Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Kadangkala kita terlalu optimis. Kita yakin segala apa yang kita lakukan sasarannya kita yakin pasti berjaya. Kita rancang dengan strategik dan teratur. Kita sibuk dengan sasaran dan target kita.
Kadangkala kita terlalu yakin dengan kemampuan diri. Dan kadangkala, kita memandang rendah kemampuan insan lain. Sedangkan diri kita ini juga pinjaman dari Allah. Sedarkah kita?
Dalam kita merancang yang terbaik untuk diri kita, kita seringkali lupa bahawasanya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hanya Allah sebaik-baik perancang. Kita lupa untuk sandarkan segala perancangan yang kita buat dengan menyebut insha allah.
Insha Allah - Dengan izin Allah. Kita wajib percaya bahawa semua yang berlaku di dalam hidup kita adalah dengan izin Allah. Baik atau buruk hanyalah pada pandangan kita. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya.
Sebenarnya Allah sentiasa merancang yang terbaik untuk kita. Walaupun pada pandangan kita sebagai manusia sesuatu yang buruk kita namakan musibah, bala, kafarah dan sebagainya.
Siapalah kita untuk menilai dan melabel? Bukankah kita hanya HAMBA. Tetapi, kita selalu bertindak seolah-olah kita ini tuhan. Kita mudah menilai, melabel dan menghukum mahkluk Allah yang lain.
Hanya Allah al- Hasib, yang Maha Membuat Perhitungan. Siapakah kita untuk cuba menghitung dosa dan pahala orang lain? Sedangkan tindak tanduk kita juga tidak lepas daripada perhitungan Allah. Astagfirullah.
Jangan kita berdukacita bilamana perhitungan manusia terhadap kita tidak adil dan saksama. Kita punya Allah yang Maha Adil dan Maha Menyaksikan. Tiada satu pun yang terlepas daripada pandangan Allah.
Usah gusar jika apa yang kita rancang mungkin pada mata manusia seolah ianya gagal. Tetapi, di sisi Allah ia telah BERJAYA. Allah menilai usaha kita. Bukan semata-mata hasilnya. Asalkan kita niatkan semuanya adalah ibadah kerana Allah. Insha Allah, kita raih ganjarannya.
Ganjaran yang Allah berikan tak sama seperti ganjaran yang manusia berikan. Sebagai contoh jika kita cemerlang dalam bekerja dan Key Performance Indicator (KPI) tercapai dan kita mendapat markah 99%. Mungkin kita akan terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan terima hadiahnya dalam bentuk RM dan Sijil.
Tetapi, berbeza sedikit dengan APC yang Allah berikan pada kita. Mungkin ganjarannya kita tidak dapat lihat secara fizikal dan dalam bentuk wang ringgit. Ganjarannya adalah pahala. Indikatornya adalah keberkatan hidup kita. Hidup ini berkat bilamana kita merasa cukup dan selesa.
Oleh itu, sungguhpun kita telah berusaha dan bekerja dengan cemerlang, akan tetapi tidak mendapat penilaian yang adil daripada bos kita. Janganlah kita sedih. Janganlah kita lupa. Sentiasa ingat dan percaya. Bahawasanya hanya Allah SWT sahaja BOSS yang sebenar. Boss inilah yang Maha Berkuasa!!
Pesanan :
Biarlah kita kecil dan hina di mata manusia. Asalkan kita mulia di sisi Allah.
Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan