Isnin, 22 Oktober 2012

Semanis Kurma .. Isteriku Bukan BIBIK!!

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. kita masih dipinjamkan nikmat kesihatan dan terus dapat menikmati hidup hingga ke hari ini. Sukur padamu Ya Allah atas segala kurniaan ini.

Saya nak sambung cerita tentang Semanis Kurma tempoh hari. Sebab dah tergendala nak tulis entry ni 2 hari dah agak lost sedikit la. Hari tu cerita sampai babak mula2 nak ON AIR kan?

Mula2 Ustazah Siti Nor Bahyah & suaminya perkenalkan topik dan perkenalkan panel jemputan. Bila turn ustazah tanya saya tu.. ntah macam mana ntah tergeliat lidah pulak. sebenarnya nak tanya khabr ustazah..tapi ntah mcm mana ntah bleh tersasul. Nasib baik ustazah pun pandai cover line.. Bila ustaz tanya pulak...ustaz pun tersasul bila sebut 8 tahun ke 8 bulan tu.. heheh.. tapi memang kelakar jadinya.. Ustazah memang bijak bila berbicara dan berikteraksi.. so situasi tu jadi lucu sedikit la.. ok la tu.. intro kan??



pembuka bicara dari Ustazah Siti Nor Bahyah dan Ustaz Wan Akashah



Nak tahu apa soalan2 yang nak ditanyakan sebenarnya. Kepada yang telah menonton mestilah dah tahu kan?? Tapi ikut skrip asal...Macam ni sebenarnya...



CR HJ HUSHIM SALLEH 

1) Sebagai muqaddimah, boleh Tuan Haji jelaskan apakah tugas serta tanggungjawab seorang suami dan juga isteri dalam sebuah rumahtangga?

2) Bagaimana kedudukan seorang isteri di sisi suami? Bagaimana pula sewajarnya isteri memuliakan suami?

3) Adakah dengan mengambil pembantu rumah merupakan jalan terbaik jika isteri turut bekerja?

4) Mas kahwin dan duit hantaran diberi sebagai permulaan dalam mendirikan rumahtangga. Adakah rendah atau tinggi nilainya menjadi kayu pengukur kebahagiaan sesebuah keluarga? Bagaimana pula jalan penyelesaian apabila timbul konflik dan masalah dalam rumahtangga yang baru dibina?

5) Apakah tips yg boleh diamalkan oleh isteri agar suami bersedia membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah?


PUAN SAFINATUNNAJAH AHMADI & ENCIK AZHAR OTHMAN 

1) Dua-dua bekerja, bagaimana uruskan rumahtangga yg baru dibina?

2) Agak2nya, apakah masalah pertama yg biasanya seorang pasangan baru berkahwin alami?

3) Apabila memperkatakan isu isteri bukan bibik, apakah yang saudari rasai sebagai wanita yg baru bergelar isteri?

4) Boleh kongsikan pandangan, bagaimana mengukuhkan hubungan baru sbg suami isteri kepada penonton. Silakan.

Ni memang copy-paste direct dari email yang saya terima.

Masa ditemubual hari tu..sebenarnya saya ada buat skrip tau. Tapi pada hari kejadia..sebelah petang tu saya sempat la buat point2 je untuk mudahkan saya kalau saya terlupa...

Okey saya tunjukkan skrip yang saya karang tu...mengikut soalan yer...


SOALAN 1: DUA-DUA BEKERJA, BAGAIMANA URUSKAN RUMAHTANGGA YG BARU DIBINA?

Ya. Kami sama-sama bekerja. Saya bekerja sebagai pegawai latihan vokasional di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam. Bertugas sebagai pengajar pelajar Diploma Kemahiran. Rutin harian bermula seawal 5.30 pagi. Setiap hari kami akan solat subuh berjemaah. Ia memang impian saya sebelum berkahwin lagi. Saya inginkan suami yang boleh mengimamkan solat kami. Kemudian seboleh-bolehnya saya akan cuba menyediakan sarapan pagi untuk suami. Kerana suami saya masuk kerja jam 11 pagi kerana mengajar sesi petang. Kalau sempat sarapan bersama, kami akan bersarapan bersama. Kalau tidak sempat saya akan pastikan sekurang-kurangnya saya menyediakan susu panas buat suami saya. Selepas bersalaman saya memandu sendiri ke tempat kerja. Bekerja seperti biasa. Punch kad selewat-lewatnya jam 8.00 pagi. Habis kerja jam 5.00 petang. Kadang-kadang tuntutan tugas, saya terpaksa pulang lewat. 
Suami saya akan sampai rumah dalam jam 6.30 petang. Seboleh-bolehnya saya cuba untuk sampai awal berbanding dia agar saya boleh bersiap-siap apa yang perlu. Bila dia sampai di rumah, saya akan sambut dia dan menyediakan segelas air untuk menghilangkan dahaga. Selepas menyediakan hidangan makan malam, kami akan solat maghrib bersama. Selepas itu baru makan bersama. Tetapi kadang-kadang rutin berubah. Kadang2 suami lihat saya agak penat, jadi saya tak perlu masak dan dia akan ajak makan di luar ataupun dia kan membeli makanan di luar dan kami makan bersama di rumah.
Alhamdulillah, urusan rumahtangga kami kongsi bersama. Maksudnya, bukan saya sahaja yang menguruskan rumah tangga kami. Suami saya selalau membantu saya. Saya cukup bersyukur walaupun kadang kala hanya sekecil2 tugas contohnya mengelap meja makan. 
Skrip asal punya la banyak sebenarnya yang saya nak cakap. Tapi bila depan kamera..aduhai..hilang semua point nak cakap. Tapi ada lah sedikit juga yang saya ingat.. Point-point penting yang saya buat pulak begini :

  • Bangun awal, siapkan sarapan utk suami, solat bersama
  • Selepas bersalaman dengan suami ke tempat kerja seperti biasa
  • Cuba pulang lebih awal dari suami
  • Siapkan apa yang perlu sebelum suami pulang
  • Makan malam bersama & solat bersama
  • Bersiar-siar : tengok wayang, pergi stadiunm-tengok bola
  • Hujung minggu : masa bersama keluarga
  • Ziarah mak mertua & adik beradik
  • Bercuti – gemar mengembara & aktiviti lasak : panjat gunung, berkhemah
  • Beriadah –gym bersama suami
  • Kerja rumah-buat bersama-sama suami
  • Hari minggu siap-sedia pakaian untuk kerja
  • Rutin tak menentu- elakkan bosan dengan rutin yang sama


Apa yang saya beritahu semasa ditemubual?? huhuhu.. ada 2 atau 3 point saja kot yang saya cakap. Gugup sangat rasanya...hehehehe



gambar ni kawan yang tolong sanap..pastu dia upload kat FB...


Okey..berbalik kepada soalan kedua pulak. Skrip asal saya seperti berikut :


SOALAN 2 : AGAK2NYA, APAKAH MASALAH PERTAMA YG BIASANYA SEORANG PASANGAN BARU BERKAHWIN ALAMI?

Bagi saya masalah utama adalah untuk menyesuaikan diri dengan status yang baru iaitu sebagai isteri, menantu, adik ipar, kakak ipar dan makcik. Saya sendiri berkahwin agak lewat iaitu pada usia 32 tahun. Selama 32 tahun, sebagai kakak sulung daripada 8 oarang adik beradik, saya seorang yang amat berdikari dan selalu membuat keputusan sendiri. 

Kalau dulu, saya bebas nak kemana sahaja dan membuat apa sahaja yang saya nak. Tapi bila dah bersuami..segala-galanya saya perlu berkongsi dengan suami dan mohon izin darinya. Mula-mula agak janggal nak biasakan diri. Bagi saya komunikasi antara suami dan isteri amat penting. Setiap perkara saya akan berkongsi dengan suami. Kalau dulu ibu dan bapa saya merupakan orang terpenting dalam hidup. Tapi bila dah bergelar isteri, tentulah suami yang perlu kita dahulukan. Bagaimanapun, kita sebagai isteri amat2 perlukan sokongan dan bimbingan suami.

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda

 “Hendaklah kamu saling meminta nasihat tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkan dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkok maka saling menasihatilah dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut”.
Suami dan isteri mesti saling bertolak ansur dan berbincang bersama. Komunikasi efektif adalah kunci kebahagian rumah tangga.



Tu skrip asal. Saya rumuskan dalam point pulak sebegini..


  • Masalah utama : menyesuaikan diri dengan status isteri, menantu, makcik
  • Masalah: ubah rutin kehidupan
  • Masalah diatasi dengan komunikasi berkesan  dan berpegang pada ajaran Quran & Sunnah
  • Rujuk ibu mertua tentang kegemaran suami
  • Selalu berbincang dengan suami
  • Fahami hobi suami- suka apa yang suami suka
  • Sediakan makan/minum tanpa disuruh
  • Minta pendapat suami / teguran suami : cermin diri – suami
  • Dulu selalu buat keputusan sendiri – kena rujuk & minta izin suami
  • Biasa buat semua kerja/ aktiviti sendiri – kini boleh minta tolong suami. Contoh : servis kereta
  • Perlu ada ilmu rumah tangga – rajin membaca & rujuk org yg berpengalaman
  • Tentukan warna-warni rumah tangga sendiri dengan cara tersendiri
  • Amalkan sunnah rasullullah, ikut apa yang disuruh
  • Tak banyak masalah sebab suami bersedia dan faham keran ada ilmu agama
  • Penting untuk pilih JODOH yang sesuai dengan tuntutan agama, bukan kehendak diri
  • Ingat Allah selalu, rajin zikir
  • Tidak mudah panik kalau ada cerita yang bukan2-bincang bersama
  • Perancangan kewangan dan masa depan keluarga
  • Enjoy kehidupan yang baru, jangan rasa terbeban-positif
  • Saling respeks dan hormati hak peribadi pasangan
  • Jangan terlalu mengongkong-telus & percaya pasangan
  • Bersikap adil dan toleransi
  • Tiada masalah yang tak dapat diselesaikan.
  • Perlu ubah diri sendiri sebelum orang lain.


Rupa-rupanya banyak point yang saya nak beritahu penonton. Amboi2..bukan main panjang pulak ye. Skrip kalah skrip Ustazah tau. Bukannya saya pengacara hari tu. Sekadar tetamu jemputan. Tapi bajet skrip macam ahli panel pulak.

                                 
pinjam gambar dari blog Haji Hushim 

Okey..saya rasa soalan yang sempat ditanya ikut skrip hanya 2 kot? ke 3 ye?? ntah la.. nak tengok balik malu tgk muka sendiri..huhuhu...

Tapi tak pe.. ni baru betul2 masuk dalam isu yang diperkatakan.. ISTERIKU BUKAN BIBIK...


SOALAN 3 : APABILA MEMPERKATAKAN ISU ISTERI BUKAN BIBIK, APAKAH YANG SAUDARI RASAI SEBAGAI WANITA YG BARU BERGELAR ISTERI?

Apa tugas isteri dan apa tugas bibik? Kedudukan isteri dalam rumah tangga amat penting. Isteri merupakan tulang belakang keluarga. Isteri adalah orang kanan suami. Suami sebagai ketua rumah tangga. Jadi isteri merupakan pembantu peribadi suami. Jadi selayaknya isteri yang menyediakan segala keperluan suaminya dan bukan bibik. Suami juga haruslah sedar peranan isteri. Tugas isteri bukan sekadar membuat kerja rumah seperti membasuh, mengemas, memasak dan semua kerja yang dianggap kerja orang perempuan. Tetapi lebih dari itu.

Pada saya, segala apa yang saya lakukan untuk suami adalah sebagai tanda cinta saya padanya kerana Allah SWT. Saya tak mengharapkan balasan daripada suami saya atas apa yang telah saya laksanakan sebagai isteri. Tetapi saya sematkan di dalam hati semuanya kerana Allah. Allah yang akan menilai segala perlakuan kita. Insyallah kalau kita serahkan segala-galanya bulat kerana Allah, hati kita akan menjadi tenang. Dari situlah sinar kebahagiaan akan menyuluh kehiduan kita. Sebenarnya para suami kena bersyukur dan menggaggap isteri yang solehah adalah ANUGERAH yang tidak terhingga. Bila sebut tentang anugerah maksudnya, bukan semua orang dapat  seperti yang kita dapat. Baik atau buruk kita terima seadanya dan kita upgrade menjadi lebih baik.

Jadi atas penghargaan tersebut sebagi isteri tentu kita ingin memberikan  tanda penghargaan untuk yang sama buat suami. Saya sendiri ingin agar diri jadi yang terbaik untuk suami saya. Sayalah isteri…sahabat..rakan pembimbing..pendengar paling setia dan juga perungkai masalah yang dia hadapi.

Isteri sememangnya bukanlah bibik...terma itu tidak patut disebut kepada isteri2 kerana Allah memuliakan darjat wanita dan Nabi Muhammad SAW juga diutuskan untuk mengangkat darjat dan kemuliaan para wanita. Kalau kita soroti sejarah dulu, masyarakat Arab Jahiliyah menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu yang dipalit oleh anak perempuan mereka, tetapi setelah datangnya TAUHID yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adat itu dihapuskan. (soroti kisah MARYAM ibu nasi ISA a.s dan Sirah Al-Khalid Umar al-Khattab)


Kita jangan lupa..orang perempuan adalah golongan paling senang nak masuk syurga jika dia beriman & taat pd suruhan Allah. Tapi boleh juga jadi orang paling ramai masuk neraka sebab ingkar perintah Allah. Nak buat kebaikan bukan mudah tapi nak buat jahat pun payah jugak. Walaupun usahanya nampak macam sama tetapi ganjaran nya berlainan…walaupun usahanya Nampak sama… Hidup di dunia ni singkat sangat. Kita tak tahu sampai bila kita dipinjamkan usia,,kesihatan, kebahagiaan dan semua nikmat yang allah beri ini adalah pinjaman. Selagi ia masih dipinjamkan kepada kita, hargailah ia. Buat yang terbaik seolah-olah esok kita tidak akan mati dan tak ada peluang lagi. Selagi kita masih menjadi isteri, jadilah isteri yang terbaik buat suami. Bila kita diberi peluang menjadi ibu, jadilah ibu yang terbaik untuk anak-anka dan keluarga.

Kalau kita sedar yang setiap apa yang kita lakukan akan ada balasan pahala atau dosa, kita pasti hanya cuba buat kebaikan. Tiada orang yang memilih untuk ke neraka jika dia dijanjikan balasan syurga. Jadi, isteri2 di luar sana, kita sama-sama kumpul pahala buat bekalan ke syurga. Sebab kat syurga nanti..bukan hanya ada sebuah Ferrari..tapi ada yang beribu ganda lebih hebat dari itu.

Dunia ini hanya pentas sementara untuk kita menuju ke akhirat sana.. Syurga atau neraka?? Apakah pilihan kita? Kalau kita nak ke syurga, ikhlaskan diri dalam semua apa yang kita lakukan kerana allah. Buat yang Allah suruh, tinggalkan apa yang dilarang. Insyallah kebahgaian di dunia dan akhirat jadi milik kita. Jadi tak timbul soal..isteri ke bibik??


Panjang kan?? Siap nak masukkan dalil-dalil lagi. Okey. Kita tengok point2 pulak ye. Begini lah....


  • Matlamat perkahwinan : kerana allah, sunnah rasullullah.
  • Bukan sekadar menghalalkan yang haram & elak zina.
  • Isteri bukan bibik : pembantu peribadi, orang kanan, tulang belakang suami
  • Kena faham hak isteri dan hak suami
  • Teladani rasulullah
  • Orang yang baik antara kamu adalah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik terhadap isteri dari kalangan kamu (hadis : Riwayat At-Tirmizi)
  • Ingin suami sebaik Rasulullah, perlu jadi isteri semulia Khadijah
  • Kena jaga maruah suami dan keluarga
  • Islam mengangkat martabat wanita
  • Isteri adalah anugerah tak ternilai
  • Hargai apa yang kita ada & bersyukur
  • Terima baik buruk pasangan, sentiasa ugrade iman dan amal
  • Senang kumpul pahala sebagai bekalan ke syurga
  • Pasangan sehidup semati hingga ke syurga
  • Sentiasa positif dan ikhlas kerana Allah


Apa yang nak saya perkatakan sedikit sebanyak Ustazah ada sentuh. Hadis tu Ustazah ada bacakan dan ulas. jadi tak perlulah saya cakap. lagipun saya ni tetamu jemputan je. Tapi tu la skrip kalah skrip pengacara tau. Bukan main siap bertaip lagi. Tapi saya kagum tengok skrip yang ustazah tulis tangan. Cantik sangat tulisan ustazah. Siap dibezakan dengan warna pen biru dan merah lagi. Kagum saya. kalau saya jadi macam ustazah..saya akan ikut stail penulisan ustazah. 



                        
ni pun pinjam gak dari blog CR Haji Hushim 


Okey.. Soalan terakhir yang diajukan..kalau ikut skrip asal pula...begini ye...


SOALAN 4: BOLEH KONGSIKAN PANDANGAN, BAGAIMANA MENGUKUHKAN HUBUNGAN BARU SEBAGAI SUAMI ISTERI KEPADA PENONTON. SILAKAN.

Saya banyak membuat persedian sebelum berkahwin. Maksudnya, nak berkahwin pun kita kena ada ilmu. Saya memperbanyakkan sumber bacaan. Terutamanya berkaitan ilmu rumah tangga. Bahkan, hadiah pertama saya untuk suami adalah sebuah buku.. Aku terima nikahnya. Pada ketika itu, kami hanya berkawan. Tetapi saya akui, memang saya ada memohon pada Allah selepas pertemuan kami agar dia menjadi suami saya. Walaupun saya sedar, saya tak layak jadi isterinya. Tapi saya perlukan seorang suami seperti dia untuk membimbing dan memimpin saya. Pemberian itu sangat simbolik sebenarnya.

Kami sebenarnya bercinta selepas berkahwin dan ia adalah pengalaman yang amat manis dalam hidup kerana semuanya diberkati. Saya belajar segalanya A-Z tentang diri suami saya, keluarganya dan segala-galanya. Dalam masa yang sama dia pun begitu. Memang pada mula-mula ada sahaja konflik yang berlaku. Sebab kami insan yang berbeza. Ibarat langit dan bumi. Mar dan Venus. Tapi jangan kita jadikan perbezaan itu sebagai halangan kita mencapai kebahagiaan. Sebaliknya ia menjadi sesuatu yg unik dan menggembirakan dan boleh kita kongsi bersama.

Firman Allah :

"Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri) UNTUK BERSENANG HATI dan HIDUP MESRA yang satu kepada yg lain. " (Al-'araf: 189)


Saya suka berkongsi segalanya dengan suami saya. Nama pun perkongsian hidup. Kami gemar berkongsi makanan di dalam pinggan yang sama dan minum berkongsi cawan. Selain itu, saya selalu galakkan suami untuk membantu saya membuat kerja rumah. Saya selalu minta bantuan dia. Bukan bermaksud nak kulikan suami. Tapi saya dah biasa buat kerja rumah bersama-sama adik beradik saya. Jadi bila dah kahwin dan duduk di rumah sendiri, suamilah segala-galanya. Sedikit sebanyak berjaya juga pujuk suami ringankan tugas membuat kerja rumah. Bila suami tolong kita, ucapkan penghargaan dan terima kasih dengan ikhlas. Insyaallah, dia pasti terharu dan tak keberatan membantu kita di rumah. Alhamdulillah, kini suami saya menjadi insan yang senang dan  rajin membantu bila diminta dan kadang-kadang tanpa dipinta sebab dia dah terbiasa.

Selain itu, kita perlu cipta detik-detik romantis bersama. Contohnya luangkan masa mendengar cerita pasangan kita. Kalau ada bajet lebih, luangkan masa intim bersama. Jadikan setiap hari yang kita lalui seperti episode bulan madu. Insyaallah, kemesraan akan sentiasa terjalin. Kalau ada masalah, hadapi dengan tenang dan bawa berbincang bersama.

Antara tips kebahagiaan yang sedang dan akan terus kami amalkan adalah:
1.           Solat berjemaah.
2.           Bersalaman dan bermaafan setiap kali sebelum tidur dan keluar rumah.
3.           Memohon izin suami sebelum berbuat sesuatu perkara dan meminta pendapat suami.
4.           Jadikan suami orang yang terpenting dalam hidup
5.           Rajin masak makanan kegemaran suami. (belajar dari ibunya)
6.           Rapat dengan ahli keluarganya.
7.           Sentiasa puji pasangan dan ucapkan penghargaan buat pasangan
8.           Saling muhasabah diri, tegur menegur dan bertoleransi.
9.           Sentiasa berusaha menjadikan diri yang terbaik di mata pasangan.
10.       Banyakkan berdoa agar allah pelihara kesejahteraan rumah tangga





Kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah. Apabila seseorang insan mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.


"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga,"



8P Tip kebahagian rumahtangga :

1. P yang pertama ialah 'puji' iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.
2. P kedua ialah 'peluk' yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.
3. P ketiga ialah 'penghargaan' di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.
4. P keempat ialah 'perhatian' yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.
5. P kelima mewakili 'persefahaman' kerana sebagai manusia yang bekerjaya memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing.
6. P keenam membawa maksud 'pergaulan' iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.
7. P ketujuh adalah 'percutian' di mana seseorang itu perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan lain.
8. P yang terakhir ialah 'permohonan' iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.


Tips memikat hati suami (4H) :
  1. Sentiasa berhias untuk suami. Bersiap dan berhias menunggu kepulangan suami. Sentiasa menjaga kecantikan diri seperti masa berkasih-kasih dahulu.
  2. Memahami hobi suami dan sentiasa memberi dorongan selagi ia memberi manfaat dan menggembirakan suami anda tetapi berbincanglah jika hobi berkenaan terlalu memakan masa untuk anda bersama atau suami anda terlalu boros untuk hobi tersebut.
  3. Menyediakan hidangan dan minuman untuk suami tanpa perlu disuruh
  4. Sentiasa menghiburkan suami. Fahami suami bila dia susah dan sentiasa beri sokongan dan menggembirakan suami.

Bila saya ringkaskan pulak..jadi macam ni :

  • Berkongsi segalanya dengan suami 
  • Jangan buat apa yang suami tak suka 
  • Sentiasa bahagiakan diri, baru boleh bahagiakan orang lain 
  • Atasi kelamahan diri-belajar dan rujuk quran & sunnah, orang yang berpengalaman 
  • Rapat dengan ibu mertua-ambil hati 
  • Ikhlaskan diri, jangan harapkan balasan dari suami, tapi ganjaran pahala & syurga yang lebih utama 
  • Cipta detik romantis bersama – enjoy life 
  • Ikut teladan yang baik, nabi dan isteri nabi 
  • Sentiasa memikat hati suami
Tips Kebahagiaan (8P)

1. Puji : puji suami sebelum orang lain puji

2. Peluk : jangan tunggu suami peluk, peluk suami dulu

3. Penghargaan : terima kasih, balas kebaikan suami

4. Perhatian : ambil berat, teman hidup sejati

5. Persefahaman : selalu berbincang

6. Pergaulan ; jaga adab dan maruah

7. Percutian : rancang aktiviti bersama berdua

8. Pemohonan – doa dan tawakal, bersangka baik dengan allah




Tips pikat hati suami (4H):
1. Hias : diri, bilik tidur dan rumah
2. Hobi : faham, suka dan minat yang sama
3. Hidangan : rajin masak makanan kesukaan suami

4. Hiburkan suami : selalu bersama, pendengar yang setia


Sekian, terima kasih. Terima kasih kerana sudi baca skrip saya yang tak seberapa ni.



p/s :

 Skrip bukan main panjang lagi. Tapi bila depan kamera tu..nak2 pulak masuk TV kan.. Semua lupa ye Najah oooi..... Mata pulak asyik melirik kat TV yang ada kat depan mata time tu. Sambil fikiran melayang-layang.. Abislah semua orang kampung tengah tengok ni. Punyalah nampak GEMUKS dalam TV ni.. adoi... betul cakap ustazah...kita nampak besar 30%. Ambik ko.... tu la..suh DIET tak mo. Tapi kan.. Kalau tahu nak masuk TV macam ni...SUMPAH...saya dah DIET 3 BULAN sebelum tu lagi tau...huhuhuu..menyesal pon tak guna!!!






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)