BUDAK KECIL JUAL RAMBUTAN
==========================
Budak kecil yang jual aiskrim yang diceritakan pada entri sebelum ini banyak idea. Idea bisnesnya bermusim. Kalau tiba musim buah, musim panas, musim hujan dan banyak musim lain, maka barang jualannya juga bertukar.
Entah dari mana dia dapat idea pun tak tahu. Ilham daripada Allah Yang Maha Bijaksana pastinya. Paling dia tunggu-tunggu ialah musim buah. Sebelum musim buah tiba, pokok rambutan di sekeliling rumah tu jadi tempat dia dan adik-adik bermain.
Budak kecil tu pandai panjat pokok. Agak-agak budak sekarang pandai ke panjat pokok? Budak tu budak perempuan tau. Tapi jaguh panjat pokok rambutan. Sampai ke pucuk tinggi dia panjat. Dahan pokok rambutan yang keras dijadikan tempat dia bergayut. Macam monyet. ???
Bila ayahnya nampak, anak perempuannya asyik bergayut dan berhayun begitu, ayah pun geleng kepala. Masakan tidak, anaknya seramai 8 orang. Hanya seorang sahaja lelaki. Tujuh orang anak perempuan. Nak jaga seorang pun susah, inikan pula 7 orang.
Tapi ayah tahu, anaknya walaupun perempuan tetapi jiwanya macam lelaki. Memang sudah terlatih membuat kerja lelaki. Yelah, kan ayah seorang OKU. Pergerakan sedikit terbatas. Ayah tak boleh nak panjat. Jadi budak perempuan tu yang selalu tolong ayahnya panjat. Hihihihi.
.
Berbalik kepada tajuk cerita. Pokok rambutan yang ditanam ayah mula berbunga. Berbunga jugalah hati budak kecil yang ada otak bisnes tu. Sudah mula memasang angan-angan dan membuat kira-kira.
Kalau seikat RM 1.
Kalau 10 ikat?
Wah.. Dapat RM 10!!!
Setiap kali pulang dari sekolah dia akan berteduh di bawah pokok rambutan. Sambil berbual dengan pokok rambutan.
"Pokok..oh..pokok. Berbuah lebat-lebat ye. "
"Buah banyak-banyak..manis-manis tau!"
Itulah harapan dia pada si pokok rambutan. Dia selalu bermonolog sendiri. Dan kalau kena marah dengan emaknya, di dahan pokok itulah dia akan duduk dan bersembunyi. Sambil menangis sendiri. Budak kecil itu jiwanya sensitif. Kena marah sikit pun dah nangis. Bila merajuk dia akan lari ke pokok rambutan. Dia tak suka menangis depan orang.
.
Di suatu hari semasa pulang dari sekolah
"Wah..Merahnya buah rambutan." bisik hatinya.
"Dah masak ranum buah rambutan ni."
Budak kecil itu mencari buah yang paling merah. Dipetik dan dipulas kulit rambutan itu. Isi buah rambutan yang putih jernih ditatapnya. Dengan mata yang bergenang.
"Akhirnya, masak juga kau. Manis ke tidak ye" katanya pada buah rambutan.
Terus disuakan ke mulutnya yang sejak tadi asyik mengomel sendiri.
"Wah...manisnya. Sedap. Alhamdulillah. Terima kasih pokok. terima kasih Allah" katanya sambil tersenyum girang.
.
Terus dia masuk ke rumah cari ayah.
" Ayah. Kita jual ye rambutan tu." katanya pada ayah.
"Kakak nak jual kat mana" tanya ayah.
"Bawa pergi sekolah lah. Mesti laku." balasnya dengan yakin.
"Tak payah jual. Bawa sikit ke sekolah bagi kawan-kawan makan sama." balas ayah.
"Erm...okeylah" jawabnya dengan akur tapi hati sedikit kecewa.
Maka, dia pun bawa beg plasik berisi buah rambutan yang masak ranum ke sekolah. Diagihkan kepada kawan-kawan baiknya. Salah seorang kawan baiknya pun bertanya.
"Najah, kau taknak jual ke buah rambutan ni. sedaplah"
"Em..ayah aku tak bagi jual. Dia suruh bawa je ke sekolah. Bagi kawan-kawan. Makan sama-sama."
"Baiknya ayah kau."
"Yelah. Ayah aku memang baik" balasnya dengan senyum.
.
Keesokan harinya kawan baiknya tanya lagi..
"Najah, ayah aku nak beli rambutan kau. Ko jual la pada kami."
"Ayah aku tak bagi jual la. Kau nak ke? Esok aku bawa lagi ye" balasnya.
.
Esok dia bawa seikat buah rambutan ke sekolah. Ayahanya suruh beri sahaja tanpa terima bayaran. Tapi, kawannya tetap hulurkan duit kertas. Puas dia menolak. Tapi..hati kecilnya memang mahu terima sahaja wang kertas itu. Sebab jarang sekali dia terima wang kertas. Selalu dia terima syiling. Bila lihat wang kertas, matanya pun bersinar. hihihi
.
Pulang dari sekolah dia serahkan nota kertas itu ke tangan ayah. Ayah geleng kepala. Ayahnya memarahinya. Dia rasa bersalah. Puas bela diri. Macam-mana alasan dia beri.
"Kan kakak dah kata, buah rambutan itu boleh kita jual. Ada orang nak beli. "
"Sebab rumah kawan kakak tu takde pokok rambutan. "
"Rumah kita ada 5 pokok rambutan. Nak makan sendiri mana habis??"
"Biarlah orang lain rasa juga buah rambutan yang manis tu. Kesian kat kawan-kawan kakak."
"Kalau mak ayah dia nak beri duit kita terima sahajala ayah. Mungkin mereka pun nak tolong kita"
Panjang hujahnya.
.
Ayahnya hanya diam. Tak mampu nak bidas kata-kata anaknya yang banyak mulut tu. Mulut kecil, bibir nipis tapi ada sahaja hujahnya. Entah ikut perangai siapa ????
.
Hujung minggu, ayah panggil anak-anaknya.
"Jom kita petik rambutan" ajak ayah.
"Yeah!!!" sorak kami dengan riang.
Semua seronok bila tengok ayah pegang galah panjang tu.Budaka kecil itu apatah lagi, terus dia panjat pokok rambutan, si teman baiknya itu. Ranting pokok rambutan dipulas. Dijatuhkan ke bawah. Adik-adik berebut dan mengumpulkan buah rambutan yang gugur. Yang masih ada ranting dikumpulkan dan diasingkan. Yang terlepas dari ranting dan bertaburan dimasukkan ke dalam beg plastik.
Ranting yang memegang buah rambutan masak ranum tu diikat oleh ayah. Gigihnya ayah. Cantik ikatannya. Sambil menyusun dan mengikat buah rambutan itu ayah bercerita.
Begini.....
Dahulu, ayah miskin. Teringin sangat makan rambutan. Di rumah nenek tiada pokok rambutan. Bila lalu depan rumah saudara yang ada pokok rambutan rasa nak petik sahaja. Tapi bukan milik mereka. Ayah tanya pada makciknya boleh tak minta sikit? Makcik ayah tak beri.
.
Esoknya ayah datang lagi. Ayah bawa duit hasil jual kelapa. Ditanyakan lagi pada makciknya. Boleh tak kalau dia nak beli? Masih juga dia tak terima duit tersebut. Tak laku kot duit anak orang miskin?
.
Ayah marah.
Ayah geram.
.
Diam-diam, ayah ambil gergaji. Pada waktu malam, ayah datang ke rumah makciknya. Ayah tebang pokok rambutan makcik dia.
??
Tercengang??
Sungguh. Ini cerita ayah.
Itulah kisahnya.
.
Patutlah ayah tak mahu jual. Ayah kasihan. Bila dia kenangkan kisah dia masa kecil. Anak yatim tak berayah, Yang menjaga dan membesarkan adik-adik. Kedekut benar makcik ayah. Minta tak beri, nak beli pun tak bagi? Kerana sudah sangat marah, ayah bertindak menebang pokok rambutan milik makciknya (nenek saudara saya).
.
Budak kecil hanya senyum mendengar cerita ayah.
Hatinya girang.
.
Akhirnya, berjaya misi budak kecil. Jadilah dia penjual buah rambutan di sekolah.
Kalau ada orang yang miskin tiada duit nak bayar, budak kecil itu bagi percuma. Ayahnya pun pesan, "Jangan sebab tamak tengok duit banyak, kakak jadi kedekut. Beri sahaja apa yang kita ada. Duit banyak bukan boleh beli ketenangan dan kebahagiaan. "
Itu pesan ayah.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan