allah berfirman :

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ

Maksudnya :

"Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)" (Al-A'raf : 126)



Sekian, Wallahua'lam.



p/s : Jangan berhenti berharap dan bermohon padaNya. 





Hasil kompilasi dari Google Inc
Sumber imej : Google Inc.








Isnin, 22 Oktober 2012

Semanis Kurma .. Isteriku Bukan BIBIK!!

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. kita masih dipinjamkan nikmat kesihatan dan terus dapat menikmati hidup hingga ke hari ini. Sukur padamu Ya Allah atas segala kurniaan ini.

Saya nak sambung cerita tentang Semanis Kurma tempoh hari. Sebab dah tergendala nak tulis entry ni 2 hari dah agak lost sedikit la. Hari tu cerita sampai babak mula2 nak ON AIR kan?

Mula2 Ustazah Siti Nor Bahyah & suaminya perkenalkan topik dan perkenalkan panel jemputan. Bila turn ustazah tanya saya tu.. ntah macam mana ntah tergeliat lidah pulak. sebenarnya nak tanya khabr ustazah..tapi ntah mcm mana ntah bleh tersasul. Nasib baik ustazah pun pandai cover line.. Bila ustaz tanya pulak...ustaz pun tersasul bila sebut 8 tahun ke 8 bulan tu.. heheh.. tapi memang kelakar jadinya.. Ustazah memang bijak bila berbicara dan berikteraksi.. so situasi tu jadi lucu sedikit la.. ok la tu.. intro kan??



pembuka bicara dari Ustazah Siti Nor Bahyah dan Ustaz Wan Akashah



Nak tahu apa soalan2 yang nak ditanyakan sebenarnya. Kepada yang telah menonton mestilah dah tahu kan?? Tapi ikut skrip asal...Macam ni sebenarnya...



CR HJ HUSHIM SALLEH 

1) Sebagai muqaddimah, boleh Tuan Haji jelaskan apakah tugas serta tanggungjawab seorang suami dan juga isteri dalam sebuah rumahtangga?

2) Bagaimana kedudukan seorang isteri di sisi suami? Bagaimana pula sewajarnya isteri memuliakan suami?

3) Adakah dengan mengambil pembantu rumah merupakan jalan terbaik jika isteri turut bekerja?

4) Mas kahwin dan duit hantaran diberi sebagai permulaan dalam mendirikan rumahtangga. Adakah rendah atau tinggi nilainya menjadi kayu pengukur kebahagiaan sesebuah keluarga? Bagaimana pula jalan penyelesaian apabila timbul konflik dan masalah dalam rumahtangga yang baru dibina?

5) Apakah tips yg boleh diamalkan oleh isteri agar suami bersedia membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah?


PUAN SAFINATUNNAJAH AHMADI & ENCIK AZHAR OTHMAN 

1) Dua-dua bekerja, bagaimana uruskan rumahtangga yg baru dibina?

2) Agak2nya, apakah masalah pertama yg biasanya seorang pasangan baru berkahwin alami?

3) Apabila memperkatakan isu isteri bukan bibik, apakah yang saudari rasai sebagai wanita yg baru bergelar isteri?

4) Boleh kongsikan pandangan, bagaimana mengukuhkan hubungan baru sbg suami isteri kepada penonton. Silakan.

Ni memang copy-paste direct dari email yang saya terima.

Masa ditemubual hari tu..sebenarnya saya ada buat skrip tau. Tapi pada hari kejadia..sebelah petang tu saya sempat la buat point2 je untuk mudahkan saya kalau saya terlupa...

Okey saya tunjukkan skrip yang saya karang tu...mengikut soalan yer...


SOALAN 1: DUA-DUA BEKERJA, BAGAIMANA URUSKAN RUMAHTANGGA YG BARU DIBINA?

Ya. Kami sama-sama bekerja. Saya bekerja sebagai pegawai latihan vokasional di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam. Bertugas sebagai pengajar pelajar Diploma Kemahiran. Rutin harian bermula seawal 5.30 pagi. Setiap hari kami akan solat subuh berjemaah. Ia memang impian saya sebelum berkahwin lagi. Saya inginkan suami yang boleh mengimamkan solat kami. Kemudian seboleh-bolehnya saya akan cuba menyediakan sarapan pagi untuk suami. Kerana suami saya masuk kerja jam 11 pagi kerana mengajar sesi petang. Kalau sempat sarapan bersama, kami akan bersarapan bersama. Kalau tidak sempat saya akan pastikan sekurang-kurangnya saya menyediakan susu panas buat suami saya. Selepas bersalaman saya memandu sendiri ke tempat kerja. Bekerja seperti biasa. Punch kad selewat-lewatnya jam 8.00 pagi. Habis kerja jam 5.00 petang. Kadang-kadang tuntutan tugas, saya terpaksa pulang lewat. 
Suami saya akan sampai rumah dalam jam 6.30 petang. Seboleh-bolehnya saya cuba untuk sampai awal berbanding dia agar saya boleh bersiap-siap apa yang perlu. Bila dia sampai di rumah, saya akan sambut dia dan menyediakan segelas air untuk menghilangkan dahaga. Selepas menyediakan hidangan makan malam, kami akan solat maghrib bersama. Selepas itu baru makan bersama. Tetapi kadang-kadang rutin berubah. Kadang2 suami lihat saya agak penat, jadi saya tak perlu masak dan dia akan ajak makan di luar ataupun dia kan membeli makanan di luar dan kami makan bersama di rumah.
Alhamdulillah, urusan rumahtangga kami kongsi bersama. Maksudnya, bukan saya sahaja yang menguruskan rumah tangga kami. Suami saya selalau membantu saya. Saya cukup bersyukur walaupun kadang kala hanya sekecil2 tugas contohnya mengelap meja makan. 
Skrip asal punya la banyak sebenarnya yang saya nak cakap. Tapi bila depan kamera..aduhai..hilang semua point nak cakap. Tapi ada lah sedikit juga yang saya ingat.. Point-point penting yang saya buat pulak begini :

  • Bangun awal, siapkan sarapan utk suami, solat bersama
  • Selepas bersalaman dengan suami ke tempat kerja seperti biasa
  • Cuba pulang lebih awal dari suami
  • Siapkan apa yang perlu sebelum suami pulang
  • Makan malam bersama & solat bersama
  • Bersiar-siar : tengok wayang, pergi stadiunm-tengok bola
  • Hujung minggu : masa bersama keluarga
  • Ziarah mak mertua & adik beradik
  • Bercuti – gemar mengembara & aktiviti lasak : panjat gunung, berkhemah
  • Beriadah –gym bersama suami
  • Kerja rumah-buat bersama-sama suami
  • Hari minggu siap-sedia pakaian untuk kerja
  • Rutin tak menentu- elakkan bosan dengan rutin yang sama


Apa yang saya beritahu semasa ditemubual?? huhuhu.. ada 2 atau 3 point saja kot yang saya cakap. Gugup sangat rasanya...hehehehe



gambar ni kawan yang tolong sanap..pastu dia upload kat FB...


Okey..berbalik kepada soalan kedua pulak. Skrip asal saya seperti berikut :


SOALAN 2 : AGAK2NYA, APAKAH MASALAH PERTAMA YG BIASANYA SEORANG PASANGAN BARU BERKAHWIN ALAMI?

Bagi saya masalah utama adalah untuk menyesuaikan diri dengan status yang baru iaitu sebagai isteri, menantu, adik ipar, kakak ipar dan makcik. Saya sendiri berkahwin agak lewat iaitu pada usia 32 tahun. Selama 32 tahun, sebagai kakak sulung daripada 8 oarang adik beradik, saya seorang yang amat berdikari dan selalu membuat keputusan sendiri. 

Kalau dulu, saya bebas nak kemana sahaja dan membuat apa sahaja yang saya nak. Tapi bila dah bersuami..segala-galanya saya perlu berkongsi dengan suami dan mohon izin darinya. Mula-mula agak janggal nak biasakan diri. Bagi saya komunikasi antara suami dan isteri amat penting. Setiap perkara saya akan berkongsi dengan suami. Kalau dulu ibu dan bapa saya merupakan orang terpenting dalam hidup. Tapi bila dah bergelar isteri, tentulah suami yang perlu kita dahulukan. Bagaimanapun, kita sebagai isteri amat2 perlukan sokongan dan bimbingan suami.

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda

 “Hendaklah kamu saling meminta nasihat tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkan dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkok maka saling menasihatilah dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut”.
Suami dan isteri mesti saling bertolak ansur dan berbincang bersama. Komunikasi efektif adalah kunci kebahagian rumah tangga.



Tu skrip asal. Saya rumuskan dalam point pulak sebegini..


  • Masalah utama : menyesuaikan diri dengan status isteri, menantu, makcik
  • Masalah: ubah rutin kehidupan
  • Masalah diatasi dengan komunikasi berkesan  dan berpegang pada ajaran Quran & Sunnah
  • Rujuk ibu mertua tentang kegemaran suami
  • Selalu berbincang dengan suami
  • Fahami hobi suami- suka apa yang suami suka
  • Sediakan makan/minum tanpa disuruh
  • Minta pendapat suami / teguran suami : cermin diri – suami
  • Dulu selalu buat keputusan sendiri – kena rujuk & minta izin suami
  • Biasa buat semua kerja/ aktiviti sendiri – kini boleh minta tolong suami. Contoh : servis kereta
  • Perlu ada ilmu rumah tangga – rajin membaca & rujuk org yg berpengalaman
  • Tentukan warna-warni rumah tangga sendiri dengan cara tersendiri
  • Amalkan sunnah rasullullah, ikut apa yang disuruh
  • Tak banyak masalah sebab suami bersedia dan faham keran ada ilmu agama
  • Penting untuk pilih JODOH yang sesuai dengan tuntutan agama, bukan kehendak diri
  • Ingat Allah selalu, rajin zikir
  • Tidak mudah panik kalau ada cerita yang bukan2-bincang bersama
  • Perancangan kewangan dan masa depan keluarga
  • Enjoy kehidupan yang baru, jangan rasa terbeban-positif
  • Saling respeks dan hormati hak peribadi pasangan
  • Jangan terlalu mengongkong-telus & percaya pasangan
  • Bersikap adil dan toleransi
  • Tiada masalah yang tak dapat diselesaikan.
  • Perlu ubah diri sendiri sebelum orang lain.


Rupa-rupanya banyak point yang saya nak beritahu penonton. Amboi2..bukan main panjang pulak ye. Skrip kalah skrip Ustazah tau. Bukannya saya pengacara hari tu. Sekadar tetamu jemputan. Tapi bajet skrip macam ahli panel pulak.

                                 
pinjam gambar dari blog Haji Hushim 

Okey..saya rasa soalan yang sempat ditanya ikut skrip hanya 2 kot? ke 3 ye?? ntah la.. nak tengok balik malu tgk muka sendiri..huhuhu...

Tapi tak pe.. ni baru betul2 masuk dalam isu yang diperkatakan.. ISTERIKU BUKAN BIBIK...


SOALAN 3 : APABILA MEMPERKATAKAN ISU ISTERI BUKAN BIBIK, APAKAH YANG SAUDARI RASAI SEBAGAI WANITA YG BARU BERGELAR ISTERI?

Apa tugas isteri dan apa tugas bibik? Kedudukan isteri dalam rumah tangga amat penting. Isteri merupakan tulang belakang keluarga. Isteri adalah orang kanan suami. Suami sebagai ketua rumah tangga. Jadi isteri merupakan pembantu peribadi suami. Jadi selayaknya isteri yang menyediakan segala keperluan suaminya dan bukan bibik. Suami juga haruslah sedar peranan isteri. Tugas isteri bukan sekadar membuat kerja rumah seperti membasuh, mengemas, memasak dan semua kerja yang dianggap kerja orang perempuan. Tetapi lebih dari itu.

Pada saya, segala apa yang saya lakukan untuk suami adalah sebagai tanda cinta saya padanya kerana Allah SWT. Saya tak mengharapkan balasan daripada suami saya atas apa yang telah saya laksanakan sebagai isteri. Tetapi saya sematkan di dalam hati semuanya kerana Allah. Allah yang akan menilai segala perlakuan kita. Insyallah kalau kita serahkan segala-galanya bulat kerana Allah, hati kita akan menjadi tenang. Dari situlah sinar kebahagiaan akan menyuluh kehiduan kita. Sebenarnya para suami kena bersyukur dan menggaggap isteri yang solehah adalah ANUGERAH yang tidak terhingga. Bila sebut tentang anugerah maksudnya, bukan semua orang dapat  seperti yang kita dapat. Baik atau buruk kita terima seadanya dan kita upgrade menjadi lebih baik.

Jadi atas penghargaan tersebut sebagi isteri tentu kita ingin memberikan  tanda penghargaan untuk yang sama buat suami. Saya sendiri ingin agar diri jadi yang terbaik untuk suami saya. Sayalah isteri…sahabat..rakan pembimbing..pendengar paling setia dan juga perungkai masalah yang dia hadapi.

Isteri sememangnya bukanlah bibik...terma itu tidak patut disebut kepada isteri2 kerana Allah memuliakan darjat wanita dan Nabi Muhammad SAW juga diutuskan untuk mengangkat darjat dan kemuliaan para wanita. Kalau kita soroti sejarah dulu, masyarakat Arab Jahiliyah menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu yang dipalit oleh anak perempuan mereka, tetapi setelah datangnya TAUHID yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adat itu dihapuskan. (soroti kisah MARYAM ibu nasi ISA a.s dan Sirah Al-Khalid Umar al-Khattab)


Kita jangan lupa..orang perempuan adalah golongan paling senang nak masuk syurga jika dia beriman & taat pd suruhan Allah. Tapi boleh juga jadi orang paling ramai masuk neraka sebab ingkar perintah Allah. Nak buat kebaikan bukan mudah tapi nak buat jahat pun payah jugak. Walaupun usahanya nampak macam sama tetapi ganjaran nya berlainan…walaupun usahanya Nampak sama… Hidup di dunia ni singkat sangat. Kita tak tahu sampai bila kita dipinjamkan usia,,kesihatan, kebahagiaan dan semua nikmat yang allah beri ini adalah pinjaman. Selagi ia masih dipinjamkan kepada kita, hargailah ia. Buat yang terbaik seolah-olah esok kita tidak akan mati dan tak ada peluang lagi. Selagi kita masih menjadi isteri, jadilah isteri yang terbaik buat suami. Bila kita diberi peluang menjadi ibu, jadilah ibu yang terbaik untuk anak-anka dan keluarga.

Kalau kita sedar yang setiap apa yang kita lakukan akan ada balasan pahala atau dosa, kita pasti hanya cuba buat kebaikan. Tiada orang yang memilih untuk ke neraka jika dia dijanjikan balasan syurga. Jadi, isteri2 di luar sana, kita sama-sama kumpul pahala buat bekalan ke syurga. Sebab kat syurga nanti..bukan hanya ada sebuah Ferrari..tapi ada yang beribu ganda lebih hebat dari itu.

Dunia ini hanya pentas sementara untuk kita menuju ke akhirat sana.. Syurga atau neraka?? Apakah pilihan kita? Kalau kita nak ke syurga, ikhlaskan diri dalam semua apa yang kita lakukan kerana allah. Buat yang Allah suruh, tinggalkan apa yang dilarang. Insyallah kebahgaian di dunia dan akhirat jadi milik kita. Jadi tak timbul soal..isteri ke bibik??


Panjang kan?? Siap nak masukkan dalil-dalil lagi. Okey. Kita tengok point2 pulak ye. Begini lah....


  • Matlamat perkahwinan : kerana allah, sunnah rasullullah.
  • Bukan sekadar menghalalkan yang haram & elak zina.
  • Isteri bukan bibik : pembantu peribadi, orang kanan, tulang belakang suami
  • Kena faham hak isteri dan hak suami
  • Teladani rasulullah
  • Orang yang baik antara kamu adalah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik terhadap isteri dari kalangan kamu (hadis : Riwayat At-Tirmizi)
  • Ingin suami sebaik Rasulullah, perlu jadi isteri semulia Khadijah
  • Kena jaga maruah suami dan keluarga
  • Islam mengangkat martabat wanita
  • Isteri adalah anugerah tak ternilai
  • Hargai apa yang kita ada & bersyukur
  • Terima baik buruk pasangan, sentiasa ugrade iman dan amal
  • Senang kumpul pahala sebagai bekalan ke syurga
  • Pasangan sehidup semati hingga ke syurga
  • Sentiasa positif dan ikhlas kerana Allah


Apa yang nak saya perkatakan sedikit sebanyak Ustazah ada sentuh. Hadis tu Ustazah ada bacakan dan ulas. jadi tak perlulah saya cakap. lagipun saya ni tetamu jemputan je. Tapi tu la skrip kalah skrip pengacara tau. Bukan main siap bertaip lagi. Tapi saya kagum tengok skrip yang ustazah tulis tangan. Cantik sangat tulisan ustazah. Siap dibezakan dengan warna pen biru dan merah lagi. Kagum saya. kalau saya jadi macam ustazah..saya akan ikut stail penulisan ustazah. 



                        
ni pun pinjam gak dari blog CR Haji Hushim 


Okey.. Soalan terakhir yang diajukan..kalau ikut skrip asal pula...begini ye...


SOALAN 4: BOLEH KONGSIKAN PANDANGAN, BAGAIMANA MENGUKUHKAN HUBUNGAN BARU SEBAGAI SUAMI ISTERI KEPADA PENONTON. SILAKAN.

Saya banyak membuat persedian sebelum berkahwin. Maksudnya, nak berkahwin pun kita kena ada ilmu. Saya memperbanyakkan sumber bacaan. Terutamanya berkaitan ilmu rumah tangga. Bahkan, hadiah pertama saya untuk suami adalah sebuah buku.. Aku terima nikahnya. Pada ketika itu, kami hanya berkawan. Tetapi saya akui, memang saya ada memohon pada Allah selepas pertemuan kami agar dia menjadi suami saya. Walaupun saya sedar, saya tak layak jadi isterinya. Tapi saya perlukan seorang suami seperti dia untuk membimbing dan memimpin saya. Pemberian itu sangat simbolik sebenarnya.

Kami sebenarnya bercinta selepas berkahwin dan ia adalah pengalaman yang amat manis dalam hidup kerana semuanya diberkati. Saya belajar segalanya A-Z tentang diri suami saya, keluarganya dan segala-galanya. Dalam masa yang sama dia pun begitu. Memang pada mula-mula ada sahaja konflik yang berlaku. Sebab kami insan yang berbeza. Ibarat langit dan bumi. Mar dan Venus. Tapi jangan kita jadikan perbezaan itu sebagai halangan kita mencapai kebahagiaan. Sebaliknya ia menjadi sesuatu yg unik dan menggembirakan dan boleh kita kongsi bersama.

Firman Allah :

"Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri) UNTUK BERSENANG HATI dan HIDUP MESRA yang satu kepada yg lain. " (Al-'araf: 189)


Saya suka berkongsi segalanya dengan suami saya. Nama pun perkongsian hidup. Kami gemar berkongsi makanan di dalam pinggan yang sama dan minum berkongsi cawan. Selain itu, saya selalu galakkan suami untuk membantu saya membuat kerja rumah. Saya selalu minta bantuan dia. Bukan bermaksud nak kulikan suami. Tapi saya dah biasa buat kerja rumah bersama-sama adik beradik saya. Jadi bila dah kahwin dan duduk di rumah sendiri, suamilah segala-galanya. Sedikit sebanyak berjaya juga pujuk suami ringankan tugas membuat kerja rumah. Bila suami tolong kita, ucapkan penghargaan dan terima kasih dengan ikhlas. Insyaallah, dia pasti terharu dan tak keberatan membantu kita di rumah. Alhamdulillah, kini suami saya menjadi insan yang senang dan  rajin membantu bila diminta dan kadang-kadang tanpa dipinta sebab dia dah terbiasa.

Selain itu, kita perlu cipta detik-detik romantis bersama. Contohnya luangkan masa mendengar cerita pasangan kita. Kalau ada bajet lebih, luangkan masa intim bersama. Jadikan setiap hari yang kita lalui seperti episode bulan madu. Insyaallah, kemesraan akan sentiasa terjalin. Kalau ada masalah, hadapi dengan tenang dan bawa berbincang bersama.

Antara tips kebahagiaan yang sedang dan akan terus kami amalkan adalah:
1.           Solat berjemaah.
2.           Bersalaman dan bermaafan setiap kali sebelum tidur dan keluar rumah.
3.           Memohon izin suami sebelum berbuat sesuatu perkara dan meminta pendapat suami.
4.           Jadikan suami orang yang terpenting dalam hidup
5.           Rajin masak makanan kegemaran suami. (belajar dari ibunya)
6.           Rapat dengan ahli keluarganya.
7.           Sentiasa puji pasangan dan ucapkan penghargaan buat pasangan
8.           Saling muhasabah diri, tegur menegur dan bertoleransi.
9.           Sentiasa berusaha menjadikan diri yang terbaik di mata pasangan.
10.       Banyakkan berdoa agar allah pelihara kesejahteraan rumah tangga





Kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah. Apabila seseorang insan mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.


"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga,"



8P Tip kebahagian rumahtangga :

1. P yang pertama ialah 'puji' iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.
2. P kedua ialah 'peluk' yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.
3. P ketiga ialah 'penghargaan' di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.
4. P keempat ialah 'perhatian' yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.
5. P kelima mewakili 'persefahaman' kerana sebagai manusia yang bekerjaya memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing.
6. P keenam membawa maksud 'pergaulan' iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.
7. P ketujuh adalah 'percutian' di mana seseorang itu perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan lain.
8. P yang terakhir ialah 'permohonan' iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.


Tips memikat hati suami (4H) :
  1. Sentiasa berhias untuk suami. Bersiap dan berhias menunggu kepulangan suami. Sentiasa menjaga kecantikan diri seperti masa berkasih-kasih dahulu.
  2. Memahami hobi suami dan sentiasa memberi dorongan selagi ia memberi manfaat dan menggembirakan suami anda tetapi berbincanglah jika hobi berkenaan terlalu memakan masa untuk anda bersama atau suami anda terlalu boros untuk hobi tersebut.
  3. Menyediakan hidangan dan minuman untuk suami tanpa perlu disuruh
  4. Sentiasa menghiburkan suami. Fahami suami bila dia susah dan sentiasa beri sokongan dan menggembirakan suami.

Bila saya ringkaskan pulak..jadi macam ni :

  • Berkongsi segalanya dengan suami 
  • Jangan buat apa yang suami tak suka 
  • Sentiasa bahagiakan diri, baru boleh bahagiakan orang lain 
  • Atasi kelamahan diri-belajar dan rujuk quran & sunnah, orang yang berpengalaman 
  • Rapat dengan ibu mertua-ambil hati 
  • Ikhlaskan diri, jangan harapkan balasan dari suami, tapi ganjaran pahala & syurga yang lebih utama 
  • Cipta detik romantis bersama – enjoy life 
  • Ikut teladan yang baik, nabi dan isteri nabi 
  • Sentiasa memikat hati suami
Tips Kebahagiaan (8P)

1. Puji : puji suami sebelum orang lain puji

2. Peluk : jangan tunggu suami peluk, peluk suami dulu

3. Penghargaan : terima kasih, balas kebaikan suami

4. Perhatian : ambil berat, teman hidup sejati

5. Persefahaman : selalu berbincang

6. Pergaulan ; jaga adab dan maruah

7. Percutian : rancang aktiviti bersama berdua

8. Pemohonan – doa dan tawakal, bersangka baik dengan allah




Tips pikat hati suami (4H):
1. Hias : diri, bilik tidur dan rumah
2. Hobi : faham, suka dan minat yang sama
3. Hidangan : rajin masak makanan kesukaan suami

4. Hiburkan suami : selalu bersama, pendengar yang setia


Sekian, terima kasih. Terima kasih kerana sudi baca skrip saya yang tak seberapa ni.



p/s :

 Skrip bukan main panjang lagi. Tapi bila depan kamera tu..nak2 pulak masuk TV kan.. Semua lupa ye Najah oooi..... Mata pulak asyik melirik kat TV yang ada kat depan mata time tu. Sambil fikiran melayang-layang.. Abislah semua orang kampung tengah tengok ni. Punyalah nampak GEMUKS dalam TV ni.. adoi... betul cakap ustazah...kita nampak besar 30%. Ambik ko.... tu la..suh DIET tak mo. Tapi kan.. Kalau tahu nak masuk TV macam ni...SUMPAH...saya dah DIET 3 BULAN sebelum tu lagi tau...huhuhuu..menyesal pon tak guna!!!






LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)