Memaparkan catatan dengan label success. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label success. Papar semua catatan

Ahad, 17 April 2016

NOTA INSPIRASI #53 : BEG SEKOLAH BERJENAMA





Ramai kawan-kawan di Facebook kongsi post berkenaan beg mahal percuma. Siapakah agaknya yang bertuah mendapatnya secara percuma?

.

Adik saya juga turut serta. Saya? Pendirian saya, jenama bukan ukuran. Beg plastik pun saya pakai. Tak menjadi hal. Kadangkala tuan suami yang lebih teliti dan cerewet berkenaan penampilan. Mungkin kerana beliau tidak mahu 'jatuh saham' kerana membiarkan saya memakai apa sahaja yang saya suka?

.

Memang benar isteri adalah cerminan suami. Begitu juga suami adalah cermin isteri. Anak-anak adalah cermin ibu bapanya. Diri saya adalah 'produk' hasil didikan ibu bapa saya.
.

Dahulu memang kami miskin. Kami tak mampu membeli beg sekolah yang mahal. Saya masih ingat lagi. Ketika itu saya darjah 1. Ibu saya jahitkan beg sekolah untuk saya daripada kain perca.  Beg saya berwarna putih asalnya. Lama kelamaan warnanya bertukar kekuningan dan kelabu.

Beginilah rupa beg seolah yang ibu saya jahit.


.

Saya tak rasa malu. Mungkin memang saya tak kisah pun kerana tak pernah diajar tentang jenama. Asalkan boleh dipakai itu sudah cukup baik. Ibu dan ayah saya sangat kreatif. Apa sahaja yang ada di sekeliling kami boleh dijadikan produk berguna. Mungkin dari situ terbit minat saya menghasilkan inovasi. Sehingga kini.

.

Masih saya ingat, beg sekolah pertama yang ayah beli berwarna biru. Sangat cantik. Saya pakai sehingga darjah 5. Itulah hadiah kerana saya dapat No. 3 dalam peperiksaan. Saya sangat sayang beg itu.

.

Kini, bila sudah punya wang sendiri saya 'reward' diri dengan membeli apa yang saya impikan. Masih saya ingat reaksi ibu saya bila saya membawa pulang beg kertas 'hasil tangkapan' di kompleks membeli belah. Saya memang suka membeli beg tangan. Harganya tidak terlalu mahal. Kerana saya beli ketika ada diskaun 70%.

.

Panjang bebelan ibu saya.
"Buat apalah beli hand bag mahal-mahal."
"Kalau simpan duit tu kan bagus, asyik shopping je."
"Beg kakak kan dah banyak, buat apa membazir"
"Beg yang ada pun kakak jarang pakai. Ini beli yang baru lagi"
.
.
.
Banyak lagi. Tak mampu tulis kesemuanya. Tapi itulah ibu saya. Seorang yang sangat berjimat cermat. Sangat sayang duit, tak mahu membazir katanya. Ibu saya tak pernah beli beg tangan. Beg tangan pertama yang dia ada pun saya yang belikan. Entah kenapa, saya suka hadiahkan beg padanya. Mungkin sebab dahulu, ibu saya bersusah payah menjahit beg sekolah saya. Beg kesukaan ibu saya yang selalu dipakai ke majlis kenduri perkahwinan tiada jenama. Beg hasil buatan Thailand yang dihasilkan daripada tempurung kelapa yang saya beli ketika bercuti di Krabi.

.

Entah kenapa beliau suka sangat beg itu. Tapi saya tidak nafikan memang beg itu unik. Kerana itu saya suka dan saya beli. Sebenarnya untuk diri saya. Tetapi kerana ibu saya suka, saya hadiahkan terus padanya.

.

Beg sekolah saya sekarang agak berjenama. Saya beli dengan harga lebih murah dari pasaran. Ianya bernilai bukan kerana jenama. Tapi kerana ciri-ciri yang ada dan kegunaannya. Ia berharga pada saya kerana nilai ilmu yang dibawa olehnya. Apa yang ada di dalam beg itu sebenarnya lebih bernilai.

.



Beg sekolah berjenama Burberry


Ya. Anak orang miskin sekarang sudah pandai memilih. Tapi saya masih seperti dahulu. Tak kisah tentang jenama. Tidak taksub pada jenama. Tidak hairan melihat orang lain memakai jenama. Kerana saya ada jenama diri saya. Yang tiada pada orang lain.
.

Oh ya, bila ibu saya memasang 'radio' bebelannya ayah akan membela saya.
"Biarlah dia nak beli apa yang dia suka."
"Dahulu masa dia kecil, kita tak mampu belikan"
"Dahulu, masa sekolah dia pakai beg kain. Dia tak merungut pun"
"Sekarang biarlah dia beli impian dia"
.
.
.

Ayah memang selalu membela saya. Orang kata saya anak kesayangan ayah. Tapi saya tidak rasa begitu. Tetapi saya rasa ayah banyak menyokong potensi saya. Walaupun, orang lain kata mustahil ayahlah orang yang akan sentiasa berikan kata-kata semangat. Ayah tak pernah jatuhkan motivasi diri saya. Bila saya utarakan hasrta untuk berniaga, ayah akan cuba bantu saya. Setidak-tidaknya, ayah akan teman saya bertemu.

.



Wallahua'lam.
Hanya Allah yang lebih mengetahui segala-galaNya.

Pemilik jenama

Isnin, 9 Februari 2015

Nota Inspirasi #32 : Anak Orang Miskin





Isi hati seorang anak kecil...




"Alangkah seronoknya mereka. Betapa gembiranya mereka. Segalanya serba baharu. Beg, kasut, baju dan semuanya baharu. Sedangkan saya? “ bisik hati sambil merenung diri sendiri.

“Beg ini pun dah 3 tahun tak berganti. Baju sekolah ini dah dipakai pagi tadi. Hanya ada sepasang. Yang dipakai pagi dan petang. Itupun dah 2 tahun tak berganti. Dahulunya putih kini kian kelabu. Yang koyak sudah dijahit dan ditampal. Memang sudah agak lusuh. Tapi masih muat dan selesa dipakai. Baju kawan warnanya putih dan bergosok. Cantik dan bersih. Baju saya pula? Entahlah”


“Putihnya kasut kawan-kawan. Saya renung kasut yang saya pakai dah lusuh sangat. Dahulu longgar kini dah makin ketat. Dah berjahit 3-4 kali pun. Teringat gigihnya ayah jahit kasut sekolah saya.


Foto : Kasut sekolah. Lusuh lagi kasut sekolah saya yang koyak dan berjahit.


Saya faham, ayah tak mampu nak belikan yang baru. Selagi boleh dibaiki dan muat lagi, saya pakai juga. Tak sanggup nak minta ayah ganti yang baru sebab saya kasihan melihat ayah bekerja siang dan malam. “

Mengenagkan kisah waktu kecil, hati saya menjadi sayu. Mutiara jernih menitis ke pipi. Itulah kanta mata saya sewaktu kecil. Kanta seorang anak keluarga yang miskin.

Walaupun bersekolah di sekolah yang sama, duduk di atas kerusi yang sama, diajar oleh guru yang sama, tetapi latar belakang yang membezakan kita. 

Anak si miskin yang tidak punya wang saku.
Teringat kembali...

Sewaktu rakan-rakan yang lain berpusu-pusu menuju kantin sekolah, anak kecil ini menuju ke belakang kantin. Duduk termenung. Sebolehnya tidak mahu dilihat oleh rakannya dia bersendirian. 

Kadang kala kerana lapar dan haus, dia ke pili paip di sebelah tandas. Dapat minum air paip sudah cukup nikmat. Dapat menghilangkan dahaga dan mengalas perut yang berkeroncong.

Kemiskinan tidak sedikit pun mematahkan semangatnya. Kepayahan dan keperitan menjadikan dia seorang yang cekal hati. Tekadnya dalam diri, dia ingin berjaya. Lebih berjaya dari rakan-rakan sebaya.


Walaupun dalam serba kekurangan, setiap kali peperiksaan, dia kan mendapat keputusan yang memberangsangkan. Walaupun belajar daam keadaan yang kurang selesa, tidak dapat mengikuti kelas tuisyen dan bantuan buku rujukan seperti rakannya yang lain, dia tetap berusaha menjadi bijaksana.


Tempat yang selalu dituju adalah perpustakaan. Waktu rehat itulah tempat yang sentiasa dituju selain tempat pili paip di tepi tandas. Kalau kebetulan ibu dapat meyiapkan bekal makanan, dia akan menuju ke belakang kantin. 

Pohon besar belakang kantin menjadi teman karibnya. Pohon besar itu juga menyaksikan dia menikmati bekal jejemput kelapa dengan penuh nikmat dan syukur.


Bagaimana pula kita? 

Anak kecil yang miskin dan serba kekurangan itu tidak pernah mengeluh dan merungut. 
Setiap rezeki yang diperolehi amat dia syukuri.

Tidak pernah dia persoalkan pada ayah.
Mengapa mereka sekeluarga miskin?
 Tidak pernah dipersoalkan pada Allah.
Mengapa dia dilahirkan dalam keluarga yang susah? 
Tidak pernah sekalipun dia mengeluh jauh sekali merungut.



Untuk menjadi insan yang berjaya, kita perlu kuat. Kita perlu sentiasa tekadkan azam tanpa banyak persoalan. Tanpa menyalahkan takdir dan ketentuan dari Tuhan. Tiada siapa meminta dilahirkan dalam keluarga yang miskin dan susah. Tiada siapa dapat memilih siapa ibu dan ayahnya sebelum dia lahir ke dunia.


Tetapi mengapa bila kita semakin dewasa, banyak pula yang kita selalu persoalkan? Mengapa banyak sungguh rungutan dan keluhan? Mengapa tidak kita usahakan dengan segala kudrat dan tenaga. Mengapa tidak kita fokuskan segala energi untuk bertindak menuju kejayaan?

Dahulu, anak kecil itu tidak pernah persoalkan apa-apa. Mungkin kerana dia belum mampu berfikir jauh. Mungkin juga pergaulannya yang terbatas, maka dunianya sangat kecil. Dunia yang dilihat dari kanta matanya berbeza dengan orang lain.

Kanta mata kita sekarang pula bagaimana?Jika ingin berjaya, kita perlu mengubah kanta mata kita.
Melihat dari perspektif yang berbeza dan jarak penglihatan itu lebih jauh daripada apa yang ada di depan mata.

Bagaimana masa depan kita nanti?
 10 tahun lagi kita dimana?
 20 tahun lagi kita siapa? 
Adakah masih di kedudukan yang serupa?



Allah SWT ada berfirman, maksudnya :
“Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka.” (Surah al-Ra'ad : 11)

Ayuh! Apa kita tunggu lagi. Mari gandakan usaha dan tetapkan strategi untuk berjaya. Kerahkan segala kudrat dan energi yang ada membina jalan kejayaan yang terbentang luas, seluas alam semesta.



Foto : ihsan Google.

LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)