Jumaat, 25 November 2016

Fenomena Black Friday





Hari ini 25 November 2016 adalah Black Friday. Apa itu Black Friday ?


"Black Friday is the day after Thanksgiving Day and the Friday before Cyber Monday in the United States. It is a busy shopping day and is a holiday in some states. Black Friday, which is the day after Thanksgiving Day, is a busy shopping day." - Google


Black Friday pada asalnya adalah tradisi Amerika, jatuh pada hari selepas Kesyukuran setiap tahun. Black Friday juga telah melanda United Kingdom dan mungkin juga negara-negara lain.


http://www.blackfridaydealsonline.co.uk/

Sebelum sampai ke UK saya hanya tahu tentang "Boxing Day". Rupanya ada banyak lagi temasya membeli belah di sini. Pokok pangkalnya, sediakan sahaja 'wishlist' dan bajetnya sekali.

Keadaan ekonomi pun tak berapa baik sekarang. Jadi sebaik-baiknya kita rancang perbelanjaan dan kedudukan kewangan kita. Boleh sahaja nak membeli belah, tetapi dahulukan keperluan berbanding kehendak.

Jika kita memang berimpian untuk membeli produk idaman yang agak mahal dan bukan bersifat keperluan, kita boleh mendapatkannya sewaktu jualan murah dengan menggunakan duit tabungan kita. Ikut seperti saranan yang pernah saya kongsikan tentang tabung si hijau, si oren atau si ungu.

Kami di sini menggunakan kesempatan waktu jualan murah ini untuk melengkapkan keperluan bayi yang bakal lahir Januari nanti. Alhamdulillah. Memang berbaloi membeli semasa jualan murah. Dapat diskaun, produk percuma, malah ada diberikan vouncher tunai.


Alhamdulillah.

Syukur atas segala anugerah dan nikmat yang Allah berikan.


Safinatunnajah Ahmadi
Membeli dengan bijak
Liverpool, UK.



Selasa, 22 November 2016

Nota Inspirasi #56 : Menzahirkan Kebaikan




Sedarkah kita?? Bahawa semua orang sebenarnya baik dan sukakan kebaikan. Namun, sedihnya tidak ramai yang pandai menzahirkan kebaikannya.

.
Pasangan suami isteri saling mencintai antara satu sama-lain tetapi tidak pandai menzahirkan cintanya. Sekian lama berumah tangga, tetapi sudah lama tidak meluahkan rasa kasih dan cinta. Seolah-olah cinta mereka tersimpan kemas di sudut hati yang paling dalam dan kelam.

Seorang ibu sangat menyayangi anaknya tetapi lebih banyak memarahi anak kerana tertekan dek bebanan dan kesibukan tugas harian. Sedangkan saat anak itu di dalam kandungan setiap hari si ibu meluahkan rasa kasih pada anak yang dikandung dan berdoa agar anaknya menjadi anak yang soleh.

Kita mengharapkan seribu kebaikan datang kepada kita. Tetapi kita lupa untuk berbuat baik kepada insan yang telah berkorban segalanya demi kita iaitu kedua ibu-bapa kita. Doa tulus merekalah yang memberi kebahagiaan buat kita selama ini.

.
Dunia ini telah banyak membuatkan kita terlupa dan terleka. Saat kita berjuang demi meneruskan kelangsungan hidup, kita telah mengabaikan apa yang ada di depan mata kita. Kita sibuk mengejar kebahagiaan, sedangakan kebahagiaan itu sudah ada dalam gengaman.

Astagfirullah.

.

Mari kita bersama-sama menzahirkan kebaikan dan berbuat baik kepada pasangan kita dengan selalu memberi khidmat. Mulakan dengan yang paling kecil dan mudah. Kita tunjukkan contoh yang terbaik dalam keluarga kita. Insya Allah, anak-anak akan ikut sama melakukan kebaikan.

Apabila kita semua menzahirkan kebaikan, maka dunia kita akan penuh dengan kebaikan dan kebahagiaan. Insya Allah.

.
Dan andainya kalian rasa entri ini mempunyai mesej kebaikan, mohon kongsikan dan sebarkan demi kebaikan berpanjangan. Semoga kita sama-sama dapat manfaat dan mendapat amal jariah yang berpanjangan sampai ke syurga.

Insya Allah.

Allah sangat sayang pada kita semua.


Wallahua'lam.


Safinatunnajah Ahmadi


Belajar menjadi lebih baik dan menyebarkan kebaikan.
Liverpool, UK.
22.11.2016

p/s : menzahirkan kebaikan bukan riak.

Khamis, 10 November 2016

PhD #12 : Terus Melangkah




Seawal jam 3 pagi saya sudah terjaga. Ikutkan rasa hati mahu terus lena menyambung mimpi. Tetapi hati kecil bermonolog sendiri. Masih banyak perlu saya sediakan sebelum mesyuarat bersama penyelia hari ini.

Usai solat tahajud, dalam sendu sempat saya menulis bait kata sebuah puisi - DALAM TAHAJUD CINTA. Itulah nukilan rasa di keheningan pagi. Dari jiwa yang merintih mengharapkan kasih dan ihsan Illahi.

Sungguh. Masih terlalu jauh destinasi PhD ini. Masih banyak yang perlu saya lalui. Jika dibandingkan dengan sahabat seperjuangan yang lain, saya jauh ketinggalan. Namun, tak pantas kita membandingkan nasib kita dengan orang lain. Seolah menyesali takdir Tuhan
Yang Maha Berkuasa mengurus tadbir takdir hambaNya.

Saya cuba usahakan untuk menyediakan dokumen yang sepatutnya. Menyudahkan apa yang termampu sebaiknya. Tepat jam 10.15 bergegas bersiap, untuk mengejar bas No. 76 yang dijadualkan tiba jam 10.26.

Sampai di perhentian bas, jam di tangan menunjukkan jam 10.27 pagi. Bas mungkin sudah terlepas agaknya. Tapi pasrah sahaja. Mesyuarat dengan penyelia telah saya ditetapkan pada jam 11.00 pagi. Hati gundah juga, bimbang terlewat.

Jam 10.32 pagi, bas No. 76 tiba di perhentian bas Ritson Street. Hebatnya Allah mengaturkan waktu, bas lewat tiba seolah menantikan saya. Alhamdulillah.

Turun dari bas sempat saya rakam foto ini. Buat bingkisan memori hari ini. Selepas itu sempat lagi ke Harold Cohen Library untuk mencetak dokumen yang akan dijadikan agenda mesyuarat nanti.

Alhamdulillah.. Semua seolah diatur oleh Allah dengan sangat rapi. Saya tiba di pejabat jam 10.51 pagi. Sempat melepaskan hela dan menenangkan diri sebelum bertemu penyelia.

Penyelia saya pun sudah bersedia. Saya lihat pintu pejabatnya sudah terbuka. Seolah-olah sedang menanti kehadiran saya. Saya masuk dahulu ke pejabat saya. Meletakkan beg dan mengambil buku catatan. Sempat lagi menulis nota ringkas untuk perbincangan dalam mesyuarat nanti.

Tepat jam 11.00 pagi, saya ketuk pintu pejabat penyelia. Sesudah bertegur sapa dan bertanya khabar, mesyuarat berjalan seperti biasa.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Illahi. Mesyuarat bersama penyelia hari ini berjalan dengan sangat lancar. Betapa rapinya perancangan dan pengurusan oleh Allah SWT. 
.

Di akhir pertemuan tadi apabila penyelia berkata begini

"I am happy today. You are making good progress... "

Panjang lagi ayat yang diucapkan oleh penyelia. Saya tak ingat semuanya. Bila melihat senyuman yang terukir di wajah penyelia saya hari ini, itu sudah cukup buat saya rasa gembira. Hati berasa sangat lapang dan tenang. Walaupun saya sendiri tahu progres saya tak sebagus mana.

Tapi saya sangat percaya. Allah sentiasa ada bersama. Allah sangat teliti menjaga dan mengurus tadbir seluruh alam semesta. Semuanya berada di dalam genggamannya. Tiada apa yang perlu kita gusarkan. Apabila kita serahkan seluruh jiwa dan raga untuk mengabdikan diri hanya pada Dia.


Terus melangkah. 
Semua yang baik-baik telah Allah sediakan buat kita.


Insyaallah.


Alhamdulillah. Allahuakbar.





Yang memilih ALLAH sebagai penyelia utama

Liverpool, UK.

10.11.2016

Selasa, 8 November 2016

PhD #11 : KAJIAN KUALITATIF - TEMUDUGA


Saya mahu berkongsi hasil carian maklumat berkenaan kajian kualitatif menggunakan kaedah temuduga. Beberapa rakan PhD ada memberitahu saya bahawa mereka menggunakan kaedah kualitatif dalam kajian mereka. Ramai juga yang menggunakan kaedah kuantitatif iaitu survey.

Saya pula memilih kaedah mix-method. Gabungan kedua-dua kaedah kualitatif dan kuantitatif. Kaedah ini agak baru dan tidak ramai yang memilih bentuk kajian seperti ini.

Panduan membangunkan soalan temuduga


Tetapi ketika saya berkursus di University of Cambridge pada tahun lepas, saya dapati ada beberapa lagi kaedah yang penyelidik di sana telah gunakan.


Pembentangan 



Melopong juga la saya dibuatnya kerana masih terlalu banyak yang saya tidak tahu dan perlu belajar. Inilah keseronokan yang saya temui dalam perjalanan PhD saya. Apabila dapat belajar sesuatu yang baharu, kita akan rasa bahagia. Alhamdulillah.




Sebelum ini saya sudah draf soalan-soalan yang akan saya gunakan semasa temuduga nanti. Tetapi saya perlu kemaskini lagi kerana terdapat beberapa perubahan apabila telah bertukar penyelia. 


.


Tak mengapa la kan. Perubahan untuk kebaikan dan penambahbaikan. Yang penting teruskan gandakan usaha dan berdoa agar perjalanan PhD ini dipermudahkan Allah SWT.

Bersama rakan-rakan PhD di University of Cambridge

Insya Allah.

Wallahua'lam.
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galanya.



Bakal penemuduga
Liverpool, UK.


Sumber rujukan saya perolehi dari link ini :


Isnin, 7 November 2016

Nota Inspirasi #55 : Relaks Semasa Peperiksaan



Hari ini adik-adik mula menduduki SPM 2016. Akak cuma nak pesan agar adik-adik semua relaks je hari ni. Apa nak dirisaukan. ia hanya satu lagi ujian bernama peperiksaan.

SPM sangat penting. Tapi jangan sampai adik-adik terlalu risau sampai tak lalu nak makan. Tidur tak lena. Mandi tak basah. Relaks. Tenang saja. Banyak berdoa pada Allah SWT.

Ooh.. Akak masih ingat lagi tau. Masa tahun 1997 akak pun menduduki peperiksaan SPM. Macam adik-adik juga. Akak rasa akaklah calon SPM paling relaks pada hari peperiksaan tu.


Kelas 5 (1) - Gambar bersama guru dan kawan-kawan (1997)

Akak bangun pagi awal tau. Jam 4 pagi akak dah bangun. Dah tidur pun awal kan. Lepas mandi ambil wudhuk, akak solat sunat. Buatlah solat hajat mohon pada Allah agar dilapangkan hati dan ditajamkan akal untuk menjawab dengan tenang nanti.

Lepas solat subuh akak ambil nota ringkas yang akak dah buat. Selak sikit dan baca mana yang patut. Lepas bersiap pergi turun ke dewan makan untuk sarapan.

Masa sarapan pun borak macam biasa dengan kawan-kawan akak. Pastu orang lain sibuk dah bergerak ke dewan peperiksaan. Akak masih relaks lagi. Boleh pulak akak duduk dekat dengan meja pingpong. Siap ajak kawan main pingpong kejap sebelum masuk dewan.

Kawan-kawan dah mula berjalan ke dewan peperiksaan. Akak pejam mata duk berangan. Bayangkan diri akak dah masuk dewan peperiksaan. Bayangkan dah duduk di kerusi dan buka kertas soalan.

Akak nampak soalan-soalan di kertas peperiksaan. Akak selak tiap helai kertas soalan. Ok. Dah dapat soalan bocor. Akak senyum gembira. Akak dapat menjawab dengan tenang. Pastu akak hantar kertas jawapan.

Ceh.. Berangan rupanya...

Akak pun buka balik la nota poket akak. Baca balik nota tu. Hafal jawapan untuk soalan yang akak nampak di kertas soalan tadi. Lepas tu tengok kiri kanan semua orang dah tak ada. Akak orang terakhir yang masih berada di asrama.

..Relaks..

Akak berjalan ke dewan peperiksaan yang tak berapa jauh dari asrama. Masa itu orang lain dah mula menjawab soalan dah. Cikgu yang menjaga peperiksaan tu hairan tengok akak jalan berlenggang. Akak senyum sahaja.

Dalam hati baca ayat kursi, surah insyirah, 3 Qul dan doa yang akak dah hafal.

Masuk dewan peperiksaan, beri salam pada pengawas peperiksaan. Minta maaf sebab masuk lambat sambil senyum simpul. Kawan-kawan pandang akak dengan muka kelat.

Aik..kenapa. Susah sangat ke soalan tu? Sampai muka terkulat-kulat. Akak pun cari tempat duduk akak. Duduk dengan tenang.

Baca bismillah. Buka kertas soalan. Wah. Soalan dalam tu sama macam apa yang akak bayangkan tadi. Senang hati akak.

Akak pun jawab dengan tenang. Dah siap jawab semua soalan, akak semak semula jawapan. Lepas tu angkat tangan. Pengawas peperiksaan datang ke meja akak.

"Awak nak kertas tambahan ke?" 
"Tak cikgu. Saya nak hantar kertas jawapan."
"Aik, dah jawab semua ke?"
"Sudah cikgu"
"Tadi kan awak masuk lambat. Cepat je jawab."
"Alhamdulillah. Saya dah siap jawab semua cikgu."

Akak senyum je pada cikgu sambil hulur kertas jawapan. Lepas tu akak bangun perlahan-lahan dan bergerak keluar dari dewan. Kawan-kawan semua pandang akak lagi dengan wajah kehairanan.

Akak lihat macam-macam reaksi dan ekspresi muka mereka. Ada yang muka sudah berada di atas meja. Ada yang pandang kiri kanan dan belakang. Ada yang muka kelat. Tapi ramai juga yang tunduk tak toleh kiri kanan. Tekun menjawab soalan.

.

Lepas balik ke asrama akak terus ke dewan makan. Makanan dah siap. Akak makan dulu la. Lapar kot lepas perah otak tadi??

Lepas makan masuk ke bilik berehat. Dapat lelapkan mata sebentar. Terjaga sebab riuh rendah. Bising. Kawan-kawan sebilik dah balik.

Mereka sibuk la bertanya khabar antara satu sama lain dan berbincang tentang jawapan masa peperiksaan tadi.

Akak malas nak ambil tahu. Apa yang dah berlalu biarkan berlalu. Kita fokus untuk yang seterusnya. Masih ada subjek lain kan. Lagipun kita dah usaha. Tawakal sahaja pada Allah SWT.

Setiap kali ada peperiksaan akak akan buat solat hajat. Selalunya selepas solat fardhu, akak akan buat solat hajat. Setiap hari semasa minggu peperiksaan begitulah rutin akak. Itulah perangai akak.

Akak rasa masa minggu peperiksaan memang akak sangat relaks. Orang lain sibuk belajar dan berbincang. Akak sibuk main pingpong. Lepas tu tidur awal. Masa orang tidur akak bangun awal. Buat solat sunat. Baca al Quran. Lepas selesai baru akak selak buku, baca nota, buat latihan menjawab soalan. Beginilah rutin akak masa minggu peperiksaan. Dari sekolah sampai masuk universiti memang itulah yang akak buat. Sudah jadi tabiat mungkin.

Betul ke akak sangat relaks? Orang meang nampak akak relaks tak buat apa. Tapi masa orang lain tidur akak berusaha keras juga. Allah sahaja yang melihat dan tahu segalanya.

Lagipun akak suka belajar masa orang lain tidur. Jadi tak ada la gangguan. Tenang dan syahdu di keheningan malam. Sambil layan lagu jiwang. Senang nak fokus dan mudah lekat di ingatan.

Adik-adik kalau nak ikut cara akak boleh juga. Lain orang lain caranya kan.

"STUDY BIAR LEPAK. RESULTS BIAR GEMPAK."


Itulah motto akak dulu. 😊




Akak doakan adik-adik #SPM2016 semua dapat menjawab dengan tenang dan sukses dengan keputusan yang cemerlang.




Insyaallah.


Catatan pengalaman sebenar.

Safinatunnajah Ahmadi
Pelajar Terbaik SPM 1997.
SAM Hisamuddin Sg. Bertih, Klang.

Jumaat, 4 November 2016

Monolog #55 : Dia..Anugerah Terindah




Dia..Anugerah Terindah


Dia..
Anugerah terindah
Kurniaan Allah

Dia..
Ibarat kain putih
Amanah buat insan terpilih

Dia..
Lahirnya dengan tangisan 
Membawa kebahagiaan

Dia..
Dinanti sekian lama
Dalam doa sentiasa dipinta

Dia..
Diharap menjadi harta berharga 
Berpanjangan hingga ke syurga

Dia..
Anak soleh dambaan jiwa
Penyejuk mata pengubat lara


.
Liverpool, UK 
04.11.2016

PhD #10 : Research Ethic



Ramai di kalangan rakan-rakan seperjuangan saya yang telah membuat kutipan data. Jika diikutkan perancangan awal, seharusnya di tahun pertama lagi saya sudah mula membuat kutipan data semasa pulang ke Malaysia pada Julai 2015.

Kita merancang, tetapi semuanya dalam gengaman Allah SWT. HanyaAllah yang lebih mengetahui jalan mana yang terbaik untuk kita. Kita wajar berusaha dengan gigih dan fokus dengan matlamat kita. Tetapi, setelah berusaha jangan lupa untuk berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT.

Research ethic ini wajib saya perolehi sebelum memulakan kutipan data. Pada tahun 2015, saya telah mula mengisi borang permohonan. Ketika itu permohonan masih menggunakan borang biasa. Tetapi kerana beberapa faktor yang bukan dalam kawalan saya, maka borang itu terkubur lama.

Kini, di tahun 2016 sudah atas sistem permohonan atas talian. Ia lebih cepat dan memudahkan urusan. Selaku pemilik projek saya perlu melengkapkan permohonan dan mendapatkan pengesahan daripada penyelia.


Permohonan secara online


Alhamdulillah. Setelah bertukar penyelia, perjalanan PhD ini nampak lebih lancar. Saya pun lebih bersemangat kerana perjuangan PhD saya bukan lagi " a lonely journey". Sekarang saya ada peneman setia yang menemani perjalanan ini.

Mudah-mudahan nanti anak kami juga akan mengikuti jejak langkah saya bila dia dewasa nanti. Terus menimba ilmu hingga ke peringkat tertinggi. Insya Allah.

Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita semua. Insya Allah.

Wallahua'lam
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galanya.



Berserah semuanya pada Allah SWT.
University of Liverpool.
04.11.2016

LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)