Memaparkan catatan dengan label inspirasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label inspirasi. Papar semua catatan

Selasa, 22 November 2016

Nota Inspirasi #56 : Menzahirkan Kebaikan




Sedarkah kita?? Bahawa semua orang sebenarnya baik dan sukakan kebaikan. Namun, sedihnya tidak ramai yang pandai menzahirkan kebaikannya.

.
Pasangan suami isteri saling mencintai antara satu sama-lain tetapi tidak pandai menzahirkan cintanya. Sekian lama berumah tangga, tetapi sudah lama tidak meluahkan rasa kasih dan cinta. Seolah-olah cinta mereka tersimpan kemas di sudut hati yang paling dalam dan kelam.

Seorang ibu sangat menyayangi anaknya tetapi lebih banyak memarahi anak kerana tertekan dek bebanan dan kesibukan tugas harian. Sedangkan saat anak itu di dalam kandungan setiap hari si ibu meluahkan rasa kasih pada anak yang dikandung dan berdoa agar anaknya menjadi anak yang soleh.

Kita mengharapkan seribu kebaikan datang kepada kita. Tetapi kita lupa untuk berbuat baik kepada insan yang telah berkorban segalanya demi kita iaitu kedua ibu-bapa kita. Doa tulus merekalah yang memberi kebahagiaan buat kita selama ini.

.
Dunia ini telah banyak membuatkan kita terlupa dan terleka. Saat kita berjuang demi meneruskan kelangsungan hidup, kita telah mengabaikan apa yang ada di depan mata kita. Kita sibuk mengejar kebahagiaan, sedangakan kebahagiaan itu sudah ada dalam gengaman.

Astagfirullah.

.

Mari kita bersama-sama menzahirkan kebaikan dan berbuat baik kepada pasangan kita dengan selalu memberi khidmat. Mulakan dengan yang paling kecil dan mudah. Kita tunjukkan contoh yang terbaik dalam keluarga kita. Insya Allah, anak-anak akan ikut sama melakukan kebaikan.

Apabila kita semua menzahirkan kebaikan, maka dunia kita akan penuh dengan kebaikan dan kebahagiaan. Insya Allah.

.
Dan andainya kalian rasa entri ini mempunyai mesej kebaikan, mohon kongsikan dan sebarkan demi kebaikan berpanjangan. Semoga kita sama-sama dapat manfaat dan mendapat amal jariah yang berpanjangan sampai ke syurga.

Insya Allah.

Allah sangat sayang pada kita semua.


Wallahua'lam.


Safinatunnajah Ahmadi


Belajar menjadi lebih baik dan menyebarkan kebaikan.
Liverpool, UK.
22.11.2016

p/s : menzahirkan kebaikan bukan riak.

Khamis, 10 November 2016

PhD #12 : Terus Melangkah




Seawal jam 3 pagi saya sudah terjaga. Ikutkan rasa hati mahu terus lena menyambung mimpi. Tetapi hati kecil bermonolog sendiri. Masih banyak perlu saya sediakan sebelum mesyuarat bersama penyelia hari ini.

Usai solat tahajud, dalam sendu sempat saya menulis bait kata sebuah puisi - DALAM TAHAJUD CINTA. Itulah nukilan rasa di keheningan pagi. Dari jiwa yang merintih mengharapkan kasih dan ihsan Illahi.

Sungguh. Masih terlalu jauh destinasi PhD ini. Masih banyak yang perlu saya lalui. Jika dibandingkan dengan sahabat seperjuangan yang lain, saya jauh ketinggalan. Namun, tak pantas kita membandingkan nasib kita dengan orang lain. Seolah menyesali takdir Tuhan
Yang Maha Berkuasa mengurus tadbir takdir hambaNya.

Saya cuba usahakan untuk menyediakan dokumen yang sepatutnya. Menyudahkan apa yang termampu sebaiknya. Tepat jam 10.15 bergegas bersiap, untuk mengejar bas No. 76 yang dijadualkan tiba jam 10.26.

Sampai di perhentian bas, jam di tangan menunjukkan jam 10.27 pagi. Bas mungkin sudah terlepas agaknya. Tapi pasrah sahaja. Mesyuarat dengan penyelia telah saya ditetapkan pada jam 11.00 pagi. Hati gundah juga, bimbang terlewat.

Jam 10.32 pagi, bas No. 76 tiba di perhentian bas Ritson Street. Hebatnya Allah mengaturkan waktu, bas lewat tiba seolah menantikan saya. Alhamdulillah.

Turun dari bas sempat saya rakam foto ini. Buat bingkisan memori hari ini. Selepas itu sempat lagi ke Harold Cohen Library untuk mencetak dokumen yang akan dijadikan agenda mesyuarat nanti.

Alhamdulillah.. Semua seolah diatur oleh Allah dengan sangat rapi. Saya tiba di pejabat jam 10.51 pagi. Sempat melepaskan hela dan menenangkan diri sebelum bertemu penyelia.

Penyelia saya pun sudah bersedia. Saya lihat pintu pejabatnya sudah terbuka. Seolah-olah sedang menanti kehadiran saya. Saya masuk dahulu ke pejabat saya. Meletakkan beg dan mengambil buku catatan. Sempat lagi menulis nota ringkas untuk perbincangan dalam mesyuarat nanti.

Tepat jam 11.00 pagi, saya ketuk pintu pejabat penyelia. Sesudah bertegur sapa dan bertanya khabar, mesyuarat berjalan seperti biasa.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Illahi. Mesyuarat bersama penyelia hari ini berjalan dengan sangat lancar. Betapa rapinya perancangan dan pengurusan oleh Allah SWT. 
.

Di akhir pertemuan tadi apabila penyelia berkata begini

"I am happy today. You are making good progress... "

Panjang lagi ayat yang diucapkan oleh penyelia. Saya tak ingat semuanya. Bila melihat senyuman yang terukir di wajah penyelia saya hari ini, itu sudah cukup buat saya rasa gembira. Hati berasa sangat lapang dan tenang. Walaupun saya sendiri tahu progres saya tak sebagus mana.

Tapi saya sangat percaya. Allah sentiasa ada bersama. Allah sangat teliti menjaga dan mengurus tadbir seluruh alam semesta. Semuanya berada di dalam genggamannya. Tiada apa yang perlu kita gusarkan. Apabila kita serahkan seluruh jiwa dan raga untuk mengabdikan diri hanya pada Dia.


Terus melangkah. 
Semua yang baik-baik telah Allah sediakan buat kita.


Insyaallah.


Alhamdulillah. Allahuakbar.





Yang memilih ALLAH sebagai penyelia utama

Liverpool, UK.

10.11.2016

Jumaat, 4 November 2016

Monolog #55 : Dia..Anugerah Terindah




Dia..Anugerah Terindah


Dia..
Anugerah terindah
Kurniaan Allah

Dia..
Ibarat kain putih
Amanah buat insan terpilih

Dia..
Lahirnya dengan tangisan 
Membawa kebahagiaan

Dia..
Dinanti sekian lama
Dalam doa sentiasa dipinta

Dia..
Diharap menjadi harta berharga 
Berpanjangan hingga ke syurga

Dia..
Anak soleh dambaan jiwa
Penyejuk mata pengubat lara


.
Liverpool, UK 
04.11.2016

Rabu, 6 April 2016

Nota Inspirasi # 50 : Kita Hamba Tuhan.



Nota inpirasi sudah sampai ke penghujungnya. Untuk kali ini. Sasaran saya untuk menyiapkan naskah ini telah sampai ke pengakhirannya. Saya tercari-cari apakah tajuk terakhir untuk menutup tinta ini.

Sungguh, hanya Allah sahaja yang tahu betapa kerdilnya rasa diri untuk berkongsi. Diri ini masih lagi belajar dan mencari makna hidup bertuhan. Diri ini sangat jauh dari sempurna. Masih banyak kekurangan.

Tapi, saya gagahkan diri. Cari kekuatan. Saya baca dan tulis apa yang saya benar-benar faham dan hadam. Saya bukan ingin mngajar, jauh sekali ingin membetulkan. Saya hanya ingin mengikut seruan Rasulullah SAW. Saya hanya ingin terus menyampaikan.


Semasa musim bunga di Cambridge, UK.



Saya ingin menyambung warisan para Nabi dan Rasul. Ingin sentiasa menyebarkan kebaikan ke serata alam. Lebarkan sayap dengan kasih sayang. Menyayangi dan mengasihani setiap makhluk tuhan dengan setulusnya.

Kalam Allah saya baca berulang-ulang. Saya mencari inpirasi daripada mukjizat kurniaan Illahi. Saya perhalusi maknanya hingga benar-benar masuk ke dalam hati. Terbenam di lubuk hati yang paling dalam.

Saya tak mahu simpan inspirasi itu buat diri saya sendiri. Saya sangat suka untuk berkongsi pada mereka yang ingin menghargai dan dihargai. Sungguh, itulah janji saya pada Illahi.

Di pagi yang sunyi, saya selak mukjizat yang Allah beri. Saya temui ayat ini.

Allah telah berfirman di dalam Surah Saad (38 : 72-88 ) : 

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: " Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia - Adam dari tanah;

" Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya ".

(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, 
Melainkan Iblis; ia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Allah berfirman: " Hai lblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? "

Iblis menjawab: " Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah ".

Allah berfirman: " Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir.

" Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!"
Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) ".

Allah berfirman: " Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh -
" Hingga ke hari masa yang termaklum ".

Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, -

" Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan ".

Allah berfirman: " Maka Akulah Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan hanya perkara yang benar Aku firmankan -

" Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya ".

Katakanlah (wahai Muhammad): " Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada ".

Al-Quran tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk seluruh alam.
Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kebenaran perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi.


.


Ini diceritakan di dalam Kalam Allah, Al Quran. Kita telah lama diperingatkan tentang musuh kita iaitu Iblis Laknatulla. Tetapi kita selalu lupa. Kita hambanya yang lemah. Iman setipis kulit bawang, mungkin lebih nipis dari itu. Astagfirullah.

Kita sangat mudah terpedaya dengan hasutan syaitan dan iblis. Termakan dengan nafsu yang membuas, hingga kita lupa siapa diri kita. Kita lupa kita bukan tuhan. Kita hanya HAMBA Tuhan.

Kita selalu derhaka. Tetapi Allah belum hukum kita kerana dosa kita. Allah masih memberikan kita peluang bukan sekali dua. Berkali-kali. Kita masih dipinjamkan nafas untuk terus bernyawa. Bukan untuk kita terus alpa. Tapi Allah ingin agar kita berpeluang mencuci dosa yang ada. Segera kembali ke jalanNya.




pendakian saya di Mom Tor, Peak District.


+

Saat kita jatuh tersungkur di lemah kehinaan, Allah Ya Qayyum, Tuhan yang berdiri dengan sendirinya telah mengangkat kita. Allah selalu selamatkan kita dengan kasih dan rahmatnya. Sedarkah kita? Allah sangat sayang pada kita. Tidak cukupkah lagi??

+

Saat kita merasa rendah diri, Allah Al Rafiiq, Yang Maha Meninggikan, telah meninggikan darjat dan martabat kita di sisinya. Dia memberi keyakinan kepada kita untuk memajukan diri. Menggilap potensi yang ada dan berusaha gigih untuk berjaya.

+
Saat kita rasa kita keseorangan, terbuang dan tak punyai sesiapa, Allah Al Baaqii Yang Maha Kekal, tak pernah hilang. Allah sentiasa ada. Sentiasa membuka pintu rahmat dan kasihnya menunggu kita. Menanti kita kembali kepadanya, dengan setulusnya. Ingatkah kita??

+

Saat kita rasa diri kita hina, jangan kita lupa bahawa Allah Al Jalil, Al Kareem, Al Majiib, Yang Maha Mulia. Hanya Dia yang Maha Mulia. Kita ciptaanya jauh dari sempurna. Tetapi, Allah Al Mu'izz, Yang Maha Memuliakan. Hanya dia yang memuliakan kita. Kita dimuliakan dengan jawatan KHALIFAH untuk mengurus tadbir takdir kita di muka bumi pinjamanNya. Sedarkah kita?

+
Saat kita rasa diri penuh dengan dosa, ingatlah Allah Al Ghaafur, Yang Maha Pengampun. Sucikanlah jiwa kita. Bersihkan hati kita dengan solat taubat dan zikirullah. InsyaAllah, hati kita kan jadi lebih tenang dan bahagia. Inilah kekuatan buat kita. Yakinlah!

+
Saat kita rasa ingin bertaubat tetapi kita bimbang dan takut akan balasannya, ingatlah Allah Al-Tawwab, Yang Maha Menerima Taubat. Pintu taubatnya terbuka luas, lebih luas dari angkasa raya. Yakinlah, dia sentiasa rindukan kita, untuk sentiasa sujud padaNya. Dia sentiasa menanti kita yang berdosa tetapi ingin membasuh segala noda. Sungguh, Allah sangat sayangkan kita semua.
.
Kerana, Allah Tuhan kita. 
Kita hanyalah hambaNya.




Wallahua'lam.
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galanya.


( Safinatunnajah Ahmadi , 2016)
Hamba Allah
Liverpool, United Kingdom.


Bunga yang sangat cantik, seindah hidup ini.





p/s : Terima kasih kepada pembaca yang sudi membaca hingga ke hujung cerita. Moga Allah melimpahi rahmatnya buat kalian semua. Kita pimpin tangan sampai ke syurga ye.



heart emoticon
heart emoticon

Khamis, 31 Mac 2016

Cerita dari Paris # 6: Ada Hikmahnya


Bismillah


Tempoh hari disebabkan 'kecuaian' tuan suami, tiket perjalanan sepanjang percutian di Paris hilang. Semuanya berlaku kerana ketetapan takdir Allah.


Bukannya tuan suami tak ambil langkah berhati-hati. Tiket itu sentiasa disimpan di poket jaket yang dipakai. Poket di sebelah dalam. Dan jarang sekali tiket itu dikeluarkan dari poket kerana tiket hanya diperlukan ketika hendak masuk ke stesen keretapi. Kalau bertukar banyak stesen pun hanya sekali sahaja diperlukan tiket tersebut untuk dimasukkan ke dalam mesin automatik.



Salah  satu daripada stesen keretapi di Paris



Pelik? Bagi saya tidak. 
Ini kerana memang begitulah kehidupan kita di dunia ini. Kita fikir kita cukup teliti dan berhati-hati. Tetapi kita lupa kita pun manusia biasa. Kita lupa bahawa Allah Ya Muhshii, Yang Maha Menghitung segalanya. Tidak ada sesuatu pun yang terlepas dari perhitunganNya.

Wallahua'lam. 
Allah lebih mengetahui Segala-galaNya.


Kadangkala ketika kita mengingatkan orang lain, kita lupa mengingatkan diri sendiri. Memang mudah menegur kesilapan orang lain. Tetapi sukar untuk kita mengakui kesilapan sendiri bukan??

Astaghfirullah hal Azim.


Kadangkala, dalam kita membuat sebarang perancangan kita lupa untuk sebulatnya bergantung kepada Allah Ya Raqiib Yang Maha Mengawasi. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu mengawasi segalanya dengan sangat teliti. Bukankah semua di langit dan di bumi ini milikNya? Nikmat manakah yang hendak kita dustakan?


Astaghfirullah hal 'Azim.
Ampunilah kami Ya Allah.

Tuan suami bersama iklan Malaysia di Paris



Apa yang terjadi nampak mudah. Tetapi bila diperhalusi banyak hikmah dari kejadian itu. Alhamdulillah.



Dan Allah Ya Wahhab Ya Maha Pemberi Kurnia jugalah yang telah mengurniakan segalanya untuk kami. Dengan izinNya juga saya diberi ilham untuk berkongsi hikmah disebalik kisah ini.



Kami di stesen keretapi Bastille, Paris



Wallahua'lam.

Rabu, 30 Mac 2016

Cerita dari Paris # 3: Tiket Hilang





Bismillah


Sebelum pulang ke Liverpool, saya dan tuan suami bercadang untuk meninjau kawasan sekitar Paris. Masa yang masih ada jangan dilepaskan berlalu begitu sahaja.

Lagipun masih banyak tempat menarik sekitar Paris yang belum sempat dikunjungi. Pelan asal percutian di Paris banyak yang tertunda dan terbatal. Ini kerana, ada konflik antara tuan suami dan saya.


Tuan suami tidak setuju dengan rancangan saya. Banyak pelan perjalanan yang bertukar dan saya jadi sedikit kecil hati dengan beliau.

Urusan pembelian tiket, tempahan hotel sehingga pelan perjalanan memang diserahkan sebulatnya kepada saya. Memang saya lebih mahir dengan teknologi ICT dan boleh mengurus perjalanan dengan baik.


Tetapi, mungkin kerana rasa ego seorang suami dan lelaki agaknya maka tuan suami pun nak 'bersuara'. Bulan madu kami di Paris penuh dengan adegan drama. Macam dalam sinetron pun ada.

Ok. Berbalik semula kepada tajuk cerita kali ni tentang tiket yang hilang. Tuan suami saya memang agak degil. Mungkin juga ego tak mahu dengar pendapat isteri yang 'bijaksana'.

Sewaktu jalan-jalan di sekitar Grand Palais, saya sarankan agar kami balik melalui stesen keretapi yang lain. Bukan di stesen yang kami turun sebelum ini. Hati kecil saya tergerak begitu. Rasa tak sedap hati mungkin.

Ada pasar barangan antik di persisiran terusan




Saya terus merakam video dan gambar sepanjang perjalanan kami. Tuan suami memaksa untuk segera pulang ke hotel sedangkan memang sudah tentukan sejak awal bahawa selewat-lewatnya sebelum jam 11.45 pagi kami akan bergerak ke stesen keretapi.

Tetapi dia tetap degil. Risau semacam. Geram dibuatnya. Sampaikan saya pun kecil hati dengan dia. Jadi, saya menyuruh tuan suami jalan dahulu. Sejauh 200 meter dia meninggalkan saya di belakang. Tapi saya relaks. Sempat rakam gambar dan video lagi.


Walaupun dalam hati berkata "Degilnya suamiku. Orang cakap tak mahu dengar. Pendapat dia je yang betul". Bisik hati kecil saya.


Sampai di stesen yang tuan suami mahu kami pergi tu, ketika nak turun stesen keretapi tersebut tuan suami mencari-cari tiket kepunyaannya. Tiket itu tiada dalam simpanan dia.


Di stesen Metro ini baru sedar tiket hilang.


Saya terus senyum. Dalam hati berkata "Kan dah dapat kifarah nya. Tu la, membebel kat kita suruh simpan tiket betul-betul tapi dia sendiri cuai."

Saya tenang sahaja sambil katakan dia "Macam mana ni, duit euro yang ada dalam tangan kita dah tinggal berapa sen sahaja?"


Muka tuan suami memang cuak dan risau. Mungkin juga rasa bersalah. Buntu. 
Sebaliknya saya pula tersenyum. Kelakar pulak tengok dia kalut semacam.

Astagfirullah hal 'Azim.


Kesian pun ada. Tapi dalam hati nak gelak sebenarnya. Itulah bahagian untuk orang yang ego, degil dan keras kepala. Allah beri ujian cash. Harga kedegilan suami saya €24.80. Tiket hilang itulah harga untuk membayar kedegilan dan egonya hari itu. 



Ini tiket saya. Inilah rupa tiket yang hilang itu.




Harap dia belajar sesuatu. Saya pun sebenarnya dapat belajar sesuatu. Tapi memang ada hikmah kenapa tiket dia hilang. Boleh rujuk video sebelum ini tentang Serangan di Paris.



Wallahua'lam.
Allah lebih mengetahuiSegala-galaNya.

Rabu, 9 Mac 2016

Nota Inspirasi #39 : Suamiku Ustaz?

Assalamualaikum wbt.


Ramai teman saya secara peribadi bertanya bagaimana saya boleh berkahwin dengan suami saya. Macam mana saya boleh bertemu jodoh dengan seorang bergelar Ustaz. 
.
.
Siapa yang telah lama mengenali saya pasti tahu saya ini bagaimana orangnya. Saya bukanlah 'baik' sangat. Saya bukanlah seorang yang nampak 'alim' yang akan jadi pilihan seorang yang bergelar ustaz untuk diperisterikan. Entah. Pelik kan soal jodoh ni. Semuanya rahsia Allah.
.
.
Orang tidak tahu bahawa sebenarnya saya memang memilih dia sebagai suami saya. Ya. Kalau diceritakan bagaimana pertemuan kami memang agak lucu. Tapi itulah yang telah ditakdirkan oleh Allah.
.
.
Saya mengenali Mohd Azhar Othman sejak bangku sekolah lagi. Tetapi kami tidak pernah bertegur sapa. Tetapi selepas SPM kami bertemu kembali. Ketika itu saya sedang menyulam cinta dengan A. Saya bertemu Azhar yang 'baru' ketika kami berumur 19 tahun.
.
.
Ketika itu saya dan dia sedang mengikuti pengajian Diploma. Masih lagi saya ingat, kami sama-sama terlibat dengan kem MANTAP. Kem pemantapan motivasi untuk pelajar sekolah lama kami. Ketika itu, saya lihat Azhar bukan seperti yang saya kenali sewaktu sekolah. Dia telah berubah. Kalau dulu dia dikenali sebagai atlet, agak 'nakal' di sekolah. Tetapi pada tahun 1999 Azhar telah berubah. 
.
.
Ketika ke program itu dia membawa bersama setiausahanya yang ketika itu saya kenali sebagai Nani. Nani berjubah dan bertudung litup. Sangkaan saya ketika itu, mungkin itulah bakal isteri Azhar. Hebatnya pilihan hati Azhar. Patutlah Azhar telah berubah.
.
. 
Selepas habis program tersebut kami terus tidak pernah berhubung. Sehingga pada tahun 2011, Allah mempertemukan kami semula di bulan Ramadhan. Saya dan beberapa rakan sekolah mengadakan program berbuka puasa.
.
.
Kebanyakan rakan sekolah saya telah berkeluarga dan membawa ahli keluarga masing-masing. Selesai sahaja program berbuka puasa dan saya hendak pulang ke rumah, rakan baik saya Muriza Hazrul mengatakan bahawa Azhar akan datang. Dia juga memaklumkan bahawa Azhar masih single. (Really?? Boleh isi borang ni...)
.
.
Dipendekkan cerita, di situ lah kami bertemu dan dia secara tidak sengaja meluahkan di depan rakan-rakan kami tanpa menyedari saya ada di situ. Katanya dari sekolah lagi dia nak kawan dengan saya tapi tak berani nak tegur sebab saya ini budak pandai, mana nak kawan dengan dia. (ye ke?)
.
.
Pulang dari majlis itu, hati saya rasa sesuatu. Saya pernah tanyakan satu soalan pada sahabat saya Shadiya Abbas tentang Mr. Right. Saya tanyakan pada dia bagaimana dia benar-benar yakin bahawa suami dia sekarang itu jodoh terbaik buat dia. Katanya, bila kau jumpa jodoh tu kau rasa macam kena elektrik. Rasa tak keruan, rasa macam-macam la. Susah nak gambarkan.
.
.
Ya, kali itu saya memang ada rasa seperti kena elektrik. Mungkinkah terkena panahan cinta?? Saya masih ingat, selepas pulang dari majlis itu saya terus sujud pada Sang Pemilik Segala Cinta. Saya benar-benar menangis dan meminta pada Dia. 
.
.
Dalam sujud saya berdoa...
.
.
Ya Allah...
Seandainya telah Engkau catatkan...
Dia milikku tercipta buatku...
Satukanlah hatinya dengan hatiku...
Titipkanlah kebahagiaan antara kami...
Agar kemesraan itu abadi...
Ya Allah...
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihani...
Seringkanlah kami melayari hidup ini...
Ketepian yang sejahtera dan abadi...
Maka jodohkanlah kami...
Tetapi Ya Allah...
Seandainya telah Engkau takdirkan
Dia bukan milikku...
Bawalah dia jauh daripada pandanganku...
Luputkanlah dia dari ingatanku...
Dan periharalah aku dari kekecewaan...
Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti...
Berikanlah aku kekuatan...
Menolak bayangannya jauh ke dada langit...
Hilang bersama senja yang merah...
Agarku sentiasa tenang...
Walaupun tanpa bersama dengannya...
Ya Allah yang tercinta...
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu...
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku...
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui...
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini...
Ya Allah...
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku...
Di dunia dan akhirat...
Dengarkanlah rintihan daripada hamba-Mu yang daif ini...
Jangan Engkau biarkan aku sendirian...
Di dunia ini mahupun di akhirat...
Menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran...
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman...
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup...
Ke jalan yang Engkau redhai...
Dan kurniakanlah kepadaku keturunan yang soleh dan solehah...
Ya Allah...
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat...
Dan periharalah kami dari azab api Neraka...
Amin...amin...Ya rabbal 'aalamin...
.
.
Itu doa yang panjang. Tapi sebetulnya di dalam hati saya ketika itu, saya nyatakan pada Allah dalam sujud saya dan sedu sedan
.
.

" Ya Allah, aku tahu diriku hina, banyak berdosa. Aku tak layak untuk dapat lelaki seperti dia. Sebaik dia. Tapi Ya Allah, aku perlukan lelaki sebaik dia untuk menjadi imamku. Untuk memimpinku, membimbingku dan melengkapkan diriku. Ya Allah, aku mohon padaMu agar kau jodohan aku dengan dia. Aku benar-benar mengharapkan kasih sayangMu."
.
.
Saya kerap melakukan solat taubat, tahajjud, istikharah dan hajat. Sebelum benar-benar Allah takdirkan pertemuan kami seterusnya, saya banyak memperbaiki diri. Saya juga memutuskan hubungan dengan semua lelaki lain. (Ya ketika itu, saya ada berkawan dengan orang lain)
.
.
Entahlah..saya pun tak tahu bagaimana boleh saya jadi senekad itu untuk memiliki dia. Saya tahu dia seorang Ustaz yang mengajar di sekolah agama. Untuk mebolehkan saya meraih cinta dia, saya raih dahulu cinta Allah. Ketika itu saya sangat gemar menulis di blog. Kebanyakan entri adalah berkisar tentang CINTA.
.
.
Antara strategi saya adalah saya pernah menulis di atas sekeping kertas, dengan membayangkan bahawa saya sudah mempunyai suami. Dalam skrip SUAMI yang saya IDAMKAN itu saya nyatakan betapa saya bahagia memiliki seorang suami yang :

  1. boleh jadi Imam dan kami selalu solat berjemaah bersama.
  2. sangat sayang pada ibunya, kerana saya yakin lelaki yang sayang pada ibunya dan menjaga ibunya dengan baik mampu menyayangi saya dan menjaga sayal
  3. suka melancong, saya bahagia dia selalu membawa saya jalan-jalan
  4. memberi dorongan dan motivasi, bukan sahaja untuk saya tapi insan lain.
  5. meminati sukan hiking, kami gembira dapat hobi yang sama
  6. mudah bergaul dengan kwan-kawan saya, saya juga senang berkawan dengan kawan dia.
.
.
dan banyak lagi...


Kasut ini menjadi bukti kami memanjat gunung bersama kawan-kawan pada tahun 2011.
Kami punya hobi yang sama.


.
Tapi...
Saya tidak tulis pun yang inginkan seorang Ustaz sebagai suami saya ???


Tuan suami semasa ceramah motivasi pelajar tahun 2014

.
.

Jadi tips yang saya ingin berikan adalah...buat SKRIP SUAMI IDAMAN anda.
Bayangkan anda sedang bersama dia dan bahagia membahagiakan. Alhamdulillah saya dapat suami seperi yang saya mahu. Skrip suami idaman utu saya tulis pada tahun 2008 lagi. Selepas saya dapat berita A berkahwin dengan R.
.
.
Anda berhak memilih pasangan yang anda mahukan. Tuliskan skrip itu dan berdoalah degan setulusnya agar ia menjadi realiti. Insya Allah, doa kita akan diangkat ke langit dan diaminkan oleh para malaikat.

.
.
Saya juga pernah kongsikan di blog saya..

10 TANDA DIA JODOH KITA.
.
Terima kasih kerana sudi membaca.
Terima kasih kerana menyokong penulisan saya.
Saya sayang anda semua




Semasa kami 'duet' dalam program motivasi  kepimpinan pelajar



Nota inpirasi ini bukan sekadar ditujukan untuk anda semua, tetapi juga istimewa buat tuan suami saya Rayyan Hakimi. Dia pun tak tahu kisah benar ini. Saya bocorkan rahsia ni... (malu sebenarnya)
Tuan suami yang saya sayangi kerana Allah, terima kasih atas segala kasih sayang, kesabaran, kerajinan dan pengorbanan dan juga segala-galanya yang kita kongsikan bersama.
.
.

Mohon kalian semua doakan kami bahagia selama-lamanya sampai ke syurga.




From Liverpool with Love heart emoticon

09.03.2016






Khamis, 19 Februari 2015

Monolog #50 : Make Me Strong



I know I’m waiting
Waiting for something
Something to happen to me
But this waiting comes with
Trials and challenges
Nothing in life is free
I wish that somehow
You’d tell me out aloud
That on that day I’ll be ok
But we’ll never know cause
That’s not the way it works
Help me find my way

My Lord show me right from wrong
Give me light make me strong
I know the road is long
Make me strong
Sometimes it just gets too much
I feel that I’ve lost touch
I know the road is long
Make me strong

I know I’m waiting
Yearning for something
Something known only to me
This waiting comes with
Trials and challenges
Life is one mystery
I wish that somehow
You’d tell me out aloud
That on that day you’ll forgive me
But we’ll never know cause
That’s not the way it works

I beg for your mercy

My Lord show me right from wrong
Give me light make me strong
I know the road is long
Make me strong
Sometimes it just gets too much
I feel that I’ve lost touch
I know the road is long
Make me strong


Writer(s): Sami Yusuf



Rabu, 18 Februari 2015

Nota Inspirasi #35 : Lihat Ke Bawah






Dalam kehidupan kita di dunia, kita perlu selalu memandang ke bawah. Kita perlu melihat orang yang lebih rendah dan kurang bernasib baik berbanding kita agar kita tidak meremehkan nikmat yang Allah SWT berikan.



Sabda Rasulullah SAW:


“Lihatlah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau lihat orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.”

(Hadis Riwayat Muslim).

Hadis di atas memberi arahan kepada setiap muslim agar selalu melihat ke bawah dalam perkara dunia dan jangan melihat kepada orang yang melebihinya.


Jika kita hanya memandang ke atas, ia menyebabkan kita mudah berkeluh kesah dan merasa sempit dada bilamana kita melihat orang lain yang melebihi kita. Kita lupa untuk bersyukur dengan apa yang kita miliki.


Seterusnya kita mudah cemburu dan merasa dengki pada orang lain. Dan mungkin bertindak secara negartif dan merosakkan diri sendiri. Bukankah kita juga yang rugi?




Melihat ke bawah membantu kita untuk lebih fokus kepada makna kejayaan. Kejayaan bukan bermakna kita melebihi orang lain dari segenap aspek kehidupan ; harta, pangkat, nama, kuasa dan sebagainya.


Kejayaan yang memberi makna kepada kehidupan. Kejayaan kita mengubah diri kita kea rah yang lebih baik dan cemerlang. Kejayaan kita bermakna dan memberi makna kepada insan lain. Bukankah itu lebih bermakna?


Oleh yang demikian, orang yang berjaya tidak akan selalu mendabik dada. Orang yang berjaya selalu melihat ke bawah kerana ia menjadikan kita insan yang merendah diri dan lebih mensyukuri nikmat yang Allah SWT. Menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah matlamat yang sebenar.


#notainspirasi #DrNajah #DrSukses
#projekbuku #mudahnyauntukberjaya


sumber gambar : google.





Rabu, 11 Februari 2015

Nota Inspirasi #34 : Siapa BOSS?


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.


Kadangkala kita terlalu optimis. Kita yakin segala apa yang kita lakukan sasarannya kita yakin pasti berjaya. Kita rancang dengan strategik dan teratur. Kita sibuk dengan sasaran dan target kita.


Kadangkala kita terlalu yakin dengan kemampuan diri. Dan kadangkala, kita memandang rendah kemampuan insan lain. Sedangkan diri kita ini juga pinjaman dari Allah. Sedarkah kita?


Dalam kita merancang yang terbaik untuk diri kita, kita seringkali lupa bahawasanya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hanya Allah sebaik-baik perancang. Kita lupa untuk sandarkan segala perancangan yang kita buat dengan menyebut insha allah.


Insha Allah - Dengan izin Allah. Kita wajib percaya bahawa semua yang berlaku di dalam hidup kita adalah dengan izin Allah. Baik atau buruk hanyalah pada pandangan kita. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya.


Sebenarnya Allah sentiasa merancang yang terbaik untuk kita. Walaupun pada pandangan kita sebagai manusia sesuatu yang buruk kita namakan musibah, bala, kafarah dan sebagainya.


Siapalah kita untuk menilai dan melabel? Bukankah kita hanya HAMBA. Tetapi, kita selalu bertindak seolah-olah kita ini tuhan. Kita mudah menilai, melabel dan menghukum mahkluk Allah yang lain.


Hanya Allah al- Hasib, yang Maha Membuat Perhitungan. Siapakah kita untuk cuba menghitung dosa dan pahala orang lain? Sedangkan tindak tanduk kita juga tidak lepas daripada perhitungan Allah. Astagfirullah.


Jangan kita berdukacita bilamana perhitungan manusia terhadap kita tidak adil dan saksama.  Kita punya Allah yang Maha Adil dan Maha Menyaksikan. Tiada satu pun yang terlepas daripada pandangan Allah.


Usah gusar jika apa yang kita rancang mungkin pada mata manusia seolah ianya gagal. Tetapi, di sisi Allah ia telah BERJAYA. Allah menilai usaha kita. Bukan semata-mata hasilnya. Asalkan kita niatkan semuanya adalah ibadah kerana Allah. Insha Allah, kita raih ganjarannya. 

Ganjaran yang Allah berikan tak sama seperti ganjaran yang manusia berikan. Sebagai contoh jika kita cemerlang dalam bekerja dan Key Performance Indicator (KPI)  tercapai dan kita mendapat markah 99%. Mungkin kita akan terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan terima hadiahnya dalam bentuk RM dan Sijil. 

Tetapi, berbeza sedikit dengan APC yang Allah berikan pada kita. Mungkin ganjarannya kita tidak dapat lihat secara fizikal dan dalam bentuk wang ringgit. Ganjarannya adalah pahala. Indikatornya adalah keberkatan hidup kita. Hidup ini berkat bilamana kita merasa cukup dan selesa. 

Oleh itu, sungguhpun kita telah berusaha dan bekerja dengan cemerlang, akan tetapi tidak mendapat penilaian yang adil daripada bos kita. Janganlah kita sedih. Janganlah kita lupa. Sentiasa ingat dan percaya.  Bahawasanya hanya Allah SWT sahaja BOSS yang sebenar. Boss inilah yang Maha Berkuasa!!




Pesanan :
Biarlah kita kecil dan hina di mata manusia. Asalkan kita mulia di sisi Allah.


Wallahua'lam.


Selasa, 10 Februari 2015

Nota Inspirasi #33 : Vespa Ferrari


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Sewaktu saya kecil dahulu, hidup kami sekeluarga agak susah. Kerana kesempitan hidup saya berusaha lebih dari kawan-kawan lain yang memiliki segala yang saya tiada. Saya sering bertanya dan berfikir sendiri. Saya kerap merenung masa depan saya dan keluarga. Saya sering bertanya, bagaimana saya mampu mengubah nasib keluarga saya?


Ianya bermula dengan impian dan memasang angan-angan. Imaginasi yang tiada batasan! Imaginasi yang menerobos ke seluruh ruang galaksi. Ketika kami kecil, kami tiada kereta. Ayah hanya mempunyai sebuah Vespa. Saya masih ingat, rakan-rakan saya selalu mengejek vespa ayah saya. Mereka selalu mempersendakan kenderaan yang banyak berjasa untuk kami sekeluarga.

Saya sedih. Saya marah. Tetapi saya hanya senyum dan diam. Sememangnya keluarga saya mskin harta, tetapi ayah kerap selalu berpesan biar kita miskin harta, jangan miskin budi pekerti. Itu pesanan yang sentiasa saya semat di hati hingga ke hari ini.

Dahulu, kami hanya ada sebuah vespa buruk. Vespa buruk milik ayah yang dibeli sekitar tahun 1970an. Ketika zaman ayah bujang. Vespa itu harta ayah. Harta yang amat dia kasihi. Vespa itu sering dibasuh dan digilap. Ia dijaga rapi. Buruk hanya pada mata orang lain. Tapi di mata ayah, vespa itu sentiasa baru. Sentiasa di jaga rapi. Vespa itu mungkin lambag prestij. Vespa itu menjadi menjadi imej diri.

Kebanyakan orang mengenali ayah dengan vespa itu. Saya masih ingat lagi, vespa ayah ada kuda dihadapannya. Kuda itu diletakkan di atas penutup roda. Mungkin itulah Ferrari ayah.
Vespa Ferrari gelaran yang saya beri. Ferrari ayah ini banyak berjasanya kepada kami sekeluarga. Sehingga hari ini ayah saya masih menyimpan vespa kesayangannya.

Malah ketika saya hendak melangsungkan perkahwinan, kad undangan perkahwinan saya ada gambar vespa. Vespa Ferrari saya abadikan di hari untuk hari bahagia kami.


foto : kad undangan +  vespa ayah


Mencari inspirasi dari cerita Vespa Ferrari? Apakah yang anda dapat? Sebenarnya, apa yang saya cuba sampaikan adalah abaikan kata-kata negatif. Mereka yang mengejek dan mempersendakan kita sebenarnya tidak penting di dalam proses kejayaan kita.

Sebaliknya, ubah kata-kata negatif tersebut menjadi menjadi inspirasi dan motivasi untuk kita maju kehadapan dan bertindak dengan cara yang lebih positif. Kita perlu terus mengatur startegi untuk terus sukses.

Jangan ambil hati. Jauh sekali untuk sentiasa memikirkannya dan membuat ia tertanam di dalam minda kita.Segalanya bermula dari dalam diri. Apa yang penting adalah kita reset minda kita.

Buang jauh-jauh apayang tidak baik dan tidak berguna untuk kejayaaan kita. Jadikan segala cacian, sindiran dan upatan orang sebagai semangat untuk kita lebih berusaha. Kita tidak perlu melawan kata-kata meraka dan membalasnya kata-kata yang serupa.

Jika kita bertindak sedemikian, tiadalah bezanya kita dan mereka. Itu bukan tindakan yang bijak dan attitud orang yang berjaya. Malah, tindakan tersebut semakin menjatuhkan imej diri kita. Ia membuatkan ‘musuh-musuh’ kita suka dan bertepuk tangan.

Itu tanda kita telah tewas. Kita tewas menahan marah dan mengikut hasutan syaitan. Sudahnya, kita lebih banyak mengumpul dosa dan merugikan energi kita ada.

Jadi apa perlu buat? Maafkan mereka atas kejhilan mereka. Berterima kasih kepada mereka keran membangkitkan semangat kita untuk berjaua. Buktikan kata-kata mereka itu satu kesilapan yang besar. Kita terus reset minda dan berdoa agar Allah mengurniakan kesabaran dan ketabahan.

Fokuskan segala usaha dan energi mencari jalan menuju kejayaan. Terus maju ke hadapan tanpa menoleh lagi. Sebenarnya, kejayaan itu sudah berada di dalam genggaman.

Sekian.


#notainspirasi #projekbuku #mudahnyauntukberjaya #DrNajah #DrSukses

Isnin, 9 Februari 2015

Nota Inspirasi # 31 : Berkawan Dengan Insan Yang Berjaya


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Kajian menunjukkan bahawa semasa fasa awal kanak-kanak yang berumur antara 7-16 tahun, anak-anak kita lebih senang dipengaruhi oleh rakan-rakan berbanding ibu bapa. Anak-anak kita lebih mudah mengikut apa yang kawan mereka buat berbanding apa yang disuruh oleh ibu bapa. Oleh itu, amatlah penting bagi ibu bapa untuk mengenal kawan baik anak-anak mereka. 

Kita juga wajar memilih kawan yang baik untuk didampingi. Ini kerana, siapa kawan kita akan menentukan siapa diri kita. Kawan kita juga akan mempengaruhi diri kita. Kawan kita adalah cermin diri kita. 

Untuk mudah berjaya, kita perlukan sokongan daripada kawan-kawan yang telah pun berjaya. Belajar dari kawan kita bagaimana untuk mudah berjaya. Kita juga boleh mengambil inspirasi daripada pengalaman yang dilalui dan juga kegagalan yang pernah dihadapi oleh mereka.


Foto : Saya mengambil inspirasi dari insan yang berjaya Prof. Dr. Muhaya.


Kita boleh belajar daripada mereka bagaimana untuk bangkit dari kegagalan dan terus maju untuk berjaya. Kita tidak perlu sama-sama merasai kegagalan seperti mereka. Hanya ambil pengajaran daripada kisah kegagalan meraka. Itu cara mudah untuk berjaya.

Pilihlah kawan yang terbaik. Jika kita berkawan dengan kawan yang suka membaca dan menuntut ilmu, insha allah kita jua akan terpengaruh sama untuk membaca dan menuntut ilmu. Bertukar pandangan dan berdiskusi secara ilmiah akan lebih memajukan diri.

Sebaliknya, jika kita suka berkawan dengan rakan kita yang suka melepak di kompleks membeli belah, suka berjoli di pusat permainan video, kita juga akan terikut sama. Silap hari bulan, jika ada serbuan pihak berkuasa, kita turut tertangkap sama.

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari ada merekodkan tentang kepentingan memilih rakan.

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” (Hadis al – Bukhari)

Dalam berkawan, pilihlah yang membawa kita ke jalan syurga. Jika kawan kita seorang yang rajin ke masjid, itulah kawan yang baik yang wajar kita dampingi. 

Perhatikan akhlak kawan kita. Dengarkan perkataan yang meniti di bibirnya. Apa yang dipamerkan itulah gambaran hatinya.

Akhir kalam, untuk mudah berjaya kita perlu memilih kawan yang juga suka untuk berjaya. Bukan sekadar berjaya di dalam akademik semata-mata, tetapi yang membina jalan kejayaan menuju syurga. 

Dampingilah orang-orang yang soleh. Insha allah, kita juga akan menjadi hamba Allah yang soleh.





#notainspirasi #DrNajah #projekbuku #mudahnyauntukberjaya



LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)