Isnin, 13 Disember 2010

Ucapan Graduan: Majlis Konvokesyen UPM ke 31 (2007)


Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 
Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Rozali bin Ismail
Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia

 
Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Dr. Haji Nayan bin Ariffin
Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia

 
Yang Berbahagia Tan Sri Dato Sri Lim Ah Lek
Pro Canselor Universiti Putra Malaysia

 
Yang Berbahagia
Tan Sri Dato' Seri Dr. Haji Zainul Ariff bin Haji Hussain
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti

 
Yang Berbahagia Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha bin Raja Abdullah
Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia

 
Wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi Awam
Ahli Lembaga Pengarah Universiti
Ahli Senat Universiti
Dif-dif jemputan
Pegawai-pegawai universiti
Para graduan dan sidang hadirin yang dihormati sekalian

 
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Majlis Konvokesyen UPM ke 31 kerana memberikan kepercayaan dan peluang kepada saya bagi menyampaiakan ucapan pada hari ni. Bersyukur kita ke hadrat yang Maha Esa atas segala limpah kurnianya, majlis ini dapat disempurnakan dengan cemerlang dan jayanya. Majlis yang penuh dengan tradisi keilmuan ini amat bermakna kepada para graduan sekalian. Hari ini menandakan titik permulaan sebuah kejayaan dalam kehidupan saudara-saudari sebagai mahasiswa Universiti Putra Malaysia. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan diploma dan ijazah dalam bidang masing-masing.

 
Hadirin sekalian,
Universiti Putra Malaysia merupakan salah sebuah universiti tempatan yang mempunyai kemudahan prasarana dan infrastruktur yang serba lengkap dan terkini. UPM kini menjadi satu daripada empat universiti yang diberi pengiktirafan sebagai Universiti Penyelidikan di negara ini. Hari ini, UPM merupakan gedung ilmu yang menjadi tumpuan rakyat tempatan dan warga asing yang ingin sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan.

 
Rutin hidup sebagai seorang mahasiswa menuntut erti pengorbanan dan seribu kesabaran. Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di kampus ini, kita berikrar dan berjanji bahawa kita akan menimba ilmu dan pengalaman sebagai bekalan di hari muka. Tugas kita bukan sekadar menghadiri kuliah semata-mata. Banyak lagi yang perlu kita pelajari. Ternyata, bukan mudah untuk bergelar sebagai seorang mahasiswa yang cemerlang dan berketrampilan. Untuk benar-benar cemerlang, kita haruslah cemerlang dari setiap aspek; akademik, rohani, sahsiah , emosi dan jasmani. Itulah lambang mahasiswa unggul hari ini.

 
"Kampus Hijau" ini telah menyediakan pelbagai ruang dan peluang untuk kita membuktikan potensi diri. Berbagai-bagai aktiviti telah diatur oleh pihak universiti samada di peringkat kolej, fakulti, universiti, malah di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa telah berjaya mendidik dan melahirkan mahasiswa yang berkebolehan, berkeyakinan, cekal, kreatif, inovatif dan proaktif. Kini sudah tiba masanya untuk kita membuktikan bahawa graduan UPM berkebolehan dan mampu bersaing di era globalisasi. Cabaran dihadapan menuntut anjakan paradigma dilakukan agar kita bergerak maju seiring dengan kehendak semasa.

Hadirin yang dihormati,

Sedar tak sedar, tinggal 13 tahun sahaja lagi untuk kita mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi mencapai status negara maju yang disegani di mata dunia. Justeru itu, sebagai barisan belia yang bakal menerajui kepimpinan masa depan, kita harus berganding bahu menjana keutuhan dan kempuhan seluruh aspek pembangunan negara sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial. Gunakanlah segala ilmu dan pengalaman sebagai pedoman untuk kita di hari muka.

Dunia bagai lautan dalam
Gelombang besar karangnya tajam
Tanpa ilmu kita tenggelam
Tanpa amal hidup pun suram

Justeru, segala pengetahuan dan pengalaman harus dijadikan sebagai landasan dan pedoman dalam merealisasikan wawasan negara seiring dengan tanggungjawab kita dalam mendukung moto universiti "Berilmu, Berbakti". Di zaman kompetatif di mana persaingan menjadi semakin sengit, kita tidak boleh alpa. Kita harus sentiasa peka dan bersikap responsif dengan perubahan semasa agar tidak jauh ketinggalan.

 
Hadirin sekalian,
Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke 50 marilah kita bersama-sama merenung kembali jasa dan pengorbanan pemimpin masa lalu yang telah berjuang bermati-matian demi sebuah kemerdekaan. Bukan sekadar kemerdekaan dari tangan penjajah, tetapi apa yang lebih bererti adalah merdekanya jiwa dan pemikiran mereka demi masa depan anak bangsa pada hari ini.

 
Keris berhulu tinggalan pusaka
Diasah selalu tajam berbisa
Kita anak jiwa merdeka
Menggalas harapan dan maruah bangsa

 
Sehubungan itu, kita harus memerdekakan diri dari mentaliti jumud dan mempunyai mentaliti minda kelas pertama. Marilah kita bersama-sama berusaha mengekalkan erti kemerdekaan ini dan mempertahankannya demi masa depan anak bangsa kita seterusnya. Tanpa merdeka dahulu, takkan ada merdeka hari ini. Tanpa usaha mengekalkan kemerdekaan hari ini, tidak mustahil akan hilangnya jiwa merdeka di masa hadapan.

 
Hadirin sekalian,
Dalam kita meraikan kegembiraan kita pada hari ini, sewajarnya kita memberikan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Universiti, para pensyarah dan pegawai yang telah memberikan tunjuk ajar, bimbingan, bantuan dan galakan yang telah menjadikan kejayaan pada hari ini satu kenyataan. Ucapan apresiasi ini juga ditujukan khusus kepada ibubapa dan ahli keluarga yang telah banyak berkorban dan memberikan semangat untuk kita terus berjuang. Kejayaan ini bukan kejayaan kita semata-mata. Kejayaan ini adalah kejayaan kalian semua. Justeru, saya menyeru kepada rakan graduan sekalian untuk bangun .....<berhenti seketika> dan memberikan tepukan paling gemuruh kepada mereka yang telah disebut sebentar tadi.
<terima kasih rakan graduan>

 
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat yang menyimpan seribu lipatan kenangan. Walaupun kami akan meninggalkan kampus ini, semangat dan jiwa kami akan terus berada di sini. Kemana sahaja kami berada, kami tetap alumni UPM yang menjadi duta dan rakan setia universiti ini. Justeru, kami berjanji akan turut serta bersama Persatuan Alumni UPM dalam usaha menyumbang bakti kepada kecemerlangan Universiti Putra Malaysia di masa akan datang.

 
Sebelum saya mengundur diri, renungkanlah bait-bait sajak yang akan saya deklamasikan ini, nukilan Dr. Zaitul Azma dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. 

"Delima Seorang Ibu Tua"

Dulu, setiap kali dihidangkan sarapan pagi
Pulut tanak bersama kelapa parut dan ikan belanak kering
Diamlah, suara anak-anak yang dari tadi bertanya
Bilakah boleh makan ibu, perut dah berkeroncong
Tetapi masih berdendang merdu lagu " Aku Anak Desa"

 
Santapan tengah hari cukup istimewa
Dengan rebus sayur kangkung, sambal belacan dan ikan haruan goreng
Anak-anak bersandar kekenyangan tapi tidak pernah lupa
Menelaah pelajaran, dengan harapan segunung intan
Untuk mendirikan rumah baru buat ibu
Dan menyenangkan hidupnya
 
Ibu tua
Kini menanti dan menanti
Siapakah yang akan makan bersamanya lagi
Pulut tanak bersama kelapa parut dan ikan belanak kering
Yang sering terbiar sejuk, tidak dijamah hingga ke petang
Kerana, makanan mereka, kankah sandwich dan kek keju?

Anak mana pula yang akan mencicah sayur kangkung
Dengan sambal belacan bersama ikan haruan goreng
Ibu tua masih belum ada jawapan
Dan dia kini mulai tahu
Ikan haruan hanya dijadikan ubat

 
"Kerja banyak, anak sekolah tiada cuti",
Menjadi hidangan manis
Dari anak-anak yang sudah dewasa
Yang sudah mampu tersenyum selalu
Tanpa menanti perut keroncong dahulu

 
Ibu tua
Kini, kau merawat usia senjamu
Di pelabuhan rindu dan sepi...

 
Akhir kata, mak, ayah dan yang tersayang kejayaan ini hadiah buat kalian. Tanpa kalian tak mungkin kami berada di sini. Saya pasti ungkapan ini tersirat jua di sanubari rakan-rakan yang lain. Walaupun kejayaan ini takkan dapat membayar segala jerih-payah kalian, namun kami berharap agar hari ini kalian dapat tersenyum puas dan bangga.

Sekian, Wabillahitaufik Wal Hidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 
SAFINATUNNAJAH AHMADI
Bacelor Kejuruteraan (Sistem Komputer & Komunikasi)
Majlis Konvokesyen UPM KE 31
30.08.2007

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum. saya mohon keizinan untuk menggunakan beberapa isi didalam speech ini ya. terima kasih, moga Allah berkati :)

    BalasPadam

LIKE eh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

cinta (62) agama (58) islam (27) friends (24) jodoh (18) idea (13) doodles (9) career (8) mood (7) follower (5)