Seawal jam 3 pagi saya sudah terjaga. Ikutkan rasa hati mahu terus lena menyambung mimpi. Tetapi hati kecil bermonolog sendiri. Masih banyak perlu saya sediakan sebelum mesyuarat bersama penyelia hari ini.
Usai solat tahajud, dalam sendu sempat saya menulis bait kata sebuah puisi - DALAM TAHAJUD CINTA. Itulah nukilan rasa di keheningan pagi. Dari jiwa yang merintih mengharapkan kasih dan ihsan Illahi.
Sungguh. Masih terlalu jauh destinasi PhD ini. Masih banyak yang perlu saya lalui. Jika dibandingkan dengan sahabat seperjuangan yang lain, saya jauh ketinggalan. Namun, tak pantas kita membandingkan nasib kita dengan orang lain. Seolah menyesali takdir Tuhan
Yang Maha Berkuasa mengurus tadbir takdir hambaNya.
Saya cuba usahakan untuk menyediakan dokumen yang sepatutnya. Menyudahkan apa yang termampu sebaiknya. Tepat jam 10.15 bergegas bersiap, untuk mengejar bas No. 76 yang dijadualkan tiba jam 10.26.
Sampai di perhentian bas, jam di tangan menunjukkan jam 10.27 pagi. Bas mungkin sudah terlepas agaknya. Tapi pasrah sahaja. Mesyuarat dengan penyelia telah saya ditetapkan pada jam 11.00 pagi. Hati gundah juga, bimbang terlewat.
Jam 10.32 pagi, bas No. 76 tiba di perhentian bas Ritson Street. Hebatnya Allah mengaturkan waktu, bas lewat tiba seolah menantikan saya. Alhamdulillah.
Turun dari bas sempat saya rakam foto ini. Buat bingkisan memori hari ini. Selepas itu sempat lagi ke Harold Cohen Library untuk mencetak dokumen yang akan dijadikan agenda mesyuarat nanti.
Alhamdulillah.. Semua seolah diatur oleh Allah dengan sangat rapi. Saya tiba di pejabat jam 10.51 pagi. Sempat melepaskan hela dan menenangkan diri sebelum bertemu penyelia.
Penyelia saya pun sudah bersedia. Saya lihat pintu pejabatnya sudah terbuka. Seolah-olah sedang menanti kehadiran saya. Saya masuk dahulu ke pejabat saya. Meletakkan beg dan mengambil buku catatan. Sempat lagi menulis nota ringkas untuk perbincangan dalam mesyuarat nanti.
Tepat jam 11.00 pagi, saya ketuk pintu pejabat penyelia. Sesudah bertegur sapa dan bertanya khabar, mesyuarat berjalan seperti biasa.
Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Illahi. Mesyuarat bersama penyelia hari ini berjalan dengan sangat lancar. Betapa rapinya perancangan dan pengurusan oleh Allah SWT.
.
Di akhir pertemuan tadi apabila penyelia berkata begini
"I am happy today. You are making good progress... "
Panjang lagi ayat yang diucapkan oleh penyelia. Saya tak ingat semuanya. Bila melihat senyuman yang terukir di wajah penyelia saya hari ini, itu sudah cukup buat saya rasa gembira. Hati berasa sangat lapang dan tenang. Walaupun saya sendiri tahu progres saya tak sebagus mana.
Tapi saya sangat percaya. Allah sentiasa ada bersama. Allah sangat teliti menjaga dan mengurus tadbir seluruh alam semesta. Semuanya berada di dalam genggamannya. Tiada apa yang perlu kita gusarkan. Apabila kita serahkan seluruh jiwa dan raga untuk mengabdikan diri hanya pada Dia.
Terus melangkah.
Semua yang baik-baik telah Allah sediakan buat kita.
Insyaallah.
Alhamdulillah. Allahuakbar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan