Isnin, 9 Februari 2015

Nota Inspirasi #32 : Anak Orang Miskin





Isi hati seorang anak kecil...




"Alangkah seronoknya mereka. Betapa gembiranya mereka. Segalanya serba baharu. Beg, kasut, baju dan semuanya baharu. Sedangkan saya? “ bisik hati sambil merenung diri sendiri.

“Beg ini pun dah 3 tahun tak berganti. Baju sekolah ini dah dipakai pagi tadi. Hanya ada sepasang. Yang dipakai pagi dan petang. Itupun dah 2 tahun tak berganti. Dahulunya putih kini kian kelabu. Yang koyak sudah dijahit dan ditampal. Memang sudah agak lusuh. Tapi masih muat dan selesa dipakai. Baju kawan warnanya putih dan bergosok. Cantik dan bersih. Baju saya pula? Entahlah”


“Putihnya kasut kawan-kawan. Saya renung kasut yang saya pakai dah lusuh sangat. Dahulu longgar kini dah makin ketat. Dah berjahit 3-4 kali pun. Teringat gigihnya ayah jahit kasut sekolah saya.


Foto : Kasut sekolah. Lusuh lagi kasut sekolah saya yang koyak dan berjahit.


Saya faham, ayah tak mampu nak belikan yang baru. Selagi boleh dibaiki dan muat lagi, saya pakai juga. Tak sanggup nak minta ayah ganti yang baru sebab saya kasihan melihat ayah bekerja siang dan malam. “

Mengenagkan kisah waktu kecil, hati saya menjadi sayu. Mutiara jernih menitis ke pipi. Itulah kanta mata saya sewaktu kecil. Kanta seorang anak keluarga yang miskin.

Walaupun bersekolah di sekolah yang sama, duduk di atas kerusi yang sama, diajar oleh guru yang sama, tetapi latar belakang yang membezakan kita. 

Anak si miskin yang tidak punya wang saku.
Teringat kembali...

Sewaktu rakan-rakan yang lain berpusu-pusu menuju kantin sekolah, anak kecil ini menuju ke belakang kantin. Duduk termenung. Sebolehnya tidak mahu dilihat oleh rakannya dia bersendirian. 

Kadang kala kerana lapar dan haus, dia ke pili paip di sebelah tandas. Dapat minum air paip sudah cukup nikmat. Dapat menghilangkan dahaga dan mengalas perut yang berkeroncong.

Kemiskinan tidak sedikit pun mematahkan semangatnya. Kepayahan dan keperitan menjadikan dia seorang yang cekal hati. Tekadnya dalam diri, dia ingin berjaya. Lebih berjaya dari rakan-rakan sebaya.


Walaupun dalam serba kekurangan, setiap kali peperiksaan, dia kan mendapat keputusan yang memberangsangkan. Walaupun belajar daam keadaan yang kurang selesa, tidak dapat mengikuti kelas tuisyen dan bantuan buku rujukan seperti rakannya yang lain, dia tetap berusaha menjadi bijaksana.


Tempat yang selalu dituju adalah perpustakaan. Waktu rehat itulah tempat yang sentiasa dituju selain tempat pili paip di tepi tandas. Kalau kebetulan ibu dapat meyiapkan bekal makanan, dia akan menuju ke belakang kantin. 

Pohon besar belakang kantin menjadi teman karibnya. Pohon besar itu juga menyaksikan dia menikmati bekal jejemput kelapa dengan penuh nikmat dan syukur.


Bagaimana pula kita? 

Anak kecil yang miskin dan serba kekurangan itu tidak pernah mengeluh dan merungut. 
Setiap rezeki yang diperolehi amat dia syukuri.

Tidak pernah dia persoalkan pada ayah.
Mengapa mereka sekeluarga miskin?
 Tidak pernah dipersoalkan pada Allah.
Mengapa dia dilahirkan dalam keluarga yang susah? 
Tidak pernah sekalipun dia mengeluh jauh sekali merungut.



Untuk menjadi insan yang berjaya, kita perlu kuat. Kita perlu sentiasa tekadkan azam tanpa banyak persoalan. Tanpa menyalahkan takdir dan ketentuan dari Tuhan. Tiada siapa meminta dilahirkan dalam keluarga yang miskin dan susah. Tiada siapa dapat memilih siapa ibu dan ayahnya sebelum dia lahir ke dunia.


Tetapi mengapa bila kita semakin dewasa, banyak pula yang kita selalu persoalkan? Mengapa banyak sungguh rungutan dan keluhan? Mengapa tidak kita usahakan dengan segala kudrat dan tenaga. Mengapa tidak kita fokuskan segala energi untuk bertindak menuju kejayaan?

Dahulu, anak kecil itu tidak pernah persoalkan apa-apa. Mungkin kerana dia belum mampu berfikir jauh. Mungkin juga pergaulannya yang terbatas, maka dunianya sangat kecil. Dunia yang dilihat dari kanta matanya berbeza dengan orang lain.

Kanta mata kita sekarang pula bagaimana?Jika ingin berjaya, kita perlu mengubah kanta mata kita.
Melihat dari perspektif yang berbeza dan jarak penglihatan itu lebih jauh daripada apa yang ada di depan mata.

Bagaimana masa depan kita nanti?
 10 tahun lagi kita dimana?
 20 tahun lagi kita siapa? 
Adakah masih di kedudukan yang serupa?



Allah SWT ada berfirman, maksudnya :
“Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka.” (Surah al-Ra'ad : 11)

Ayuh! Apa kita tunggu lagi. Mari gandakan usaha dan tetapkan strategi untuk berjaya. Kerahkan segala kudrat dan energi yang ada membina jalan kejayaan yang terbentang luas, seluas alam semesta.



Foto : ihsan Google.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)