Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Kajian menunjukkan bahawa semasa fasa awal kanak-kanak yang berumur antara 7-16 tahun, anak-anak kita lebih senang dipengaruhi oleh rakan-rakan berbanding ibu bapa. Anak-anak kita lebih mudah mengikut apa yang kawan mereka buat berbanding apa yang disuruh oleh ibu bapa. Oleh itu, amatlah penting bagi ibu bapa untuk mengenal kawan baik anak-anak mereka.
Kita juga wajar memilih kawan yang baik untuk didampingi. Ini kerana, siapa kawan kita akan menentukan siapa diri kita. Kawan kita juga akan mempengaruhi diri kita. Kawan kita adalah cermin diri kita.
Untuk mudah berjaya, kita perlukan sokongan daripada kawan-kawan yang telah pun berjaya. Belajar dari kawan kita bagaimana untuk mudah berjaya. Kita juga boleh mengambil inspirasi daripada pengalaman yang dilalui dan juga kegagalan yang pernah dihadapi oleh mereka.
Foto : Saya mengambil inspirasi dari insan yang berjaya Prof. Dr. Muhaya.
Kita boleh belajar daripada mereka bagaimana untuk bangkit dari kegagalan dan terus maju untuk berjaya. Kita tidak perlu sama-sama merasai kegagalan seperti mereka. Hanya ambil pengajaran daripada kisah kegagalan meraka. Itu cara mudah untuk berjaya.
Pilihlah kawan yang terbaik. Jika kita berkawan dengan kawan yang suka membaca dan menuntut ilmu, insha allah kita jua akan terpengaruh sama untuk membaca dan menuntut ilmu. Bertukar pandangan dan berdiskusi secara ilmiah akan lebih memajukan diri.
Sebaliknya, jika kita suka berkawan dengan rakan kita yang suka melepak di kompleks membeli belah, suka berjoli di pusat permainan video, kita juga akan terikut sama. Silap hari bulan, jika ada serbuan pihak berkuasa, kita turut tertangkap sama.
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari ada merekodkan tentang kepentingan memilih rakan.
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” (Hadis al – Bukhari)
Dalam berkawan, pilihlah yang membawa kita ke jalan syurga. Jika kawan kita seorang yang rajin ke masjid, itulah kawan yang baik yang wajar kita dampingi.
Perhatikan akhlak kawan kita. Dengarkan perkataan yang meniti di bibirnya. Apa yang dipamerkan itulah gambaran hatinya.
Akhir kalam, untuk mudah berjaya kita perlu memilih
kawan yang juga suka untuk berjaya. Bukan sekadar berjaya di dalam akademik
semata-mata, tetapi yang membina jalan kejayaan menuju syurga.
Dampingilah orang-orang yang soleh. Insha allah, kita juga akan menjadi hamba Allah yang soleh.
#notainspirasi #DrNajah #projekbuku #mudahnyauntukberjaya
Alhamdulillah dipertemukan dengan kawan yang berjaya seperti Najah
BalasPadam