Subuh tadi saya disapa oleh seorang sahabat lama. Namanya Junaidah Jusoh. Beliau rakan sebilik semasa saya di Kolej Sebelas (K11), UPM. Kami bersahabat dah lama. 13 tahun lamanya.
Sudah lama saya tak jumpa beliau. Kali terakhir kami bertemu pada tahun 2007 jika saya tak silap. Waktu itu, Jun dapat tawaran bekerja di Melaka. Saya menghantarnya sampai ke rumah sewa di Alor Gajah, Melaka.
Antara sahabat yang saya ada, Jun adalah orang yang selalu saya rujuk. Saat saya ditawarkan jawatan Presiden Kolej Kesebelas pada tahun 2005, ramai yang berpaling dari saya. Ramai yang tak setuju dengan keputusan daripada pihak pengurusan Kolej Kesebelas. Ramai yang pertikaikan mengapa mereka memilih saya???
Presiden Kolej Kesebelas yang tak pandai senyum |
Saya pun bukannya mahu jadi Presiden. Saya tak pernah pegang jawatan dalam mana-mana persatuan sebelum itu. Entahlah, saya pun tak tahu kenapa barisan felo memutuskan begitu. Ramai yang lebih layak. Dalam top 5 kepimpinan Majlis Tertinggi Mahasiswa memang ada yang lebih layak.
Saat itu saya dan Jun adalah Exco. Saya adalah Exco ICT dan Penerbitan. Manakala Jun pula Exco Kerohanian. Keputusan pihak pengurusan saya terima dengan hati yang sangat berat.
Itu pun selepas saya bertemu dengan Jun. Saya tanyakan pada dia mengapa saya yang dipilih? Saya tak mampu nak pikul amanah tu.
Jun yakinkan saya.
Dia kata " Najah, aku percaya pada kau. Aku percaya kau boleh jadi Presiden yang baik."
.
Majlis Tertinggi Mahasiswa yang gila-gila |
Masa itu airmata saya bergenang. Saya memang tak yakin. Saya memang rasa diri saya kerdil. Saya rasa saya tak mampu. Tapi satu-satunya insan yang bergelar sahabat memberikan kepercayaan dan kekuatan untuk saya. Di saat rakan sebilik saya ketika itu tak mahu bertegur sapa dengan saya selepas saya dipilih menjadi Presiden, pada Jun saya selalu meluahkan rasa.
Di saat saya rasa diperkecilkan, Jun sahabat sejati yang sentiasa mendorong saya. Kenangan airmata yang kami kongsi bersama terasa sangat manis hari ini. Sungguh. Terima kasih sahabat 😊.
Alhamdulillah.
Segala puji-pujian hanya untuk Allah.
Majlis anjuran barisan kepimpinan MTM 2005 |
Sepanjang perjalanan hidup saya, saya temui ramai sahabat sejati. Yang benar-benar tulus dan ikhlas dalam persahabatan. Yang benar-benar faham, hidup ini satu perjuangan yang panjang tapi tak kekal. Hidup ini jalan membina dan menyemai benih saham akhirat. Untuk sama-sama kita berjaya dalam dua dunia.
Dunia penuh dengan kasih sayang. Kerana kasih sayang seorang sahabat membuat saya jadi bersemangat. Walaupun ramai yang menentang keputusan felo, saya teruskan juga memikul amanah tersebut. Kerana saya seorang Presiden. Saya harus kuat dan tabah.
.
Malam Seri Budiman |
Terima kasih pihak pengurusan Kolej Kesebelas. Terutamanya pada bonda pengetua Puan Iza Dura Abdul Manan , pengurus kolej Tuan Mustafa, felo-felo seperti Tuan Muhazam Mansorr, Tuan Ordil Jay Svenn, Puan Noraihan Noordin. Tidak dilupakan felo yang lain seperti Dr. Zul, Puan Rosnani dan tentunya abang DeeJay ZaiNey . Siapalah saya tanpa mereka.
.
Ucapan terakhir sebagai Presiden |
Aku seorang Presiden
Amanahnya tak mampu ku tunai
Aku terima juga dengan separuh hati
Kerana ku tak mahu cemari
Kepercayaan dan harapan yang diberi
Aku seorang Presiden
Walaupun yang insan lain sangsi
Aku selalu ingatkan diri
Ini amanah yang Allah beri
Untuk aku belajar erti hidup ini
Dengan selalu dan banyak memberi
Aku seorang Presiden
Aku kuatkan azam di hati
Hingga aku telan racun sendiri
Jadi penawar dan ubat hati
Kerna yakin janji Allah pasti
Aku seorang Presiden
Bukan diberi kuasa tapi amanah
Harus ku junjung tinggi pekerti
Jangan sampai segalanya punah
Jadikan hidup penuh bererti
Aku seorang Presiden
Bukan diberi pangkat tapi harapan
Harus ku genggaman erat di tangan
Gali dan cari ilmu demi pengalaman
Buat bekalan masa hadapan
Aku seorang Presiden
Bukan kerana nama dan glamour
Harus ikhlas dalam berbudi
Bukan ingin jadi insan popular
Tapi mencari redha Illahi
Aku seorang Presiden
Onak berduri aku selusuri
Lautan api aku renangi
Terus tabah meniti hari
Hingga akhir nafas nanti
.
( Safinatunnajah Ahmadi, 2016)
Presiden, Kolej Kebelas
Universiti Putra Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan