Memaparkan catatan dengan label mudahnya untuk berjaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mudahnya untuk berjaya. Papar semua catatan

Jumaat, 11 Mac 2016

Nota Inspirasi #40 : Cinta Paling Agung

Bismillah.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.


Alangkah indahnya pagi ini.
Saat ini, ku renung langit yang biru kemerahan. Kelihatan seolah-olah malaikat sedang mengembangkan sayapnya yang sangat besar. Seolah-olah sedang menjaga sang mentari.
Indahnya lukisan di langit mu Ya Allah.

Lantas..kau ilhamkan aku
untuk ku nukilkan puisi ini..
cinta paling agung


Puisi Cinta Paling Agung


.

Ya Allah Ya Wali
Kirimkanlah para malaikat 
Untuk selalu menjaga dan melindungi

Ya Allah Ya Nur
Pemilik segala cahaya 
Sinarlah jiwa dan sanubari
Dengan Nur cahayaMu
Seindah sinaran mentari pagi

Ya Allah Ya Quddus
Hanya dikau yang Maha Suci
Sucikanlah hati-hati kami
Putihkan ia menjadi seperti awan 
Yang sangat indah di langit biru

Ya Allah Ya Fattah
Engkaulah yang Maha Pembuka
Bukakanlah hati-hati kami 
Biar mudah menerima hidayahMu
Tunduk dan sujud hanya Padamu

Ya Allah Ya Wadud
Hanya kau yang Maha Mencintai 
Juga pemilik segala cinta
Titipkan sepenuh cinta di hati-hati kami 
Agar kami benar-benar yakin dan percaya
Engkaulah cinta yang paling agung 
Dan abadi selamanya... 



From Liverpool with Love 💞
11.03.2016
6.43 pagi
.

Ahad, 6 Mac 2016

Nota Inspirasi #37 | SUPERHERO

\
Bismillah. Nabi Muhammad SAW. 


Siapakah Superhero anda? Kalau ditanyakan soalan ini pada anak kecil, mungkin jawapan mereka adalah Ultraman, Superman, Batman dan sebagainya. Mengapa terjadi begitu?

.

Ini kerana mereka didedahkan dengan superhero yang ada di dalam filem kegemaran mereka yang ditonton setiap hari menerusi skrin TV. Di situlah mereka mengenali karekter filem sehingga menjadi ikutan mereka. Hinggakan alat permainan mereka pun berbentuk imej superhero. Superhero menjadi idola dan kesukaan mereka hinggakan ibubapa pun terpaksa beralah membelikan permainan yang mahal untuk anak-anak mereka. Malah, ibubapa juga terpaksa menyerahkan "remote control TV" ke tangan anak mereka.


Jadi, siapa sebenarnya yang mendidik anak-anak kita? kita sebagai ibubapanya atau Supehero mereka??? 

.

Sama-sama kita bayangkan, apakah yang akan terjadi jika anak-anak kita tidak terdedah langsung kepada TV??
.

Nampak agak mustahil untuk anak-anak di zaman ICT yang serba canggih untuk tidak terdedah langsung. Tapi boleh sebenarnya. Kunci kawalan pada tangan kita. Kita jangan mudah mengalah kerana desakan anak-anak.

.
Sekiranya, kita tidak mendedahkan anak-anak mereka dengan pengaruh TV, telefon bimbit atau apa-apa gajet, agaknya siapakah Superhero mereka?





.
.

Superhero play is a special type of fantasy play that refers to “the active physical play of children pretending to be media characters
imbued with extraordinary abilities, including superhuman strength or the ability to transform themselves into superhuman entities” (Boyd, 1997, p. 23).

Some researchers and practitioners warn about the violent and
aggressive nature of superhero play (Carlsson-Paige & Levin, 1990; Kostelnik, Whiren, & Stein, 1986; Kuykendall, 1995)
.
.

Adakah superhero memberi kesan positif / negatif kepada pembangunan jiwa anak-anak kita??

.
.

Saya percaya dalam hidup setiap insan, mereka mempunyai idola atau role model.
Sengaja saya gunakan istilah Superhero kerana seperti di dalam animasi filem, Superhero digambarkan sebagai penyelamat dunia.

Superhero sangat kuat. Mempunyai kekuatan luar biasa melebih manusia normal. Superhero mempunyai senjata rahsianya yang membolehkan dia bertempur dan melawan segala jenis musuh.

Superhero sangat hebat. Tapi jangan kita samakan dengan pencipta. Pencipta seluruh alam jauh lebih hebat. Tidak boleh disamakan langsung dengan ciptaanNya. Apatah lagi ciptaan atau rekaan kita.

Secara peribadi, saya juga mempunyai Superhero saya. Sebelum saya mengenal Superhero lain yang ada di kaca TV, saya hanya punya ibu, ayah dan nenek saya.

Sejak kecil saya memang tinggal bersama arwah nenek saya. Rumah kami dengan nenek hanya sepelaung sahaja. Ayah bina rumah untuk ibunya (nenek) di belakang rumah kami. Sebelum itu, rumah nenek agak jauh sedikit dari rumah kami. Jadi saya diamanahkan sejak kecil untuk menjaga nenek. Ops...nampak macam nenek yang jaga saya. Sebab kan masa tu saya kecil lagi.

Nenek saya bernama Badiah binti Kamarjo. Seorang wanita keturunan Jawa. Nenek seorang ibu tunggal. Suaminya (datuk) meninggal dunia sewaktu nenek mengandungkan makcik saya. Bayangkan, seorang ibu beranak 6 dengan bayi dalam kandungan yang kematian suami. Tanpa mempunyai pendapatan tetap, datuk saya seorang pemanjat pokok kelapa. Dikhabarkan datuk saya jatuh dari pokok kelapa, kemudian sakit hingga meninggal dunia.

.
Jika kita selami hati seorang isteri yang kehilangan tempat bergantung dan berlindung secara tiba-tiba. Di zaman Jepun menjajah Tanah Melayu, memang amat susah. Nenek sangat setia. Beliau gigih membesarkan anak-anaknya seorang diri. Di saat itu juga, ayah yang ketika itu berusia 9 tahun tidak dapat meneruskan persekolahan. Mengambil tanggungjawab mencari rezeki untuk adik-adik.
.

Dihina, dikeji menjadi asam garam mereka anak beranak. Janda muda beranak 6, tentulah sentiasa jadi buah mulut orang kampung. Hidup serba kekurangan. Entah cukup makan pakai atau tidak, hanya mereka yang tahu. Tapi saya dapat bayangkan keadaan mereka yang sangat susah.

.
Nenek mencari daun nipah untuk dibuat atap. Saya masih ingat. Saya pernah meredah hutan belukar dan paya bersama nenek untuk mencari daun nipah. Bukan senang. Dengan susuk tubuh yang kecil dan rendah, itu bukan halangan.

.
Nenek mempunyai kekuatan luar biasa. Beliau boleh memotong pelepah nipah dan mengumpulkannya seorang diri. Kemudian memikulnya balik ke rumah sebelum dianyam menjadi atap.

.

Hebat kan seorang wanita. Tanpa seorang lelaki di sisinya, dia mampu buat kerja lelaki. Malah mungkin lebih hebat dari itu.

.
Nanti saya sambung lagi.. Nak kesat airmata dahulu. Rindunya pada arwah nenek.

Ya Allah. Limpahkanlah rahmat untuk arwah nenek. Moga dia tenang di alam barzakh sana. Nenek..nanti kita jumpa lagi di syurga ye. Rindu nak peluk nenek. 
😍

Rujukan :
Superhero Toys and Boys' Physically Active and Imaginative Play (Amy Parsons & Nina Howe, 2009)

Rabu, 18 Februari 2015

Nota Inspirasi #35 : Lihat Ke Bawah






Dalam kehidupan kita di dunia, kita perlu selalu memandang ke bawah. Kita perlu melihat orang yang lebih rendah dan kurang bernasib baik berbanding kita agar kita tidak meremehkan nikmat yang Allah SWT berikan.



Sabda Rasulullah SAW:


“Lihatlah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau lihat orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.”

(Hadis Riwayat Muslim).

Hadis di atas memberi arahan kepada setiap muslim agar selalu melihat ke bawah dalam perkara dunia dan jangan melihat kepada orang yang melebihinya.


Jika kita hanya memandang ke atas, ia menyebabkan kita mudah berkeluh kesah dan merasa sempit dada bilamana kita melihat orang lain yang melebihi kita. Kita lupa untuk bersyukur dengan apa yang kita miliki.


Seterusnya kita mudah cemburu dan merasa dengki pada orang lain. Dan mungkin bertindak secara negartif dan merosakkan diri sendiri. Bukankah kita juga yang rugi?




Melihat ke bawah membantu kita untuk lebih fokus kepada makna kejayaan. Kejayaan bukan bermakna kita melebihi orang lain dari segenap aspek kehidupan ; harta, pangkat, nama, kuasa dan sebagainya.


Kejayaan yang memberi makna kepada kehidupan. Kejayaan kita mengubah diri kita kea rah yang lebih baik dan cemerlang. Kejayaan kita bermakna dan memberi makna kepada insan lain. Bukankah itu lebih bermakna?


Oleh yang demikian, orang yang berjaya tidak akan selalu mendabik dada. Orang yang berjaya selalu melihat ke bawah kerana ia menjadikan kita insan yang merendah diri dan lebih mensyukuri nikmat yang Allah SWT. Menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah matlamat yang sebenar.


#notainspirasi #DrNajah #DrSukses
#projekbuku #mudahnyauntukberjaya


sumber gambar : google.





Rabu, 11 Februari 2015

Nota Inspirasi #34 : Siapa BOSS?


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.


Kadangkala kita terlalu optimis. Kita yakin segala apa yang kita lakukan sasarannya kita yakin pasti berjaya. Kita rancang dengan strategik dan teratur. Kita sibuk dengan sasaran dan target kita.


Kadangkala kita terlalu yakin dengan kemampuan diri. Dan kadangkala, kita memandang rendah kemampuan insan lain. Sedangkan diri kita ini juga pinjaman dari Allah. Sedarkah kita?


Dalam kita merancang yang terbaik untuk diri kita, kita seringkali lupa bahawasanya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Hanya Allah sebaik-baik perancang. Kita lupa untuk sandarkan segala perancangan yang kita buat dengan menyebut insha allah.


Insha Allah - Dengan izin Allah. Kita wajib percaya bahawa semua yang berlaku di dalam hidup kita adalah dengan izin Allah. Baik atau buruk hanyalah pada pandangan kita. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya.


Sebenarnya Allah sentiasa merancang yang terbaik untuk kita. Walaupun pada pandangan kita sebagai manusia sesuatu yang buruk kita namakan musibah, bala, kafarah dan sebagainya.


Siapalah kita untuk menilai dan melabel? Bukankah kita hanya HAMBA. Tetapi, kita selalu bertindak seolah-olah kita ini tuhan. Kita mudah menilai, melabel dan menghukum mahkluk Allah yang lain.


Hanya Allah al- Hasib, yang Maha Membuat Perhitungan. Siapakah kita untuk cuba menghitung dosa dan pahala orang lain? Sedangkan tindak tanduk kita juga tidak lepas daripada perhitungan Allah. Astagfirullah.


Jangan kita berdukacita bilamana perhitungan manusia terhadap kita tidak adil dan saksama.  Kita punya Allah yang Maha Adil dan Maha Menyaksikan. Tiada satu pun yang terlepas daripada pandangan Allah.


Usah gusar jika apa yang kita rancang mungkin pada mata manusia seolah ianya gagal. Tetapi, di sisi Allah ia telah BERJAYA. Allah menilai usaha kita. Bukan semata-mata hasilnya. Asalkan kita niatkan semuanya adalah ibadah kerana Allah. Insha Allah, kita raih ganjarannya. 

Ganjaran yang Allah berikan tak sama seperti ganjaran yang manusia berikan. Sebagai contoh jika kita cemerlang dalam bekerja dan Key Performance Indicator (KPI)  tercapai dan kita mendapat markah 99%. Mungkin kita akan terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan terima hadiahnya dalam bentuk RM dan Sijil. 

Tetapi, berbeza sedikit dengan APC yang Allah berikan pada kita. Mungkin ganjarannya kita tidak dapat lihat secara fizikal dan dalam bentuk wang ringgit. Ganjarannya adalah pahala. Indikatornya adalah keberkatan hidup kita. Hidup ini berkat bilamana kita merasa cukup dan selesa. 

Oleh itu, sungguhpun kita telah berusaha dan bekerja dengan cemerlang, akan tetapi tidak mendapat penilaian yang adil daripada bos kita. Janganlah kita sedih. Janganlah kita lupa. Sentiasa ingat dan percaya.  Bahawasanya hanya Allah SWT sahaja BOSS yang sebenar. Boss inilah yang Maha Berkuasa!!




Pesanan :
Biarlah kita kecil dan hina di mata manusia. Asalkan kita mulia di sisi Allah.


Wallahua'lam.


Isnin, 9 Februari 2015

Nota Inspirasi #32 : Anak Orang Miskin





Isi hati seorang anak kecil...




"Alangkah seronoknya mereka. Betapa gembiranya mereka. Segalanya serba baharu. Beg, kasut, baju dan semuanya baharu. Sedangkan saya? “ bisik hati sambil merenung diri sendiri.

“Beg ini pun dah 3 tahun tak berganti. Baju sekolah ini dah dipakai pagi tadi. Hanya ada sepasang. Yang dipakai pagi dan petang. Itupun dah 2 tahun tak berganti. Dahulunya putih kini kian kelabu. Yang koyak sudah dijahit dan ditampal. Memang sudah agak lusuh. Tapi masih muat dan selesa dipakai. Baju kawan warnanya putih dan bergosok. Cantik dan bersih. Baju saya pula? Entahlah”


“Putihnya kasut kawan-kawan. Saya renung kasut yang saya pakai dah lusuh sangat. Dahulu longgar kini dah makin ketat. Dah berjahit 3-4 kali pun. Teringat gigihnya ayah jahit kasut sekolah saya.


Foto : Kasut sekolah. Lusuh lagi kasut sekolah saya yang koyak dan berjahit.


Saya faham, ayah tak mampu nak belikan yang baru. Selagi boleh dibaiki dan muat lagi, saya pakai juga. Tak sanggup nak minta ayah ganti yang baru sebab saya kasihan melihat ayah bekerja siang dan malam. “

Mengenagkan kisah waktu kecil, hati saya menjadi sayu. Mutiara jernih menitis ke pipi. Itulah kanta mata saya sewaktu kecil. Kanta seorang anak keluarga yang miskin.

Walaupun bersekolah di sekolah yang sama, duduk di atas kerusi yang sama, diajar oleh guru yang sama, tetapi latar belakang yang membezakan kita. 

Anak si miskin yang tidak punya wang saku.
Teringat kembali...

Sewaktu rakan-rakan yang lain berpusu-pusu menuju kantin sekolah, anak kecil ini menuju ke belakang kantin. Duduk termenung. Sebolehnya tidak mahu dilihat oleh rakannya dia bersendirian. 

Kadang kala kerana lapar dan haus, dia ke pili paip di sebelah tandas. Dapat minum air paip sudah cukup nikmat. Dapat menghilangkan dahaga dan mengalas perut yang berkeroncong.

Kemiskinan tidak sedikit pun mematahkan semangatnya. Kepayahan dan keperitan menjadikan dia seorang yang cekal hati. Tekadnya dalam diri, dia ingin berjaya. Lebih berjaya dari rakan-rakan sebaya.


Walaupun dalam serba kekurangan, setiap kali peperiksaan, dia kan mendapat keputusan yang memberangsangkan. Walaupun belajar daam keadaan yang kurang selesa, tidak dapat mengikuti kelas tuisyen dan bantuan buku rujukan seperti rakannya yang lain, dia tetap berusaha menjadi bijaksana.


Tempat yang selalu dituju adalah perpustakaan. Waktu rehat itulah tempat yang sentiasa dituju selain tempat pili paip di tepi tandas. Kalau kebetulan ibu dapat meyiapkan bekal makanan, dia akan menuju ke belakang kantin. 

Pohon besar belakang kantin menjadi teman karibnya. Pohon besar itu juga menyaksikan dia menikmati bekal jejemput kelapa dengan penuh nikmat dan syukur.


Bagaimana pula kita? 

Anak kecil yang miskin dan serba kekurangan itu tidak pernah mengeluh dan merungut. 
Setiap rezeki yang diperolehi amat dia syukuri.

Tidak pernah dia persoalkan pada ayah.
Mengapa mereka sekeluarga miskin?
 Tidak pernah dipersoalkan pada Allah.
Mengapa dia dilahirkan dalam keluarga yang susah? 
Tidak pernah sekalipun dia mengeluh jauh sekali merungut.



Untuk menjadi insan yang berjaya, kita perlu kuat. Kita perlu sentiasa tekadkan azam tanpa banyak persoalan. Tanpa menyalahkan takdir dan ketentuan dari Tuhan. Tiada siapa meminta dilahirkan dalam keluarga yang miskin dan susah. Tiada siapa dapat memilih siapa ibu dan ayahnya sebelum dia lahir ke dunia.


Tetapi mengapa bila kita semakin dewasa, banyak pula yang kita selalu persoalkan? Mengapa banyak sungguh rungutan dan keluhan? Mengapa tidak kita usahakan dengan segala kudrat dan tenaga. Mengapa tidak kita fokuskan segala energi untuk bertindak menuju kejayaan?

Dahulu, anak kecil itu tidak pernah persoalkan apa-apa. Mungkin kerana dia belum mampu berfikir jauh. Mungkin juga pergaulannya yang terbatas, maka dunianya sangat kecil. Dunia yang dilihat dari kanta matanya berbeza dengan orang lain.

Kanta mata kita sekarang pula bagaimana?Jika ingin berjaya, kita perlu mengubah kanta mata kita.
Melihat dari perspektif yang berbeza dan jarak penglihatan itu lebih jauh daripada apa yang ada di depan mata.

Bagaimana masa depan kita nanti?
 10 tahun lagi kita dimana?
 20 tahun lagi kita siapa? 
Adakah masih di kedudukan yang serupa?



Allah SWT ada berfirman, maksudnya :
“Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka.” (Surah al-Ra'ad : 11)

Ayuh! Apa kita tunggu lagi. Mari gandakan usaha dan tetapkan strategi untuk berjaya. Kerahkan segala kudrat dan energi yang ada membina jalan kejayaan yang terbentang luas, seluas alam semesta.



Foto : ihsan Google.

Nota Inspirasi # 31 : Berkawan Dengan Insan Yang Berjaya


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Kajian menunjukkan bahawa semasa fasa awal kanak-kanak yang berumur antara 7-16 tahun, anak-anak kita lebih senang dipengaruhi oleh rakan-rakan berbanding ibu bapa. Anak-anak kita lebih mudah mengikut apa yang kawan mereka buat berbanding apa yang disuruh oleh ibu bapa. Oleh itu, amatlah penting bagi ibu bapa untuk mengenal kawan baik anak-anak mereka. 

Kita juga wajar memilih kawan yang baik untuk didampingi. Ini kerana, siapa kawan kita akan menentukan siapa diri kita. Kawan kita juga akan mempengaruhi diri kita. Kawan kita adalah cermin diri kita. 

Untuk mudah berjaya, kita perlukan sokongan daripada kawan-kawan yang telah pun berjaya. Belajar dari kawan kita bagaimana untuk mudah berjaya. Kita juga boleh mengambil inspirasi daripada pengalaman yang dilalui dan juga kegagalan yang pernah dihadapi oleh mereka.


Foto : Saya mengambil inspirasi dari insan yang berjaya Prof. Dr. Muhaya.


Kita boleh belajar daripada mereka bagaimana untuk bangkit dari kegagalan dan terus maju untuk berjaya. Kita tidak perlu sama-sama merasai kegagalan seperti mereka. Hanya ambil pengajaran daripada kisah kegagalan meraka. Itu cara mudah untuk berjaya.

Pilihlah kawan yang terbaik. Jika kita berkawan dengan kawan yang suka membaca dan menuntut ilmu, insha allah kita jua akan terpengaruh sama untuk membaca dan menuntut ilmu. Bertukar pandangan dan berdiskusi secara ilmiah akan lebih memajukan diri.

Sebaliknya, jika kita suka berkawan dengan rakan kita yang suka melepak di kompleks membeli belah, suka berjoli di pusat permainan video, kita juga akan terikut sama. Silap hari bulan, jika ada serbuan pihak berkuasa, kita turut tertangkap sama.

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari ada merekodkan tentang kepentingan memilih rakan.

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” (Hadis al – Bukhari)

Dalam berkawan, pilihlah yang membawa kita ke jalan syurga. Jika kawan kita seorang yang rajin ke masjid, itulah kawan yang baik yang wajar kita dampingi. 

Perhatikan akhlak kawan kita. Dengarkan perkataan yang meniti di bibirnya. Apa yang dipamerkan itulah gambaran hatinya.

Akhir kalam, untuk mudah berjaya kita perlu memilih kawan yang juga suka untuk berjaya. Bukan sekadar berjaya di dalam akademik semata-mata, tetapi yang membina jalan kejayaan menuju syurga. 

Dampingilah orang-orang yang soleh. Insha allah, kita juga akan menjadi hamba Allah yang soleh.





#notainspirasi #DrNajah #projekbuku #mudahnyauntukberjaya



LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)