Memaparkan catatan dengan label islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label islam. Papar semua catatan

Rabu, 6 April 2016

Nota Inspirasi #49: Sungguh Aku Bahagia



Hari ini saya sangat bahagia kerana dapat melihat bidadari ini tersenyum. Berkali-kali dia memeluk saya. Sambil berkata "Najah, today I am so HAPPY! You are very kind and you have a good heart."

.
<3 br="">Saya terkedu. Lidah jadi kelu. Terasa sebak di dada.

.

Kami.


Sebenarnya, saya yang rasa sangat gembira. Bila lihat wajahnya ceria. Senyumannya mengubat rasa rindu. Di wajah yang penuh garis kedutan, saya lihat wajahnya sangat manis dengan senyuman.

Sungguh, Allah itu sangat baik. Dia titipkan kasih sayang dalam jiwa setiap hambaNya. Pertemuan kami tak lama mana. Tapi sangat bermakna.

Sebelum beliau pulang, saya pandang matanya dan katakan.. "Madam, now we are your daughter."

Bertambah gembira dia. Terus dia rangkul kami seorang demi seorang. dipeluk kemas dan erat. Sungguh. Air mata tak mampu ditahan.

.

Sungguh aku bahagia
Bila lihat dirimu gembira
Senyuman manis ceria
Tanda hatimu juga bahagia

Sungguh aku bahagia
Bila hanya jadi hambaNya
Berkasih sayang kerana Dia
Bersilaturrahim sampai ke syurga

Sungguh.. aku rasa bahagia
Bila lihat dirimu tertawa
Walaupun seketika cuma
Tapi ia cukup bermakna

Sungguh..aku rasa bahagia
Merasa cukup dengan segala kurnia
Mengharap belas ihsan Allah setulusnya
Suburkan cinta dan kasih di hati kita



( Safinatunnajah Ahmadi, 2016)
<3 br="">Yang bahagia lihat orang gembira
Liverpool with Love <3 br="">




Isnin, 9 Februari 2015

Nota Inspirasi‬ #30 : Hamba Allah vs Hamba Harta






Kita sering berkata

Bahawa kita hanyalah hamba
Tapi kadangkala
Tingkah dan laku sangat berbeza
Layanan kita berikan tidak serupa
Kita suka membeza
Siapa berharta..kita layan istimewa
Siapa berkuasa..kita dampingi dia
Siapa penting..kita dahulukan dia
Siapa popular..kita tumpang sama
Siapa sebenarnya kita??
Benarkah kita ini hamba?
Hamba Allah atau Hamba Harta??

Khamis, 1 Januari 2015

Monolog #46 : Noah's Ark



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.



Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: "Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.




Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)".




Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: "Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu.




Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia, dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak".



(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: "Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman". Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.



Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ' Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya '. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."




(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir".




Anaknya menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya". Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.



Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu". Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim".



Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya".


Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".




Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi".



Allah berfirman: Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak terperi sakitnya".



(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Surah Hud 11 : 36 - 49 )


Wallahua'lam.








Sumber : 1 | 2 | 3

Isnin, 6 Januari 2014

Monolog #42 : Doa Isteri Solehah








Ya Allah..
Kau ampunilah dosa ku yang telah kuperbuat
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaran Mu
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan


Ya Allah…
Sekiranya suamiku ini adalah pilihan Mu di Arash
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku dititianMu
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya suami ku ini adalah bidadara untuk ku di Jannah Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya
Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di Dunia Mu
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya suami ku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya


Tetapi ya Allah…
Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang
Kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu
Sekiranya suami ku tergoda dengan keindahan dunia Mu
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya
Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan
Kurniakanlah aku kekuatan Mu untuk aku memperbetulkan keadaanya
Sekiranya suamiku menyintai kesesatan
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena

Ya Allah…
Kau yang Maha Mengetahui apa yangterbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusanBimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri
Kau hukumlah aku didunia tetapi bukan diakhirat Mu
Sekiranya aku engkar dan derhaka


Berikanlah aku petunjuk kearah rahmatMu
Ya Allah…Sesungguhnya aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbingan MuAku cacat tanpa hidayah Mu
Aku hina tanpa Rahmat Mu


Ya Allah…Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama Mu
Bimbinglah aku menjadi isteri Solehah
Hanya pada Mu,


Ya Allah…
Ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaan Mu
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniaMu
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaran Mu
Kerana pendek akal ku mengharungi ujian Mu


Ya Allah Tuhanku…….
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang dikasihi
Isteri yang solehah
Isteri yang sentiasa dihati
Amin, Ya Rabbi Allamin…….







Alhamdulillah... 

Segala puji-pujian pada Allah
Terima kasih Ya Allah atas segala kurniaanmu kepada kami. 



Jumaat, 3 Januari 2014

Monolog #41 : Anak Kecil Merenung Masa Hadapan






Cuti persekolahan telah tamat. Bermula 02.01.2014 semua anak-anak telah kembali bersekolah. Teringat semasa saya kecil, waktu nak ke sekolah adalah waktu yang paling saya nanti-natikan untuk bertemu kawan-kawan. Walaupun mempunyai adik beradikyang ramai dan boleh bermain bersama mereka, saya sebenarnya lebih suka bermain dengan kawan-kawan saya. 


Benarlah kata ilmuwan, bahawa semasa fasa awal kanak-kanak yang berumur antara 7-16 tahun, anak-anak kita lebih senang dipengaruhi oleh rakan-rakan berbanding ibu bapa. Anak-anak kita lebih mudah mengikut apa yang kawan mereka buat berbanding apa yang ibu bapa suruh. Oleh itu, amatlah penting bagi ibu bapa untuk mengenal kawan baik anak-anak mereka. 


Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”


Semalam, saya menunggu suami saya di sekolah beliau, saya terpandang pada seorang anak kecil yang sedang duduk termenung. Mukanya nampak sedih dan sayu. Dia bersendirian. Melihat kawan-kawan yang lain bermain. Saya perhatikan apa yang dia lihat. Saya melihat dari kanta anak kecil itu. 



"Alangkah seronoknya mereka. Betapa gembiranya mereka. Segalanya serba baharu. Beg, kasut, baju dan semuanya baharu. Sedangkan saya...erm..beg ini pun dah 3 tahun tak berganti. Baju yang saya pakai pun dah 2 tahun saya pakai. Yang koyak dah dijahit dan ditampal. Dah agak lusuh. Baju kawan warnanya putih. Cantik dan bersih. Baju saya dah kusam..warnanya pun dah bertukar kelabu. Putihnya kasut kawan. Saya renung kasut yang saya pakai dah lusuh. Dah berjahit 3-4 kali pun. Teringat gigihnya ayah jahit kasut sekolah saya. Saya faham, ayah tak mampu nak belikan yang baru. Selagi boleh dibaiki dan muat lagi, saya pakai juga. Tak sanggup nak minta ayah ganti yang baru sebab saya kasihan melihat ayah bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki buat kami 8 beradik."




Terus hati saya menjadi sayu dan mutiara jernih menitis ke pipi.



Saya merasakan inilah yang bersarang di hati anak kecil itu. Jauh di sudut hati kecilnya merintih.. Tiada sesiapa yang tahu apa yang dia alami. Hanya mereka yang pernah mengalaminya tahu apa yang dia rasakan. Saya percaya ibu dan ayahnya telah mencuba memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tetapi kerana kesempitan wang dan kenaikan taraf hidup yang melampau, benar-benar menghimpit rakyat marhaen. Apatah lagi bagi mereka yang bergaji kecil. Bukan tidak berjimat, bahkan telah berjimat sehabis mungkin. Bukan tidak bersyukur atas nikmat yang ada, tetapi terkilan dan merasa tertindas.










Mungkinkah pihak pemerintah melihat keperitan dan kesengsaraan yang kita hadapi melalui kanta anak kecil yang tidak punya apa-apa seperti adik ini. Sewaktu saya kecil dahulu memang susah. Kerana kesempitan hidup saya berusaha lebih dari kawan-kawan lain yang memiliki segala yang saya tiada. Saya berfikir sendiri..merenung masa depan sendiri. Bagaimana saya mampu mengubah nasib keluarga saya? Ianya bermula dengan impian dan memasang angan-angan. Imaginasi yang  tiada batasan!










Saya masih teringat, di saat kawan-kawan yang lain boleh bergembira dan bermain, saya membantu nenek saya membuat bermacam jenis kerepek dan kuih tradisional. Semua saya dah pernah buat.. Kerepek pisang pelbagai jenis, kerepek ubi, bahulu gulung, bahulu cermai, cakar ayam, sagu dan macam-macam lagi. ada zaman itu bukan mudah nak pasarkan produk seperti hari ini. Saya menjualnya di sekolah dan hantar ke kedai-kedai. Hikmahnya adalah, Allah hendak mengajar saya ilmu keusahawanan dan perniagaan.

Di kala kawan-kawan yang lain dihantar ke pusat tuisyen, saya belajar sendiri di rumah. Bukan mudah nak belajar di rumah dengan adik-adik lain yang ramai. Suasana dalam rumah yang meriah dengan gelak tawa mereka, menyebabkan sya tidak boleh fokus untuk belajar sendiri. Tetapi saya mengambil inisiatif untuk belajar sewaktu mereka semua tidur. Saya bangun seawal pagi dan belajar sendiri. Sebelum masuk kelas saya akan buat nota - nota kecil dan mengambil point-point penting daripada buku teks yang saya baca. Jadi, semasa waktu kelas saya hanya fokus pada apa yang saya tak faham dan kan tanyakan pada cikgu saya. Itulah cara saya belajar.


Saya bukan pelajar yang dilahirkan genius. Tetapi saya berusaha untuk menjadi pelajar yang SMART. Saya fokuskan segala usaha untuk berjaya dengan cuba berimaginasi yang saya telah berjaya mendapat apa yang saya impikan. Malah sebelum tahu keputusan peperiksaan, saya dah bayangkan awal-awal yang saya akan dapat No.1. Siapa sangka ianya jadi realiti?? Tiada yang mustahil bagi Allah. Dia beri apa yang kita mahukan. Kan Allah Maha Berkuasa dan Maha Memiliki segala-galanya di muka bumi ini, baik di langit ataupun di bumi.Itulah sekolah kehidupan saya.










Untuk berjaya di dalam hidup tidaklah payah kalau kita tahu potensi diri kita. Jika kita kenal diri kita dan sentiasa berusaha mengatasi kelemah diri, saya percaya kita boleh berjaya seperti orang lain. Malah, mungkin lebih berjaya dari orang lain. 

Dari kecil memang saya belajar reset minda saya sendiri. Tiada siapa yang mengajarkan ilmu motivasi kepada saya. Pada masa itu, tak ramai pakar motivasi seperti hari ini. Tetapi saya termotivasi bila melihat kepayahan nenek saya, ayah saya dan ibu saya bekerja demi meneruskan kehidupan. 

Motivasi terunggul saya adalah Tiada yang Mustahil bagi Allah. Kita hendaklah sentiasa bersangka baik dengan Allah kerana mampu memciptkan apa sahaja. Dan hanya Allah sahaja tahu apa yang terbaik untuk hambanya.









Kita kena selalu ingat bahawa Allah sentiasa Wujud!!














Hakikatya, kita memang boleh berjaya. Kejayaan pertama kita adalah kita telah lahir ke muka bumi ini.  Kita dipilih oleh Allah untuk hidup dan menjadi khalifah. Ingatlah tujuan hidup kita hanyalah sebagai hamba kepada tuhan kita iaitu Allah. Kita perlu tahu apa yang kita mahukan di dalam hidup dan apakah makna hidup ini. Bilamana kita meletakkan Allah lebih besar dan takut serta tunduk hanya pada Allah sahaja, sekalian makhluk menjadi kecil dan akan tunduk pada kita. Letakkan Allah sebagai segala-galanya. Ingatlah Allah sentiasa baik waktu kita senang mahupun kita rasa sukar. Insya allah hati kita akan lebih tenang dan bahagia. 


Cukuplah Allah bagi ku...


 Insya Allah.. semuanya pasti OK!




Isnin, 8 Julai 2013

Monolog # 37 : Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan


Assalamualaikum wbt





Alhamdulillah..insyallah kita bakal bertemu lagi dengan bulan yang penuh dengan barakah. Semua umat islam diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan. Puasa pada bulan Ramadhan difardhukan kepada setiap individu Muslim dan Muslimah yang telah 'aqil baligh dan ketiadaan uzur syar'i. Uzur puasa seperti sakit dan dalam perjalanan (musafir) sejauh 91km. atau lebih. Orang yang uzur boleh meninggalkan puasanya. tetapi wajib mengqadhanya pada hari dan bulan yang lain.

Puasa Ramadhan adalah menjadi salah satu rukun Islam yang kelima. Pahala melakukannya tersangat besar, sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:"Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan kerana menuntutkan keredhaan Allah s.w.t., nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Rujuk: Al-Targhib II:206)





Sabda Baginda Rasulullah s.a.w.: "Setiap amalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :" Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan keranaAku" Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)


Kelebihan Bulan Ramadhan 

  • Bulan keampunan yang penuh berkat untuk hamba-hamba-Nya yang tidak pernah lari dari kesilapan dan dosa.
  • Diturunkan satu malam yang istimewa iaitu Lailatul Qadar di mana malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Digandakan pahala amalan pada malam tersebut.
  • Diturunkan petunjuk bagi manusia iaitu Al-Quran pada bulan Ramadhan. Oleh itu, kita digalakkan untuk memperbanyakkan serta menggandakan bacaan Al-Quran berserta maksudnya di bulan Ramadhan nanti.
  • Ditutup pintu neraka dan dibukakan seluasnya pintu syurga.
  • Syaitan tidak dapat menghasut manusia pada bulan Ramadhan. Namun jika masih ada kejahatan yang dilakukan ia berpunca dari nafsu diri sendiri. Mohonlah keampunan Illahi i bulan Ramadhan yang mulia itu.
  • Kegembiraan orang yang berpuasa dengan ikhlas ketika Ramadhan ialah bila tiba waktu berbuka puasa kerana dia dapat menghalang dirinya daripada melakukan kejahatan.





Niat Puasa Ramdhan dan Doa Berbuka Puasa







Sama-samalah kita meraih sebanyak mungkin ganjaran yang ditawarkan di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Marilah kira bersama-sama kita saling ingat-mengingati, memohon keampunan Ilahi atas dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini. Jangan leka sangat dengan persiapan hari raya, raikan juga ramadhan ini sebaiknya.





p/s: Alhamdulillah...Saya amat bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih diberi kesempatan untuk menyambut dan meraikan Ramadhan bersama suami tercinta untuk tahun kedua.  




Rabu, 8 Mei 2013

Monolog #35 : Bulan Rejab Bulan Istighfar


Assalamualaikum wbt






Bulan-bulan hijrah datang dan pergi tanpa kita disedari. Hanya Ramadan dan Syawal sahaja yang kebanyakkan kita sedar kedatangannya. Berikut adalah himpunan kelebihan-kelebihan bulan Rejab yang boleh dimanfaatkan oleh umat islam dengan memperbanyakkan ibadah.


Sabda Nabi s.a.w.: "Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat."


Sabda Nabi s.a.w.: "Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadan bulan umatku."


Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Syaaban dengan malam NISFUnya dan Ramadan dengan LAILATUL QADARnya.


Malam awal Rejab mustajab do’anya. ( Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)


Imam Syafiie Rahimahullah berkata, ada 5 malam dalam setahun, ALLAH SWT bukakan pintu langit, salah satunya adalah malam 1 Rejab. Bulan Rejab dikenali juga sebagai Bulan Istighfar.

Jadi marilah kita memperbanyakkan doa mudah-mudahan ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, Moga Allah memakbulkan doa kita pada malam 1 Rejab. Perbanyakkan Istighfar, minta ampun daripada ALLAH SWT. InsyaAllah.. 



Pengenalan Bulan Rejab

1. Rejab ertinya “Mulia”. Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu: -

(i) Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.

(ii) Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.

(iii) Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.

(iv) Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.

2. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.

3. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.


Bulan Rejab Menurut Al-Quran

Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,…”
(Al-Baqarah: 194)

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram ¹ …”
(At-Taubah: 36)



Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram. Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.

Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.

Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.

(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)

(2) Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.




Bulan Rejab Menurut As-Sunnah

Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.

Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.


Perselisihan Pendapat Mengenai Hadis-Hadis Berkaitan Kelebihan Bulan Rejab

Memang terdapat banyak hadis yang menyebut secara khusus mengenai kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan Rejab. Ulama berselisih pendapat sama ada hadis-hadis ini boleh diterima untuk diamalkan atau ditolak berdasarkan penilaian hadis-hadis yang diklasifikasikan sebagai dha’if, sangat dha’if dan maudhu’ (palsu). Sebahagian ulama dan para pendakwah masa kini mengambil sikap berhati-hati dan sebahagiannya menolak hadis-hadis ini dan melarangnya disampaikan kepada masyarakat. Di antara contoh hadis-hadis mengenai bulan Rejab yang adalah seperti berikut: -

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.

(Hadis ini dikatakan mun’kar bahkan dianggap maudhu’ dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)

“Dalam syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya diberi minum air sungai itu”.
(Hadis ini juga dhai’f)


“Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan. Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga”. (Hadis ini dha’if)

Perbahasan: Penentuan sesuatu hadis sama ada ianya sahih, hasan, dha’if dan sebagainya disebabkan oleh perawi (pembawa)nya. Ini memerlukan satu perbincangan yang panjang. Kita bersetuju bahawa apabila sesuatu hadis yang hendak disampaikan oleh seseorang penceramah, beliau hendaklah menyebut kedudukan hadis tersebut dan siapa yang meriwayatnya. Perlu dijelaskan di sini bahawa adalah tidak patut hanya disebabkan hadis itu dha’if, maka ia perlu diketepikan dan ditolak mentah-mentah. Hadis dha’if adalah tetap hadis dan ia bukannya maudhu’. Penilaian ulama terhadap perawi sesuatu hadis adalah berbeza-beza. Seseorang ulama hadis mungkin menilai hadis itu dha’if atau maudhu’ pada kajiannya sahaja akan tetapi kepada ulama hadis yang lain ia tidak begitu. Sekiranya seorang atau dua ulama yang menilai sesuatu hadis itu dha’if tidaklah sampai menjejaskan hadis tersebut. Mungkin di antara perkara ganjil yang terdapat di dalam hadis yang dianggap dha’if ialah besarnya ganjaran pahala yang dijanjikan apabila kita melakukan sesuatu amalan yang dianggap sedikit. Perkara ini janganlah dijadikan persoalan kerana ganjaran yang besar itu hanya pada anggapan akal fikiran kita sahaja tetapi ianya adalah kecil di sisi Allah SWT yang Maha Kaya dan Maha Pemurah untuk hamba-hambaNya yang sentiasa mencari dan mengharapkan rahmat serta keredhaanNya.

Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.

Marilah sama-sama kita merebut peluang-peluang keemasan yang terdapat dalam bulan Rejab ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Namun begitu, setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid’ah.





Wallah hu’alam bissawab.


p/s: Mari kita amalkan. Walau tak dapat semuanya, harap-harap tidak ditinggalkan terus. Selamat Beramal!!


sumber : INI dan INI



Selasa, 7 Mei 2013

Bernaung di bawah satu bendera MALAYSIA (Bahagian 1)

Assalamualaikum wbt.




Apa khabar semua sahabat-sahabat saya? Demam PRU13 masih belum berakhir. Saya terpanggil untuk berkongsi hati kecil saya bersama kalian semua. Saya mengaku saya bukan sepenuhnya Melayu. Saya anak Jawa. Datuk dan nenek moyang saya berasal dari Tanah Jawa. Berhijrah ke Tanah Melayu, membuka kawasan penempatan di Kampung Rantau Panjang. Kalau kita selusuri sejarah pembukaan kampung itu, memang panjang ceritanya. Saya amat arif kerana semasa Tingkatan 3, saya bersama rakan-rakan saya membuat Kajian Tempatan.

Datuk saya antara insan gigih yang membuka kawasan kampung kami bersama datuk saudara dan saudara mereka yang lain. Mereka hanya menggunakan tulang empat kerat mereka membuka kawasan di Tanah Melayu. Sejak kecil nenek saya selalu bercerita tentang jerih payah mereka sewaktu mereka kecil. Ayah saya selalu berkongsi dengan kami adik beradik betapa susah dan payahnya beliau sewaktu kecil Ibu saya pun begitu.  Mereka menasihtkan kami untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan yang berguna. Kata-kata itu sentiasa tersemat di sanubari saya.

Ayah saya seorang yang amat gigih berusaha. Demi sesuap nasi untuk kami 8 beradik. Beliau membanting tulang siang dan malam bagi memastikan kami cukup makan dan cukup segala-galanya. Ibu dan ayah saya bukan orang senang. Mereka orang susah. Tidak berpeluang mendapat pendidikan awal (sekolah) akibat desakan hidup. 

Ayah saya sejak kecil sudah menanggung keluarga. seawal usia 9 tahun, telah kehilangan bapanya iaitu datuk saya yang meninggal dunia. Datuk saya seorang petani dan peneroka. Beliau jatuh daripada pokok kelapa. Mengikut cerita nenak saya, sewaktu ayah saya kecil datuk saya menyara keluarganya dengan hasil pertanian. Adik beradik ayah saya ramai.Waktu itu zaman Jepun. Bayangkanlah bagaimana seorang kanak-kanak berusia 9 tahun berusaha untuk menyara keluarga. Mengambil tugas seorang bapa.

Ayah saya melakukan apa sahaja untuk membeli keperluan adik beradiknya. Adiknya yang paling bongsu iaitu makcik saya tidak sempat melihat wajah ayahnya. Ketika nenenk saya mengandungkan beliau, datuk saya meninggal dunia. Dan beliau diberi nama YATIMAH.

Hanya meraka yang merasa susah tahu betapa payahnya hidup ini. Hanya yang pernah ditindas sahaja tahu bagimana peritnya menjadi orang bawahan yang ditindas. Kalau saya ingin ceritakan betapa peritnya hidup ayah saya ketika kecil, tak mungkin tergambar di mata kalian. Saya tiada bukti berbentuk gambar atau video. Tapi sejak saya kecil, ia menjadi lagu mainan di telinga kami. Sewaktu kami meletakkan kepala di riba ayah. Sewaktu ibu menyusap lembut rambut kami.

Kehidupan ayah saya dan ibu saya sewaktu kecil amat daif. sukar nak digambarkan. Kalau kalian nak dengar boleh datang ke rumah saya. Dengarlah ibu dan ayah saya bercerita. Kalau nenek saya masih ada, mendengar dia bercerita lagi seronok tau. Nenek saya seorang yang sangat hebat. Orangnya kecil sahaja. Tapi beliau seorang yang berjiwa besar. Seorang ibu kepada 6 orang anak yatim. Beliau amat setia. Selepas datuk saya meninggal dunia, beliau tekad membesarkan zuriatnya sendirian.

Sifat dan sikap beliau sama seperti saya. Sejak dari kecil saya memang selalu menemani beliau. Beliau banyak mengajar saya erti kehidupan. Kami mencari nipah di hutan paya bersama untuk dibuat atap rumah. Kami ke kebun untuk memetik pisang dan koko. Saya paling suka makan buah koko. Sedapa sangat! Kalian pernah cuba? Entah-entah pokok koko pun tak kenal kot??

Nenek saya tidak pernah kenal erti putus asa. Tidak pernah menadah tangan meminta bantuan kerajaan Tidak pernah mengemis demi sesuap nasi untuk anak-anaknya atau untuk cucu-cucnya. Sebaliknya, beliau gigih membuat pelbagai jenis kerepek, kek gulung, baulu, sagu, aiskrim malaysia, menjual kuih muih dan sebagainya. Saya dan adik-adik membantu beliau memasarkan hasil produk beliau di sekolah. Demi sesuap nasi. Tak semua orang melalui apa yang kami rasa sewaktu kecil. Mungkin kerana itu, saya sukar dibuli walaupun saya bertubuh kecil dahulu. Beliau banyak mendidik saya. Beliau selalu melindungi kami bila mana ibu dan ayah keluar bekerja. Rindunya tak terkata. Kini beliau tiada lagi. Beliau meninggal dunia sewaktu saya berada di Tahun 2 di Universiti Putra Malaysia. Beliau tak sempat melihat saya menggenggam segulung Ijazah. 

Saya seorang yang bertubuh kecil (pendek) sewaktu kecil dulu. Tetapi saya berjiwa besar! Saya kurus bukan kerana tak cukup makan. Tapi hakikatnya, kami tak pernah tak makan langsung. walaupun hanya nasi dan berlauk kelapa dan garam sahaja. Tiada lauk-pauk mewah. Tapi alhamdulillah, kami kini hidup senang. Tiada wang BR1M pun ketika itu. Tiada KR1M. Tiada apa juga produk 1Malaysia. Bantuan kerajaan amat sedikit sekali. Ayah saya pun bukan jenis yag meminta-minta. Selagi ada kudrat, beliau terus berusaha. Ibu saya pun begitu. Tak pernah kenal erti penat. Bekerja syif, tapi masih meluangkan masa untuk membuat kuih untuk dijual. 

Ibu saya selalu bercerita tentang rakan baiknya seorang India. Sahabat baiknya selalu menemani beliau kemana sahaja. Hinggakan ketika ingin menunaikan solat sekalipun, sahabat beliau akan tunggu sehingga biu saya selesai solat. Agaknya sebab itulah rupa saya ada sedikit Indian @ hindustan kot. Terkenan dengan kawan baik mak saya! Ramai yang meneka saya berasal dari Pulau Pinang kerana raut wajah saya. Ramai juga yang meneka saya ada keturunan Arab. Hakikatnya, saya hanya anak Jawa!

Kami diajar untuk berkongsi. Kami diajar untuk menghormati adik beradik, jiran dan semua kawan-kawan kami. Kami selalu makan di dalam satu talam. Mungkin sebab ibu saya malas nak basuh pinggan banyak-banyak. Jadi kami diajar makan satu talam. Siapa yang paling terakhir makan, kenalah basuh pinggan. Selalu saya paling terakhir. Sebab saya suka menikmati makanan yang saya makan. Mungkin juga suka berangan-angan! 


Saya seorang yang berjiwa besar. Saya selalu berasa tubuh saya besar walaupun saya kecil, kurus dan rendah. Saya selalu dahagakan kejayaan di dalam apa juga yang saya ceburi. Tapi saya bukan seorang yang amat bijak di dalam peperiksaan. tetapi saya berusah untuk menjadi insan yang cemerlang dan terbilang! 

Saya tahu mempertahankan hak saya. Saya selalu melindungi adik-beradik saya. Sejak kecil saya diajar bagaimana untuk memimpin. Kalau adik buat saya, saya akan disalahkan kerana gagal memimpin mereka. Dahulu saya selalu mepersoalkan mengapa saya dipersalahkan. Kini saya faham apa itu kepimpinan! Kepimpinan melalaui teladan!


Saya bersyukur kerana mempunyai insan-insan sekuat dan segigih itu di dalam hidup saya. Saya bersyukur kerana saya dibesarkan penuh dengan kasih sayang dan cukup segala-galanya. Hidup ini amat bahagia. Hidup saya cukup bermakna!

Sewaktu di sekolah rendah, saya mempunyai rakan baik bernama Kayal (seorang india). Tetapi bila darjah 5 dia berpindah bersama keluarganya. Entah ke mana. Kawan melayu memang ramai. Kawan cina tak ramai sebab semasa sekolah rendah mereka masuk sekolah jenis kebangsaan cina. 


Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang


Sekolah Menengah kebangsaan Rantau Panjang, Klang



Selepas tamat UPSR, saya sempat merasa belajar di Sekolah Menengah Rantau Panjang selama dua minggu. Kawan baik saya bernama Lee Lay Heong. Cantik orangnya. Seorang yang amat baik hati. Semasa mula masuk Tingkatan 1, saya tidak beli lagi keperluan sekolah kerana ayah saya tidak mahu saya belajar di SMRP. Beliau ingin saya belajar di sekolah agama. Saya berada di Tingkatan 1 Maju. Kelas paling pandai (kononnya). Kawan sebelah saya sangat baik hati. Sampai sekarang saya masih ingat pada dia. Kerana, dia pernah beri saya pen dan buku semasa nak belajar. Saya orang susah, belum beli apa-apa keperluan sekolah. Dia beri pen dan bukunya pada saya bila tengok saya diam sahaja bila cikgu mengajar. Dia hulurkan pen dan buku. Sedih dan terharu bila kenangkan.

Saya sangat terharu mempunyai sahabat berbangsa cina yang baik budi pekertinya. Dia seorang cina yang sanggup berkongsi harta miliknya dengan seorang melayu seperti saya yang dia tidak kenal sepenuhnya pun. Demi mencari ilmu bersama, kami menjadi rakan baik. Walaupun saya tahu dia masih ramai kawan baik berbangsa cina. Tapi bagi, saya dia kawan baik saya kerana dia amat baik budi pada saya. Persahabatan selama 2 minggu itu, saya kenang hingga ke hari ini. Hingga ke akhir hayat saya. 


Setakat itu, perkongsian saya buat masa ini. Nanti saya sambung lagi coretan kenangan masa kecil saya. 

To be continue......



p/s: seronok kan bila kenang masa kecil kita. masa kita tak punya apa-apa....

Nasib ISLAM selepas PRU13

Assalamualaikum

Saya kongsikan artikel untuk tatapan kita bersama. Untuk kita fikirkan dan perhalusi dengan mata hati. Bukan emosi dan nafsu kita. Wallahua'lam.



Ketika artikel ini ditulis dan dihantar kepada Sinar Harian (Jumaat), kempen PRU13 masih rancak berjalan. Bermakna, apabila artikel ini diterbitkan (Buka Minda - Isnin), keputusan PRU13 telahpun diketahui malam tadi. Tahniah! Kepada yang menang. Kepada yang kalah, cuba lagi. Menang atau kalah, buatlah muhasabah diri (parti) atau analisa SWOT perlu dilakukan bagi menilai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.


Analisis awal yang dapat saya lakukan adalah, siapapun yang menang, tidak banyak manfaat untuk agama Islam dan umatnya. Meskipun agama suci ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketika kempen, kita asyik meraikan orang lain. Agenda memperkasakan Islam jarang kedengaran.


Kita lebih obses dengan tuntutan ultra kiasu. Apa yang mereka mahu semua kita beri. Nasib baik kita tidak menjanjikan bulan dan bintang. Jika tidak, itupun kita akan beri. Lebih menyedihkan, sehingga perkara yang sudah dilupakan dan tidak dituntut lagi pun kita beri. Malah, ada projek pembangunan yang sedang berjalan terpaksa dibatalkan, gara-gara mahukan undi. Apakah kita berada di landasan yang betul?


Lebih ekstrim lagi, mereka meminta supaya surat jaminan segera dikeluarkan sebelum hari pengundian. Jenis manusia apakah ini? Tidak pernah bersyukur. Ini bukan lagi ultra kiasu, tetapi sudah ultra paisi (jahat).


Pilihan raya adalah medan untuk rakyat memilih yang siapa yang terbaik, bukan memberikan bulan dan bintang kepada mereka. Negarawan sepatutnya mempertahan dan memperkasakan kepentingan semua, terutama perkara-perkara asas bernegara. Negarawan harus tegas dalam membuat keputusan, berani menghadapi risiko, selagi mana keputusan dibuat untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.


PRU13 hanya alat, menang atau kalah, itu perkara biasa. 5 tahun lagi, kita bersua kembali. Apa yang penting agenda agama, bangsa dan negara mesti berjalan dan dihormati. Apa guna menang PRU13, jika agama dan umat Islam masih merempat menagih simpati di buminya sendiri.


Saya tidak dengar ketika kempen, sekolah agama diberikan keutamaan, berbanding sekolah lain (vernacular). Saya bukanlah orang agama (ustaz), tetapi saya sangat sayangkan agama, kerana itulah darah daging kita. Hidup mati untuk agama. Agama terdaulat, bangsa terdarjat, negara berdaulat. Namun, jika agama merempat, bangsa dilaknat, negara tidak berkat.


Saya teramat sedih membaca kempen MCA dalam iklan akhbar the Star sepanjang hari berkempen. Terang-terang menghina agama Islam. Walaupun ditujukan kepada PAS (PR), tetapi perkara tersebut merupakan perkara asas Islam seperti cuti pada hari Jumaat, larangan arak dan judi, pengasingan lelaki perempuan dalam kolam renang dan saloon, panduan berpakaian dan sebagainya.


Pada saya, jika Kelantan dan Kedah ingin melaksanakan perkara asas tersebut, itulah adalah hak dan wajar. Lagipun majoriti umat Islam berada di sana. Bilangan bukan Islam amat sedikit. Hak majoriti mesti dipertahankan jika itu yang mereka mahu dan disyariatkan. Bandingkan dengan minoriti Cina Islam di negeri China, adakah mereka dapat hak-hak Islam mereka dilaksanakan? Saya harap MCA sedar diri.


MCA ternyata semakin kurang ajar, mempermainkan isu ini. Mereka sepatutnya tahu membezakan antara menyindir PAS dengan menyindir Islam. Perlu dibuat berhati-hati. Jangan sampai mahu menyindir PAS, sehingga menghina Islam.


Saya harap UMNO dapat menegur rakan parti komponen ini. Sedarkan mereka, jangan sentuh kesucian Islam. MCA boleh mengkritik PAS. Tetapi, perlu diingat, jika ada perkara yang dibawa PAS merupakan perkara asas dalam kehidupan beragama, jangan sama sekali berani mempermainkan agama wahyu ini.


Begitu juga dengan PAS, agenda hudud PAS ditolak mentah-mentah oleh DAP. Malangnya, PAS sanggup berkompromi dengan mengatakan hudud hanya agenda PAS bukan agenda PR. Jika begitu, bagaimana PAS mahu melaksanakan hudud jika PR berjaya memerintah. Adakah hudud untuk orang PAS sahaja, manakala demokrasi untuk DAP dan PKR. Bolehkah negara diperintah oleh dua sistem? Sekalipun PAS berjaya dengan agenda hududnya bagaimana orang Islam yang ada dalam PRK dan DAP. Apakah mereka akan terkecuali dari hudud?


DAP dan semua bukan Islam sudah tahu, bahawa hudud bukan untuk mereka. Hudud hanya untuk orang Islam sahaja. Persoalannya, kenapa mereka masih menentang? Saya simpulkan, mereka tidak mahu apa jua perkara dikaitkan dengan Islam. Mereka mahukan negara ini menjadi sekular dan beridentitikan mereka.


Mereka sengaja memejamkan mata bahawa negara ini asalnya bertuankan ketuanan Islam dan Melayu. Melalui pemahaman agama Islam jugalah yang menyebabkan orang Melayu menerima mereka di sini dan hak-hak mereka terjamin. Jika orang Melayu tidak beragama Islam, saya tidak fikir, orang Melayu mahu menerima orang bukan Islam berada di sini. Nasib mereka mungkin sama seperti minoriti umat Islam di China dan India.


Saya ingin menasihat umat Islam, apabila berpolitik, ingat Tuhan. Umat Islam mesti tahu hak-hak mereka di bumi mereka sendiri. Apatah lagi untuk memartabatkan agama dan bangsanya. Peliknya, orang lain bergaduh juga. Namun, hak mereka terjamin dan terjaga. Kita pula, bergaduh setiap masa dan sepanjang masa, malangnya hak semakin hilang dan terhakis.



sumber :  



LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)