Isnin, 13 Disember 2010

UCAPAN GRADUAN MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE 31


SAFINATUNNAJAH BT AHMADI (120249)
BACELOR KEJURUTERAAN (SISTEM KOMPUTER & KOMUNIKASI)
Ucapan Draf 1

 
Assalamualaikum w.b.t , salam sejahtera dan salam bergraduat diucapkan kepada sidang hadirin sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas segala limpah kurnia dan inayahNya saya diberi peluang untuk berucap di Majlis Konvokesyen UPM yang ke 31 pada pagi ini. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana dengan izinNya, majlis ini dapat disempurnakan dengan cemerlang dan jayanya. Majlis yang penuh dengan tradisi keilmuan ini amat bermakna kepada para graduan sekalian. Hari ini menandakan titik permulaan sebuah kejayaan dalam kehidupan saudara-saudari sebagai mahasiswa Universiti Putra Malaysia. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan diploma, ijazah bachelor, master atau Phd. dalam bidang masing-masing.
Hadirin yang dihormati,
Tiga tahun telah ditempuhi bersama, pahit manis, suka duka telah dilalui ketika kita bergelar seorang mahasiswa di kampus ini. Kenangan hari pertama menjejakan kaki di Universiti Putra Malaysia dan bergelar seorang mahasiswa tentu masih segar di ingatan. Perasaan gembira dan bangga kerana berjaya menjejakkan kaki ke menara gading tersemat di sanubari. Tekad dan azam terus disemat di dada agar kita tabah menggalas tanggungjawab untuk menentukan masa depan sendiri dan harapan keluarga yang menggunung tinggi agar kita dapat membela nasib nusa dan bangsa. Manisnya senyuman, girangnya tawa tidak berpanjangan. Berbagai-bagai cabaran, dugaan dan halangan telah kita tempuhi sebelum kita mampu untuk berada di dewan ini. Ternyata segala cabaran yang mendatang telah banyak memberikan pengalaman yang mendewasakan pemikiran kita. Hari ini kita membuktikan kepada semua, kita berkeupayaan dan berjaya mengharungi liku-liku kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Kita berhasil melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak kepada ibu bapanya, umat kepada agamanya dan pejuang kepada negaranya untuk membela nasib nusa dan bangsa.
Imbauan nostalgia, gores-gores kenangan ingin dikongsi bersama, rutin hidup sebagai seorang mahasiswa di Universiti Putra Malaysia menuntut erti pengorbanan dan seribu kesabara. Berbekalkan tekad dan azam ketika memulakan perjuangan sewaktu pertama kali menjejakkan kaki disini kita berikrar dan berjanji bahawa kita akan menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman sebagai bekalan di hari muka. Namun, tugas kita bukan sekadar menghadiri kuliah semata-mata. Banyak lagi yang perlu kita pelajari. Ternyata, bukan mudah untuk bergelar sebagai seorang mahasiswa yang cemerlang dan berketrampilan. Untuk benar-benar cemerlang, kita haruslah cemerlang dari setiap aspek; akademik, rohani, sahsiah , emosi dan jasmani itulah lambang mahasiswa unggul hari ini. Kampus bertuah ini telah menyediakan pelbagai ruang dan peluang untuk kita memajukan diri. Berbagai-bagai aktiviti telah diatur oleh pihak universiti. Bukan sahaja di peringkat kolej, fakulti, universiti, malah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa juga telah berjaya mendidik dan melahirkan mahasiswa yang berkebolehan, berkeyakinan, tabah, cekal, kreatif, inovatif dan proaktif. Kita berani mendukung matlamat dan aspirasi universiti dan negara untuk menjadi modal insan yang berguna kepada kemajuan negara tercinta.
Hadirin sekalian,
Universiti Putra Malaysia merupakan salah sebuah universiti tempatan yang mempunyai kemudahan prasarana dan infrastruktur yang serba lengkap dan terkini. Kedudukan UPM yang bertambah baik di tangga 292 berbanding 394 pada tahun sebelumnya dalam Penarafan Universiti Dunia oleh Times Higher Education Supplement (THES), memberikan gambaran peningkatan kejayaan universiti. Seterusnya, UPM kini menjadi satu daripada empat universiti yang diberi pengiktirafan sebagai Universiti Penyelidikan di negara ini. Kini, UPM adalah gedung ilmu yang menjadi tumpuan rakyat tempatan malah warga asing yang ingin mengisi ilmu di dada. Segala kemudahan yang disediakan digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki dan meningkatkan kemampuan diri baik dari aspek akademik, sukan, kebudayaan dan kerohanian. Kemudahan penginapan yang selesa, disamping kemudahan lain seperti sukan, rekreasi dan kebudayaan membolehkan mahasiswa fokus kepada kecemerlangan. Aktiviti yang disertai diperingkat kolej, universiti mahupun antara universiti telah meningkatkan kualiti diri mahasiswa malahan mengelakkan mahasiswa terjerumus dalam aktiviti yang tidak berfaedah.
Menerusi pembelajaran bersepadu yang menekankan kombinasi kerja berkumpulan, amali dan latihan industri, dapat memberikan perspektif alam kerjaya. Penekanan terhadap Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antrabangsa, telah dipraktikkan dalam sesi pengajian sebagai persediaan mahasiswa untuk memenuhi tuntutan pasaran global yang kian mencabar. Kini sudah tiba masanya untuk kita membuktikan bahawa graduan Universiti Putra Malaysia berkebolehan dan mampu bersaing di era globalisasi. Anjakan paradigma harus dilakukan agar kita bergerak maju seiring dengan kehendak semasa dan memenuhi tuntutan negara menjadi modal insan yang cemerlang, gemilang dna terbilang. Sebagai anak merdeka, kita harus memerdekkan diri dari mentaliti jumud dan bangkit bersama mempertahankan kedaulatan negara yang kita cintai. Sebagai pemimpin negara di masa hadapan, kita seharusnya mempunyai jati diri yang teguh, berkemahiran dan berhemah tinggi dan sentiasa berketrampilan unggul dalam menggalas tanggung jawab yang diamanahkan untuk membela nasib nusa dan bangsa kelak. Sesungguhnya, Universiti Putra Malaysia merupakan satu institusi pengajian tinggi yang berjaya membina wawasan gemilang disamping melahirkan bakal pemimpin masa hadapan yang cemerlang, gemilang dan terbilang yang akan menerajui negara Malaysia yang kita cintai.
Kita adalah barisan belia yang menjadi tonggak harapan negara, yang akan menerajui kepimpinan masa depan untuk mencapai visi dan wawasan negara. Sedar tak sedar, tinggal 13 tahun sahaja lagi untuk kita mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi mencapai status negara maju yang disegani di mata dunia. Justeru itu, persediaan dari segi intelektual yang diperolehi sepanjang pengajian di universiti perlu digunakan sebaiknya demi menjana keutuhan dan kempuhan seluruh aspek pembangunan negara sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial. Segala pengetahuan dan pengalaman harus dijadikan sebagai landasan dan pedoman dalam merealisasikan wawasan negara seiring dengan tanggungjawabkita dalam mendukung moto universiti "Berilmu, Berbakti". Di zaman kompetatif di mana persaingan menjadi semakin sengit, kita tidak boleh alpa. Kita harus sentiasa peka dan bersikap responsif dengan perubahan semasa agar tidak jauh ketinggalan. Kita harus berani dan tabah menghadapi segala cabaran dan rintangan di hadapan.
Hadirin yang dihormati,
Hari ini kita sering mendengar berita tentang masalah pengangguran di kalangan graduan. Benarkah, peluang pekerjaan di negara kita semakin berkurangan ataupun para graduan yang semakin bertambah sehingga terdapat lebihan graduan tidak bekerja kerana tiadanya peluang pekerjaan. Ataupun adakah graduan pada hari ini kurang berketrampilan sehingga tidak mampu menarik minat majikan? Walau apapun pilihan terletak di tangan kita. Adakah kita harus mengalah tanpa berjuang? Selain bekerja makan gaji di sektor kerajaan mahupun swasta, nyata pada hari ini banyak peluang yang terbentang luas. Cuma terpulang pada kita bagaimana untuk mencorak masa depan sendiri. Pihak kerajaan juga telah menyediakan berbagai program usahawan siswazah bagi mengatasi masalah pengangguran yang kian meruncing. Program yang diatur di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama pihak MARA, MARDI, MDEC dan beberapa agensi lain menyediakan peluang dan ruang kepada graduan untuk bergelar usahawan. Seharusnya, kita bersama-sama merebut peluang ini untuk meningkatkan potensi diri dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi negara. Justeru itu, kita tidak patut terus mengalah dan mengambil jalan mudah tanpa memikirkan masa depan diri, keluarga dan negara. Sebagai pejuang bangsa merdeka, kita harus tampil kehadapan dan berani menghadapi segala cabaran mendatang. Segala ilmu dan pengetahuan yang diperolehi semasa pengajian di kampus harus digembleng bersama semangat yang kuat dan tidak kenal erti putus asa agar kita menjadi insan yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara.
Hadirin sekalian,
Dalam mencapai sebuah kejayaan, perkara yang paling sukar tentunya adalah ketika memulakannya. Langkah pertama pastinya menuntut daya usaha, keazamaman dan pengorbanan yang bukan sedikit. Namun, jika kita tidak berani melangkah manakan kita mampu untuk bertatih seterusnya mengorak langkah yang lebih jauh. Berbekalkan semangat waja diiringi doa dan restu ibu bapa serta insan yang menyayangi diri, kita cekalkan diri dan bulatkan tekad di hati untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Dan kita tidak keseorangan selama ini kerana kita dikelilingi oleh warga universiti yang memberikan kerjasama dalam menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi. Justeru itu, sebagai wakil graduan bagi sesi ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Universiti Putra Malaysia terutama kepada Yang Berbahagia Naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor serta seluruh tenaga kerja Universiti Putra Malaysia yang gigih berusaha dalam menjadikan kampus ini cukup selesa untuk proses pengajian kami. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pensyarah-pensyarah dan staf-staf universiti yang telah memberikan bimbingan ikhlas serta dorongan untuk kami terus maju kehadapan demi merelialisasikan impian dan cita-cita menjadi mahasiswa yang cemerlang. Seterusnya, ucapan apresiasi ditujukan khusus kepada ibubapa dan ahli keluarga yang telah banyak berkorban demi kejayaan kita pada hari ini. Tanpa iringan doa restu dan dorongan daripada kalian, kami tidak mungkin mampu berada di sini. Kahadiran kalian pada hari ini menambahkan lagi rasa bangga dan ia amat bererti kepada kami semua. Segala penat dan lelah dahulu bagaikan tidak terasa lagi kerana sokongan yang kalian berikan. Walaupun kejayaan pada hari ini tidak dapat membalas jasa dan pengorbanan kalian yang begitu banyak pada kami, namun kami berharap kalian dapat tersenyum bangga kerana kejayaan ini bukanlah kejayaan kami semata-mata bahkan ia adalah kejayaan kalian juga. Kepada rakan-rakan seperjuangan, ingatlah bahawa perjuangan kita masih belum selesai. Kita harus terus berusaha memajukan diri demi membela nasib keluarga, agama, bangsa dan negara.
Walaupun kami akan meninggalkan kampus ini, semangat dan jiwa kami masih akan terus berada di sini. Kemana sahaja kami berada, kami tetap alumni UPM yang menjadi duta dan rakan setia universiti ini. Justeru, kami berjanji akan turut serta bersama Persatuan Alumni UPM dalam usaha menyumbang bakti kepada kecemerlangan Universiti Putra Malaysia.
Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke 50 dengan tema Malaysiaku Gemilang, marilah kita bersama-sama merenung kembali jasa dan pengorbanan pemimpin masa lalu yang telah berjuang bermati-matian untuk menuntut kemerdekaan. Bukan sekadar kemerdekaan dari tangan penjajah, tetapi apa yang lebih bererti adalah merdekanya jiwa dan pemikiran mereka demi masa depan anak bangsa pada hari ini. Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama berusaha mengekalkan erti kemerdekaan ini dan mempertahankannya demi masa depan anak bangsa kita seterusnya. Tanpa merdeka dahulu, takkan ada merdeka hari ini. Tanpa usaha mengekalkan kemerdekaan hari ini, tidak mustahil akan hilangnya jiwa merdeka di masa hadapan. Justeru sebagai pejuang bangsa merdeka, kita harus menjunjung nilai murni dan budaya saling hormat menghormati antara satu sama lain di bumi bertuah ini. Perpaduan antara kaum harus sentiasa dipelihara demi keharmonian dan kedaulatan negara yang berbilang bangsa ini. Kita adalah barisan belia yang akan mewarisi kepimpinan negara di masa hadapan. Berlandaskan ilmu pengetahuan dan pengalaman daripada orang terdahulu, kita harus dijadikan ia pedoman untuk kita meneruskan perjuangan yang belum selesai.
Dunia bagai lautan dalam
Gelombang besar karangnya tajam
Tanpa ilmu kita tenggelam
Tanpa amal hidup pun suram

 
Keris berhulu tinggalan pusaka
Diasah selalu tajam berbisa
Kita anak jiwa merdeka
Menggalas harapan dan maruah bangsa

 
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan graduan sekalian. Semoga kita bersedia menghadapi cabaran mendatang dan perubahan dengan berlandaskan ilmu dan pengalaman yang dijadikan pedoman dan batu sempadan agar kita tidak hanyut dalam arus kemodenan. Gunakanlah segala ruang dan peluang yang ada untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta sahsiah diri demi kecemerlangan yang diimpikan.

 
Salam bergraduat.
Sekian.

 
SAFINATUNNAJAH AHMADI
WAKIL GRADUAN
Majlis Konvokesyen UPM KE 31

1 ulasan:

LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)